Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Pembukaan
Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-5 Majlis Mesyuarat Negara pada 15
Rabiulawal 1430 / 12 Mac 2009
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS ISTIADAT
PEMBUKAAN PERSIDANGAN MUSIM PERMESYUARATAN KE-5
MAJLIS MESYUARAT NEGARA
PADA
15 RABIULAWAL 1430/12 MAC 2009
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin, Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajmaeen, Waba’du.
Segala puji dan syukur bagi Allah jua, yang mengizinkan kita berkumpul pada hari ini di Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-5 Majlis Mesyuarat Negara.
Seperti lazimnya, Ahli-ahli Yang Berhormat akan menjadikan persidangan ini sebagai wadah untuk mencetuskan idea-idea baru lagi bernas, bagi membantu kerajaan untuk melakar strategi-strategi pembangunan yang diperlukan.
Demikian jua, ia diharapkan, untuk dapat menunjukkan imej terbaik tentang sistem kita, berbanding beraneka sistem di merata dunia yang tidak mempu, walaupun sekadar hanya untuk menstabilkan keadaan.
Kita, melalui sistem yang ada, telah membuktikan keupayaan dapat membawa negara ini menikmati pelbagai kebajikan, melebihi dari orang lain. Di samping kita mengekalkan kemakmuran dengan izin Allah, kita juga alhamdulillah, menikmati keamanan dan ketenteraman, apa yang sungguh-sungguh sukar diperolehi, khasnya di masa akhir-akhir ini, oleh orang lain.
Kita, belum pun sampai sebulan merayakan Jubli Perak Kemerdekaaan. Jangka masa 25 tahun itu dapat disifatkan sebagai titik awal menguji kita, sama ada kita layak dianggap bangsa yang bener-benar merdeka.
Pada hemat beta, kelayakan itu adalah merujuk kepada keadaan suatu bangsa, sama ada ia mampu membangun dirinya dan berjaya melakar kehidupan yang lebih baik.
Dalam konteks ini, kita rasanya tidaklah ketinggalan, malah sentiasa memiliki kedudukan terbaik di bidang apa saja, hasil daripada pencapaian menerusi sistem kita yang ada itu. Ini bukan lagi andaian tetapi kenyataan.
Kedewasaan bernegara, turut menerima ujian-ujian berat. Namun kita terselamat, kerana kita mampu mengurus diri sendiri dengan sebaik mungkin.
Di antara ujian berat itu ialah krisis ekonomi global yang melanda dunia hari ini. Krisis itu merembat ke seluruh jagat tanpa memilih-milih. Ia dianggap paling parah sejak kemelesetan dunia 80 tahun yang lampau, di sekitar tahun-tahun 1927 dan 1929.
Krisis ini menjadikan pasaran merudum, nilai mata wang mengecil, pembuangan beramai-ramai pekerja dan sistem kewangan hancur.
Pada akhir tahun 2008, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi dunia berkembang cuma 2.2 peratus pada tahun 2009. Tetapi ramalan terkini IMF juga, cuma 0.5 peratus sahaja, iaitu suatu kadar paling rendah dalam tempoh 60 tahun. Itu pun, masih ada lagi pihak lain yang meramal, bahawa kadar 0.5 peratus juga masih dianggap terlalu optimistik.
Semua negara di dunia mengalami pertumbuhan lembab, tidak kira negara maju atau negara sedang membangun. Malah misalnya, ada negara, yang biasa menikmati pertumbuhan ‘dua’ angka, menjadi cuma hanya ‘satu’ angka sahaja. Di samping, ada pula negara yang meramalkan dirinya mungkin merudum sampai dua angka, suatu kemerosotan yang cukup memeritkan.
Dari kegawatan yang dahsyat ini, maka banyaklah negara mengambil langkah darurat dengan memberhentikan sekian ramai pekerja-pekerja mereka. Kalau seribu dua yang diberhentikan itu adalah biasa saja. Tetapi terdapat juga sampai puluhan ribu, dan malah, di negara yang ramai penduduk, ada yang sampai 20 juta pekerja daripada pedalaman, terpaksa pulang ke kampung semula, setelah kehilangan pekerjaan di bandar dan di kilang-kilang setempat.
Ini semua membayangkan betapa dunia adalah di ambang bahaya.
Namun sosio ekonomi negara kita pada setakat ini, alhamdulillah, masih terus dalam kedudukan stabil dan kukuh, walaupun pendapatan kerajaan sedikit terjejas disebabkan penurunan harga pasaran minyak global.
Kemampuan kita bertahan adalah ditolong oleh dasar dan sikap berbelanja negara secara berhemah, ditambah lagi dengan kegiatan dan pertumbuhan ekonomi kita tidak bergantung kepada hutang (leverage). Perlu diketahui bahawa pergantungan kepada hutang itu telah menjerumuskan banyak negara ke jurang kemiskinan lebih parah.
Kejatuhan harga minyak secara mendadak, perlu dihadapi dengan lebih bijak dalam berbelanja, termasuk mengelak segala bentuk pembaziran. Lebih-lebih lagi di pihak kerajaan, amat perlu membanyakkan aktiviti-aktiviti ekonomi, sambil tidak lupa, merancang langkah-langkah untuk, menghadapi saingan, apabila ekonomi dunia pulih nanti.
Negara turut bernasib baik dengan harga minyak yang melonjak naik beberapa tahun sebelumnya, kerana ia, benar-benar menyumbang kepada lebihan hasil pendapatan kerajaan.
Hasil lebihan ini perlu diurus dengan sebaik mungkin untuk memperolehi pulangan bagi mengukuhkan lagi fiskal negara dalam jangka panjang. Maka untuk tujuan ini, beta telah memperkenankan penubuhan sebuah dana, dipanggil Sustainability Fund di bawah Kementerian Kewangan. Dan untuk tujuan pengawalan serta pengurusan Dana, beta juga telah memperkenankan satu rang undang-undang yang dipanggil Sustainability Fund Order yang mula berkuat kuasa pada 11 Mac 2008.
Dalam menangani perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan, kita juga mengambil ingatan akan perkara-perkara di luar kawalan dan jangkaan, seperti baru-baru ini satu fenomena banjir luar biasa dan tanah susur telah turut melanda negara ini. Kejadian ini memberi impak teruk kepada sejumlah besar rakyat dan penduduk.
Selain menyumbangkan bantuan-bantuan, kita juga perlu mengambil langkah ke hadapan pada mengemaskini rangkaian infrastruktur negara, sehingga tidak ada lagi apa yang disebut sebagai kemudahan-kemudahan asas yang lemah atau keperluan-keperluan utama yang belum ditangani.
Sebenarnya, peruntukan-peruntukan untuk itu telah pun disediakan, dan malah, bila keadaan memerlukan, peruntukan tambahan boleh saja ditimbangkan. Contohnya, kerana kejadian yang melanda baru-baru ini, maka beta telah memperkenankan satu peruntukan khusus berjumlah $30 juta untuk mempercepatkan lagi usaha atau langkah-langkah pembaikan, pemeliharaan dan penaik taraf infrastruktur dan lain-lain kemudahan awam. Agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dikehendaki serentak untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing tanpa berlengah.
Beta melihat, masih banyak kerja-kerja terbengkalai yang perlu dipercepat. Setengah projek tu, baru saja berjalan tiba-tiba berhenti. Mengapakah ia terhenti? Di manakah salahnya ini? Apakah ini tidak mungkin – menjadi salah satu sebab – menyumbang kepada banjir besar?
Semua itu memerlukan kajian dan ‘jawapan tepat’ untuk mengatasinya.
Beta percaya, Ahli-ahli Yang Berhormat tidak akan lepas pandang begitu saja terhadap perkara-perkara seumpama ini, tetapi akan memberikan perhatian secukupnya kepada apa-apa jua yang menyangkut dengan kebajikan rakyat dan negara tanpa takut-takut, atau malu-malu dan ragu.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment