Tuesday, 28 May 2013

Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1430H/2009M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan 1430H/2009M (Malam Kedua) bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa pada Hari Khamis (Malam Jumaat) 4 Jamadilakhir 1430 / 28 Mei 2009

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS

PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT KEBANGSAAN 1430H/2009 MASIHI (MALAM KEDUA)

BERTEMPAT

DI DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA

PADA

HARI KHAMIS (MALAM JUMAAT)
4 JAMADILAKHIR 1430/28 MEI 2009


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim


Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een.  Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya mengurniakan kita kemakmuran, keselamatan dan kesejahteraan.  Nikmat ini kita capai adalah hasil dari usaha mematuhi segala ajaran agama Islam selaku cara hidup yang lengkap lagi sempurna.

Pertandingan Membaca Al-Qur’an, dihasratkan ialah untuk menyubur dan membangkitkan lagi semangat belajar Al-Qur’an dengan bacaan yang baik dan indah.  Bacaan yang baik dan indah akan tambah merangsang kemajuan pembelajaran Al-Qur’an itu.

Orang-orang yang pandai Al-Qur’an dengan sendirinya akan menghayati Al-Qur’an.  Inilah rahsia Al-Qur’an.  Ia akan jinak kepada ahlinya, yakni siapa yang pandai serta sentiasa menyukainya, dan akan jauh dari siapa yang berkeadaan sebaliknya.

Ahli Al-Qur’an pasti rajin membacanya.  Kerana dia tahu membaca Al-Qur’an itu mendatangkan rahmat dan pahala.  Hati yang gusar dan jiwa yang resah akan tenang dengan membaca Al-Qur’an.  Dalam makna, semua gangguan rohani, insya-Allah akan terubat dengan Al-Qur’an.

Demikian itulah hebatnya Al-Qur’an.  Ia adalah suluh daripada Allah Taala, mempunyai kuasa luar biasa, untuk menyuluh hidup ini dan juga kehidupan sehingga ke dasarnya.

Sebab itu orang Islam tidak boleh tidak mesti pandai membaca Al-Qur’an atau jadi ahli Al-Qur’an.  Kerana jika tidak, mereka akan kehilangan suluh yang berkuasa luar biasa ini.

Cara untuk pandai itu, tidak lain, mesti dengan belajar.  Wajib belajar.  Kalau tidak belajar, akan punahlah harapan untuk jadi ahli Al-Qur’an itu.

Kerana itu, kewajipan kita semua ialah belajar, lebih-lebih lagi anak-anak.  Pastikan mereka itu tidak memilih jalan berkecuali dari mempelajari Al-Qur’an dan agama.

Sepatutnya, memang tidak berbangkit lagi, terdapat anak-anak yang tidak celik Al-Qur’an dan agama, kerana kalau tidak silap beta, sekolah agama telah pun wujud di negara ini semenjak lebih dari 50 tahun.

Jika terdapat juga orang-orang yang masih tidak celik di kalangan generasi sepanjang 50 tahun ini hingga sekarang, maka kita tentu saja berhak bertanya:  Mengapa?
Tidakkah ini menunjukkan mereka itu tercicir dari mendapat pendidikan di sekolah agama?  Dan mengapakah mereka tercicir?

Jawapan kepada soalan ini, pada hemat beta, bukanlah tidak penting, tetapi sangat penting, kerana ia menyangkut perkara dasar dan sistem pendidikan agama itu sendiri.

Jika dasar dan sistem itu masih ada kepincangannya, maka kita tidak boleh mendiamkan diri, melainkan mesti segera mengatasinya.

Akhirnya, beta ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya di dalam pertandingan ini.  Semoga akan berjaya juga hendaknya di peringkat antarabangsa nanti.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment