Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam Yang Ke-27 pada 23hb Februari, 2011
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi
Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,
Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Semua perkara
adalah berpunca daripada Allah. Nikmat daripada Allah dan musibah juga
daripada Allah. Semua ini berlaku dengan hikmah dan sebab-sebab yang
tersendiri.
Kerana itu sayugia diingat, dalam apa pun perkara,
kita jangan melupakan Allah, termasuk ketika menyambut dan merayakan
ulang tahun Hari Kebangsaan.
Tidakkah kita ingin mengimbas
kembali detik bersejarah perisytiharan kemerdekaan, di mana kita telah
membesarkan Allah di dalamnya? Kita telah pun sama-sama melafazkan
‘Allahu Akbar’, dengan tujuan, untuk mendapatkan restu Allah serta
keberkatan dan pemeliharaan-Nya jua.
Alhamdulillah, tujuan ini
tercapai, dengan kemerdekaan yang telah berumur 27 tahun itu sedang
membuahkan nikmat dalam bentuk pelbagai kemajuan di semua bidang.
Namun,
di samping menerima buah kemerdekaan dengan lebatnya, kita juga tidak
lupa terhadap tanggungjawab memelihara kemerdekaan itu dengan
amalan-amalan berhemah yang berpaksikan syukur.
Di antaranya,
kita sekarang dalam langkah membudayakan amalan berjimat cermat dan
berbelanja menurut kemampuan, sebagai salah satu usaha ke arah mengatur
kewangan kita melalui perancangan kewangan atau financial planning.
Tujuan
yang tersirat ialah untuk melakar perubahan sikap dan mentaliti
menyeluruh, supaya rakyat terbiasa dengan cara sederhana serta tahu pula
menghargai nilai.
Misalnya dalam menghargai subsidi kerajaan,
kita perlu bersikap dan berfikiran seimbang, dengan berterima kasih di
samping pandai memanfaatkannya melalui amalan mengelak pembaziran dan
penyalahgunaan.
Ini, meliputi semua jenis subsidi, terutama
keperluan-keperluan utama, seperti perubatan, pendidikan, jalan raya
serta juga komoditi asasi, seperti perumahan, air elektrik, minyak,
beras dan gula.
Kesemua perkhidmatan dan keperluan ini amatlah
penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. Pada realitinya,
semua ini adalah bergantung kepada ekonomi dan kemampuan kewangan
negara, yang pada setakat ini banyak bersandar kepada hasil minyak dan
gas.
Maka dalam kedudukan ini, kerajaan sangatlah berhajat untuk
mempelbagaikan ekonomi negara, agar pada masa hadapan, kita tidak hanya
semata-mata bergantung kepada minyak dan gas sahaja.
Dengan
negara mempunyai pelbagai ekonomi dan pandapatan yang lebih luas, serta
ditambah pula dengan kadar pertumbuhan yang tinggi, maka peluang kita
untuk terus makmur dan mewah adalah cerah.
Untuk mencapai
matlamat inilah, kerajaan beta sangat menitikberatkan kemajuan
pendidikan bagi tenaga-tenaga muda kita. Bagi sebuah negara yang kecil
dengan penduduknya yang sedikit, kita sangat memerlukan rakyat yang
berpendidikan tinggi dan mempunyai pelbagai kemahiran strategik
Tidak
cukup dengan pendidikan tinggi semata-mata, anak-anak muda kita juga
perlu memiliki sahsiah daripada calak Melayu Islam Beraja (MIB) dan jiwa
murni daripada asuhan sempurna.
Untuk inilah, kita mengadakan
sekolah, pusat latihan dan pengajian tinggi, tanpa mengabaikan juga
pemberian biasiswa kepada lebih ramai penuntut yang berkelayakan sebagai
pelaburan utama dalam memajukan human capital.
Turut menjadi
utama ialah Perkhidmatan Awam. Ia adalah jentera dan pemudah cara untuk
kerajaan melakar kemajuan. Pada masa ini sahaja, skop dan tahap hajat
orang ramai terus meningkat, di mana Perkhidmatan Awam perlu menyediakan
ruang yang luas, termasuk penyediaan dasar-dasar dan pelaksanaan yang
cepat lagi berkesan.
Perkhidmatan Awam berkewajipan mengenal
pasti sebarang kelemahan yang ada, serta menyediakan mekanisme bagi
mengatasinya. Kelambatan atau kegagalan melaksanakan program-program
kerajaan, sepatutnya tidak boleh berlaku, kerana ia berisiko tinggi
boleh menjadikan persaingan kita lemah untuk menarik pelaburan asing.
Dari
faktor-faktor semula jadi, kita sudah memiliki kekuatan-kekuatan
tersendiri, di antaranya faktor ketenteraman dan kestabilan politik,
ditambah lagi dengan asas ekonomi yang kukuh yang telah dikurniakan oleh
Allah kepada kita. Ini semua menjadi aset penting untuk lebih menarik
lagi pelabur asing ke negara ini. Tinggal sahaja lagi, kita perlu pandai
memelihara dan mempertahankannya.
Maka untuk itu, semua pihak,
dari sektor awam dan swasta, perlulah meningkatkan lagi kesedaran mereka
dalam usaha mengekalkan aset yang berharga ini.
Dengan itu
nanti, insya-Allah, ia bukan sahaja akan meningkatkan lagi keyakinan
pelabur-pelabur asing, malahan juga mampu untuk mengekalkan kemakmuran
negara.
Akhirnya, beta dengan ikhlas merakamkan ucapan
penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat serta
penduduk negara ini termasuk semua peringkat, ahli Perkhidmatan Awam,
pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor
swasta di atas segala bentuk pengorbanan dan sumbangan mereka kepada
negara.
Beta juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih
kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa
Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-27 Hari Kebangsaan, dan semua peserta
serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.
Marilah
kita sama-sama berdoa, semoga kita dan negara akan sentiasa terpelihara
dan mendapat perlindungan daripada Allah Taala jua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment