Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam di Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran
Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1432 Hijrah / 2011 Masihi
(Malam Kedua) pada Hari Khamis (Malam Juma'at) 9 Jamadilakhir / 12 Mei
2011 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, Negara Brunei
Darussalam.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita rafa'kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana membuka pintu rahmat-Nya melalui Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1432 Hijrah / 2011 Masihi ini.
Kita berbangga dengan sejarah yang penuh makna ini. Sejarah ini bukanlah sejarah kita saja-saja, tetapi sejarah kita dengan Allah Ta'ala, kerana al-Quran itu adalah Kitab-Nya.
Kita berazam , insya Allah, akan meneruskan tradisi ini sehingga ia benar-benar jadi budaya turun temurun di negara kita.
Dalam jangka masa setengah abad kita mengungkayahkan pertandingan-pertandingan seperti ini, negara kini, telah menyaksikan hasilnya, dengan sekian ramai para qari dan qariah kita muncul dan tumbuh. Mereka, bukan sahaja menyerlah di peringkat kebangsaan, malahan juga mampu untuk menjuarai pertandingan di peringkat antarabangsa.
Namun Brunei bukanlah setakat untuk melahirkan qari dan qariah bagi pertandingan-pertandingan semata-mata, tetapi juga lebih-lebih lagi, mahu melihat semua orang Islam Brunei pandai membaca al-Qur'an.
Kerana al-Qur'an itu adalah warisan berharga: Cahaya Allah yang amat terang. Barangsiapa yang tidak memilikinya, dalam makna tidak membacanya, maka akan rugilah dia, tidak beroleh cahaya tersebut. Bayangkan, kalau rumah tanpa cahaya, apakah yang akan terjadi kepada penghuninya?
Begitulah kedudukan kita dengan al-Qur'an.
Kerana itu, Beta sangat tertarik dengan tema pertandingan pada tahun ini, berbunyi: "Bersuluh Dengan Al-Qur'an."
Tidak syak lagi, dunia dan zaman kini memerlukan suluh. Ia berada, betul-betul dalam gelap gelita, di mana penghuninya seperti si buta kehilangan arah tuju.
Setengah-setengahnya itu melihat, apa yang baik sebagai buruk, dan sebaliknya apa yang buruk sebagai baik.
Ini, menambahkan lagi keyakinan kita akan kepentingan al-Qur'an itu, sebagai suluh.
Bukankan Allah sendiri telah mensifatkannya sebagai "cahaya atas cahaya"? Apakah makna cahaya atas cahaya, kalau bukan suatu cahaya yang suci lagi amat terang benderang?
Itu makanya, al-Qur'an itu turun untuk menjadi suluh dan pedoman kepada manusia. Barangsiapa yang membaca dan mengambil petunjuk daripadanya, maka merekalah orang yang mendapat cahaya itu, cahaya yang membawa kepada keselamatan.
Maka atas asas inilah, Beta tidak jemu-jemu untuk menggalakan, supaya semua kita ini, termasuk para pegawai dan kakitangan kerajaan, hendaklah pandai membaca al-Qur'an, bagi memperolehi cahaya yang berkat.
Dengan ini, insya Allah kehidupan akan lebih bererti setelah dihiasi oleh al-Qur'an. Adapun perhiasan dengan al-Qur'an itu, bukanlah sebarang perhiasan, tetapi "perhiasan ketuhanan" yang tidak mengenal luntur atau pudar.
Akhirnya, Beta ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada qari dan qariah yang berjaya dalam pertandingan ini. Kepada mereka yang belum berjaya pula, teruslah berusaha sehingga berjaya.
Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment