Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Santap Malam bagi
meraikan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia sempena Perundingan Tahunan Ke-13 Antara
Negara Brunei Darussalam dan Malaysia pada Hari Rabu, 14 Syaaban 1430 /
5hb Ogos 2009
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS SANTAP MALAM BAGI MERAIKAN
YAB DATO’ SERI MOHD. NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA PERUNDINGAN TAHUANAN KE-13 ANTARA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DAN MALAYSIA
PADA HARI RABU 14 SYAABAN 1430/5 OGOS 2009
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddien, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia,
Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor,
Para tetamu kenamaan, Para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu saya dengan sukacita mengalu-alukan kunjungan rasmi Yang Amat Berhormat berserta rombongan ke Negara Brunei Darussalam, bersempena dengan Perundingan Tahunan Kali ke-13 diantara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.
Saya yakin, kehadiran Yang Amat Berhormat, akan mengukuhkan lagi hubungan mesra diantara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.
Hubungan diantara kedua-dua buah negara bukanlah baru, tetapi telah lama wujud, berlandaskan wadah saling kenal-mengenali.
Alhamdulillah, sepanjang tempoh hubungan ini, telah membawa banyak perkembangan di pelbagai bidang.
Istimewa pula, pada bulan Mac tahun ini, kita telah menandatangani "Pertukaran Surat-Surat" bagi Penghadan Sempadan Maritim.
Sesungguhnya, penyelesaian masalah "sempadan laut" bagi kedua-dua buah negara kita, juga menandakan wujudnya semangat kejiranan dan kesetiakawanan yang sihat di antara kita.
Saya percaya, dengan adanya suasana ini, dapatlah kita melangkah ke era yang baru, bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan hubungan, selaku Rakan Kongsi Strategik.
Demikian juga, amat sesuai dan malah telah tiba masanya untuk kita menumpukan usaha sebagai rakan, bagi mempromosikan kerjasama ekonomi, terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga dan pelancongan.
Kerjasama kita dalam bidang-bidang ini, dapat dipermudahkan lagi, dengan adanya beberapa mekanisme dua hala yang sedia wujud, terutama Perundingan Tahunan semenjak tahun 1997.
Saya berpendapat, Perundingan ini amatlah berfaedah, untuk menilai dan menyelaras serta meningkatkan lagi kerjasama kita.
Para pegawai kita juga berpeluang luas untuk bekerjasama lebih rapat di Koridor Pembangunan Sabah, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak dan Iskandar Malaysia di Semenanjung Malaysia.
Demikian juga, peluang ini turut terbuka di dalam bidang-bidang tertentu, seperti bidang pertanian, pelancongan, perikanan, Perbankan Islam dan produk-produk halal.
Pada kesempatan ini, saya juga mengalu-alukan penyertaan pelabur-pelabur dari Malaysia, dalam projek-projek infrastruktur di Negara Brunei Darussalam, seperti projek skim perumahan kebangsaan yang kini sedang diusahakan oleh sebuah syarikat Malaysia.
Dalam hubungan ini, penandatanganan Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda, yang baru-baru ini dicapai, akan mewujudkan suasana yang lebih kondusif bagi menggalakkan lagi pelaburan dan perdagangan diantara kedua-dua buah negara.
Selain itu, usahasama secara khusus bagi pembangunan infrastruktur pengangkutan patutlah juga dipercepatkan, bagi memudahkan lagi kerjasama kita dengan Koridor Pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Ini akan memberi juga laluan untuk kita mencapai matlamat kerjasama serantau terutama di bawah kawasan BIMP-EAGA.
Yang Amat Berhormat,
Pada masa ini, kita sama-sama berhadapan dengan cabaran-cabaran getir berupa krisis ekonomi dan kewangan sejagat. Ia menjejaskan banyak negara dengan pengecutan sumber pendapatan dan kehilangan pekerjaaan.
Ini sepatutnya akan mendorong kita di kalangan rakan ASEAN untuk lebih bersatu lagi menanganinya.
Ia juga boleh jadi landasan untuk mempercepatkan lagi integrasi ekonomi, sebagaimana termaktub dalam Piagam ASEAN yang kita telah tandatangani bersama.
Dengan takdir Allah, pada masa kita menghadapi kegawatan ekonomi ini, kita juga telah dikejutkan oleh wabak Influenza A H1N1.
Kesan dari wabak ini juga turut menambahkan lagi kecederaan ekonomi, khasnya bagi sektor pelancongan.
Namun berkat ada usaha menghadapinya dan berkat do'a kita bersama, insya-Allah wabak ini akan meninggalkan kita juga.
Apa saja jenis krisis, ia terpaksa dihadapi, termasuklah pelbagai cabaran, seperti perubahan iklim, keselamatan tenaga, keselamatan makanan dan seumpamanya.
Dalam isu ini, kita di kalangan negara-negara ASEAN memerlukan langkah-langkah berkesan lagi bersepadu untuk menanganinya.
Yang Amat Berhormat,
Saya, kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam akan terus bekerjasama dengan pentadbiran Yang Amat Berhormat.
Saya juga yakin, di
bawah pimpinan Yang Amat Berhormat, hubungan negara kita akan terus
dieratkan.
Dalam kesempatan ini, saya tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada lebih 14, 000 orang warga Malaysia, yang sedang berkhidmat dan membantu kami didalam bidang pembangunan.
Saya juga secara khusus menghargai budi bicara Yang Amat Berhormat membawa sekian ramai pegawai, termasuk beberapa orang Menteri dalam rombongan. Semua ini menandakan muhibah serta komitmen tinggi Yang Amat Berhormat kepada persahabatan dan persefahaman di antara ke dua buah negara kita.
Akhirnya, saya berharap, Yang Amat Berhormat, Datin Paduka Seri dan rombongan, akan merasa gembira dapat membawa kenang-kenangan manis ketika berada di negara ini.
Pertukaran lawatan seperti ini setentunya melambangkan persahabatan dan muhibah yang tinggi di antara kerjaaan dan rakyat kita.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabaratakuh.
Dalam kesempatan ini, saya tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada lebih 14, 000 orang warga Malaysia, yang sedang berkhidmat dan membantu kami didalam bidang pembangunan.
Saya juga secara khusus menghargai budi bicara Yang Amat Berhormat membawa sekian ramai pegawai, termasuk beberapa orang Menteri dalam rombongan. Semua ini menandakan muhibah serta komitmen tinggi Yang Amat Berhormat kepada persahabatan dan persefahaman di antara ke dua buah negara kita.
Akhirnya, saya berharap, Yang Amat Berhormat, Datin Paduka Seri dan rombongan, akan merasa gembira dapat membawa kenang-kenangan manis ketika berada di negara ini.
Pertukaran lawatan seperti ini setentunya melambangkan persahabatan dan muhibah yang tinggi di antara kerjaaan dan rakyat kita.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabaratakuh.
No comments:
Post a Comment