Tuesday, 28 May 2013

Majlis Sambutan Hari Pandu Puteri 2010

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Almarhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam di Majlis Sambutan Hari Pandu Puteri 2010 pada Hari Jumaat 28 Syawal 1431 / 8 Oktober 2010 bertempat di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subahanahu Wataala, kerana dengan izin dan limpah rahmatnya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di majlis yang penuh berkebajikan ini.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Beta sangat gembira mendengar kebanyakan kegiatan Persatuan Pandu Puteri yang telah dirancang dapat dijalankan dengan jayanya.

Selaku Penaung Persatuan Pandu Puteri, beta menyarankan supaya ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri meningkatkan lagi kualiti berpersatuan, dengan memainkan peranan aktif di dalam menjalankan projek-projek di Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri.

Beta telah difahamkan bahawa Projek Berbakti Kepada Bumi merupakan salah satu daripada aktiviti yang dikendalikan oleh persatuan ini, yang mana projek ini menumpukan perhatian terhadap tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan organik tempatan.

Pada hemat beta, projek ini akan dapat menjadi landasan ke arah menggalakkan ahli-ahli Tunas Puteri dan Pandu Puteri untuk meningkatkan tahap kesedaran mereka tentang peri mustahaknya untuk kita sama-sama memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar melalui aktiviti penanaman seumpama ini.

Melalui projek-projek seperti Projek Berbakti Kepada Bumi, Persatuan Pandu Puteri berpeluang untuk sama-sama membantu dan bekerjasama dengan pihak kerajaan, bukan sahaja dalam menangani isu alam sekitar, tetapi lebih penting dapat menangani isu-isu kesihatan seperti masalah kegemukan (obesity) di kalangan murid-murid sekolah.

Inisiatif seumpama ini secara tidak langsung diharapkan akan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat di negara ini, terutamanya di kalangan ibu bapa untuk sentiasa memupuk dan mengamalkan pemakanan dan cara hidup sihat di kalangan generasi muda kita.

Beta penuh percaya dengan adanya semangat serta komitmen tinggi ahli-ahlinya, maka Persatuan Pandu Puteri akan dapat sentiasa berupaya melaksanakan projek-projek yang berkebajikan demi kepentingan persatuan pada masa-masa akan datang, di samping terus menjadikannya relevan dengan arus perubahan masa dan keadaan.

Mudah-mudahan usaha-usaha yang berkebajikan dan bermanfaat ini akan mendapat ganjaran pahala dan taufiq serta hidayah daripada Allah Subhanahu Wataala.

Pada akhirnya, beta mengucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam.
 
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment