Tuesday, 28 May 2013

Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Tahun 1432 Hijrah / 2011 Masihi

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Tahun 1432 Hijrah / 2011 Masihi bertempat di Pusat Persidangan Pertahanan Antarabangsa (Bridex).

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,  Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Seminar Antarabangsa Perundangan Islam yang bertemakan ‘Ke Arah Pelaksanaan Undang-Undang Syari’ah’.

Seminar yang julung-julung kali serupa ini adalah satu usaha yang baik ke arah menyahut cita-cita beta untuk melaksanakan Undang-Undang Syari’ah, sebagaimana yang beta pernah titahkan berulang kali.

Cita-cita ini adalah salah satu cita-cita utama beta, yang telah sekian lama disuarakan, tetapi sehingga kini ia masih lagi ditangani.

Negara Brunei Darussalam walaupun  kecil, tetapi tidaklah menghalangi untuk mengambil langkah-langkah melaksanakan Undang-Undang Syari’ah. Kerana selaku orang Islam, kita wajib melaksanakannya, sebagai memenuhi tuntutan Allah Subhanahu Wata’ala. Apabila Undang-Undang Syari’ah terlaksana, maka barulah bumi yang permai ini dapat diungkap sebagai ‘negeri yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun’.

Kita tidak ada pilihan lain selain daripada mematuhi semua perintah Allah. Inilah kewajipan utama kita. Salah satu daripadanya perintah itu ialah melaksanakan undang-undang-Nya.

Itu adalah Undang-Undang Syari’ah secara ’amnya. Pada 15 Julai 1996 dan dalam Persidangan Majlis Ugama Islam pada 13 Mac 2011, beta ada menyebut secara khusus mengenai Undang-Undang Jenayah Syarak.  Ini juga sepatutnya mendapat perhatian yang serius dan segera.

Kerana kita tidak boleh lagi berkata tidak atau tunggu dulu, sebab kita sudah cukup segala-galanya, ada kemampuan dan ada kuasa untuk melaksanakannya. Kalau kita masih juga berkata tidak atau tunggu dulu, ini adalah tidak kena.

Siapalah kita di hadapan Allah untuk berkata  tidak atau tunggu dulu, sedang undang-undang bukanlah baru digubal tetapi telah termaktub di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadis, semenjak dari seribu empat ratus tahun lagi. Di manakah kita dengan Al-Qur’an dan Al-Hadis itu?

Kerana itu, beta amatlah terpanggil tanpa sebarang keraguan, untuk melihat satu akta Undang-Undang Jenayah Syarak wujud dan dilaksanakan, di samping tidak menolak undang-undang biasa juga akan masih  masih digunapakai.

Dalam makna, Akta Jenayah Syarak adalah diperlukan, sementara Akta Sivil biasa, masih saja tidak diketepikan.

Dalam Persidangan Majlis Ugama Islam pada dua hari lepas, beta ada menyebut tentang kerjasama di  antara pihak Perundangan Islam dan Perundangan Sivil. Kedua-dua pihak ini telah pun menjalani kerjasama yang baik, dan kerjasama itu perlu diteruskan.

Kita di Brunei telah melakukan sesuatu yang sangat indah lagi unik dalam perkara perundangan. Kita telah dan sedang berusaha mengislamkan semua undang-undang kita. Kita telah menyesuaikan semua  undang-undang sivil yang ada dengan kehendak Islam, dalam makna sivil itu dikekalkan tetapi dalam bentuk dan rupa yang lebih sempurna  berteraskan Islam.

Beta yakin, bila mana nanti kita melaksananya Undang-Undang Jenayah Syarak, amali mengekalkan sivil akan lebih ketara lagi kepentinganya. Misalnya apabila sesuatu kes jenayah itu tidak dapat ditangani dengan akta syarak disebabkan oleh faktor tertentu, maka ia akan kita tangani secara sivil yang juga telah diselaraskan dengan kehendak syarak.

Apakah tidak cantik ini? Pada hemat beta, ia adalah sangat cantik dan malah unik.

Beta berharap, seminar ini akan dapat mencetuskan lagi idea-idea baru yang kukuh untuk menpercepatkan wujudnya akta jenayah syarak yang sedang kita tuju. Beta pecaya Allah Subhanahu Wata’ala sedang menyuluh kita dengan rahmat-Nya kerana cita-cita ini, dan malah sedang membekalkan kepada kita kekuatan untuk itu.

Beta dengan ikhlas dan kerana Allah jua, tidak lupa mengucapkan syabas dan tahniah kepada Mahkamah-mahkamah Syari’ah yang berjaya mengadakan seminar yang bersejarah ini.

Dengan kalimat  Bismillahir Rahmanir Rahim, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Anbiyaai Walmursaleen, beta rasmikan Seminar Antarabangsa Perundangan Islam yang bertemakan ‘Ke Arah Pelaksanaan Undang-Undang Syari’ah’.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment