Tuesday, 28 May 2013

Titah Awal Tahun Hijrah 1431

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Awal Tahun Hijrah 1431

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim


Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddien,  Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita sekarang berada dalam Tahun Baru Hijrah 1431.  Kita berdoa, semoga ia membawa keberkatan yang diharap-harapkan kepada negara dan bangsa.

Semoga juga kehadirannya, akan menyuntik kesedaran baru untuk umat Islam di bidang ‘pembinaan diri’, bukan saja di Negara Brunei Darussalam, malahan juga di seluruh dunia.

Umat Islam yang berjumlah 1.5 bilion dari 7 bilion penduduk dunia itu, masih saja kelihatan mengalami beberapa tengkarah dan keadaan tidak menentu.  Mereka dicengkam oleh api-api peperangan dan kekacauan-kekacauan berdarah serta lain-lain, termasuk krisis ekonomi dan hutang yang teruk.

Mengapakah perkara yang seperti ini harus berlaku?

Selaku manusia bertuhan, kita tidak boleh lari dari melihat perkara ini sebagai ada kaitannya dengan ketentuan Allah Taala jua.  Kerana tidak akan dapat bergerak atau berlaku sesuatu itu, melainkan dengan kehendak Allah jua.

Begitulah dari sudut ilmu ugama.

Namun, Allah juga memulangkan ‘buku keras’ kepada manusia sendiri, mengapa kejadian-kejadian yang tidak diingini itu berlaku, seperti maksud firman-Nya dalam Surah Ar- Rum, ayat 41:

“Telah berlaku berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab perbuatan tangan-tangan manusia sendiri …”

Maknanya, semua itu adalah berpunca daripada kita juga.  Terdapat kesalahan daripada kita, makanya hukuman Allah pun berlaku untuk menyedarkan kita semula.

Allah adalah Maha Adil kepada semua hamba-Nya.  Dia tidak memilih-milih mengikut bulu atau kedudukan.  Orang yang patut dihukum akan dihukum-Nya dan orang yang patut dilepaskan akan dilepaskan-Nya daripada hukuman itu.

Bagimanapun, sunnatullah sangatlah menyukai taubat oleh para hamba.

Bertaubat merupakan pendirian orang-orang mulia, pendirian orang-orang salih dan ahli taqwa.  Tidakkah Allah Taala itu telah berjanji kepada ahli taqwa untuk melepaskan mereka dari kesempitan dan membukakan pintu-pintu rezeki-Nya dengan luas?

Jadi pada hemat beta, jalan untuk umat Islam keluar dari tengkarah dan pelbagai krisis, satu-satunya, adalah melalui ‘jalan taubat’ ini.

Jika perpecahan itu dianggap satu dosa, maka umat Islam, tidak oleh tidak, mestilah bertaubat (rujuk kepada Allah) dengan bersatu.  Begitu juga, kalau maksiat seperti yang kita tahu, menjadi kebencian kepada Allah, maka umat Islam, tidak boleh tidak, mestilah cepat-cepat bertaubat meninggalkan kebencian-Nya itu.

Ini saja ubat mujarab yang ada.  Adapun yang lain-lain itu cuma penyokong atau pelengkapnya saja.

Sebab itu, berbalik kepada Brunei, beta masih tidak jemu-jemu untuk menekankan perkara ugama supaya diambil berat.  Kerana ugama itu adalah cahaya, yang akan menerangi jalan kita.  Tanpa ugama, semuanya akan jadi kelam dan binasa.

Sesebuah masyarakat atau negara, bagaimanapun ia kelihatan hebat pada zahir, jika ugama tidak turut menjiwainya, maka masyarakat atau negara seperti itu, sebenarnya, bukanlah ia hebat tetapi bermasalah.

Kita mengharapkan negara kita benar-benar menjadi bumi yang sentosa, yang dipeliharakan oleh Allah serta mendapat perlindungan-Nya dari sebarang kemelut dan masalah.

Maka untuk itu, kita kenalah memenuhi segala prasyarat, selaku pewaris dan pemilik, iaitu menjadi hamba yang benar-benar bersyukur, yang melakukan amal taqwa untuk selama-lamanya.

Insya-Allah, dengan cara ini, nikmat akan berkekalan dan bahkan akan ditambah lagi oleh Allah dengan berlipat-lipat ganda.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta dengan amat sukacita dan tulus hati mengucapkan Selamat Menyambut dan Memasuki Tahun Baru Hijrah 1431.  Semoga sepanjang menjalaninya, kita akan beroleh kebahagiaan serta hidayat daripada Allah Subhanahu Wataala.  Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment