Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Perasmian Mahrajan Haflut Takharruj Pertama
dan Istiadat Pelancaran Penulisan Mushaf Al-Qur’an UNISSA pada hari
Isnin, 26 Zulkaedah 1432H/24 Oktober 2011M bertempat di Pusat
Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, beta bersyukur kerana dapat hadir di majlis yang bersejarah ini, Majlis Perasmian Mahrajan Haflut Takharruj atau Pesta Konvo Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Beta difahamkan, banyak acara dan program telah disusun, di mana acara kemuncaknya ialah Istiadat Pelancaran Penulisan Mushaf Al-Qur’an UNISSA.
Beta gembira dan bangga jika kesemua acara dan program yang disusun itu menetapi lunas-lunas Islam tulen. Janganlah seperti setengah pihak, cuma dalam bahasa ia indah, mahukan kualiti rohani berteraskan MIB, tetapi yang jadinya bukan MIB.
Melalui Mahrajan atau Pesta Konvo pertama UNISSA ini, perlulah didedahkan seberapa banyak acara dan program yang berfaedah untuk melatih para mahasiswa dan mahasiswi, bagaimana bertindak dan berfikir secara bijaksana, bukannya hanyut dengan keseronokan-keseronokan melulu yang mematikan hati.
Semua orang sangat ghairah bercakap mengenai ‘identiti’. Namun dalam masa yang sama, bukan semua orang bersikap konsisten mengagungkan identiti, melainkan kadang-kadang, ada juga yang mencemarkan identiti,walaupun baru sebentar bercakap mengenai identiti.
Beta difahamkan, tema Mahrajan atau Pesta Konvo UNISSA berbunyi ‘Memperkasakan Kegemilangan Islam’. Beta berharap, apa yang diungkapkan oleh tema ini akan benar-benar menepati sasaran.
Kita memanglah sedang menuju ke sini, tetapi apa yang kita mahu, bukanlah setakat gemilang di luar, bahkan lebih utama lagi, kita gemilang dapat meraih keredaan Allah melalui segala amal salih, termasuk kejayaan kita mendaulatkan undang-undang-Nya, insya-Allah.
Salah satu mercu kegemilangan yang sedang kita tempah ialah menggantikan cokmar dengan Mushaf Al-Qur’an. Ini telah dipelopori oleh UBD, diikuti oleh UNISSA dan KUPU SB pula.
Lebih menarik dan tersendiri, beta telah memperkenankan Mushaf Al-Qur’an UNISSA itu akan ditulis oleh anak tempatan kita sendiri, berbanding dua mushaf yang sudah ada, Mushaf Brunei Darussalam dan Mushaf UBD telah ditulis oleh penulis-penulis yang kita pinjam daripada luar negeri.
Bagaimanapun kita sangatlah berterima kasih kepada mereka yang berkenaan itu.
Adapun penulisan oleh anak tempatan kita, ianya merupakan ‘nilai tambah’ kepada sejarah penulisan Mushaf Al-Qur’an di Brunei. Ia tentu saja akan memberi imej tersendiri kepada Brunei dan mampu meletakkannya sebaris dengan negara-negara Islam lain, yang telah menghasilkan penulisan-penulisan mushaf mereka masing-masing.
Dalam pada itu, mustahak diingat, penulisan Mushaf UNISSA itu nanti, bukan sahaja menepati kesahihan tulisan dan motif hiasan-hiasannya, malahan juga perlu menepati piawaian ilmiah pentashihan, yang turut meliputi aspek seperti tanda-tanda waqaf, nombor ayat, bentuk huruf, baris dan lain-lain.
Kitab-kitab muktabar dalam bidang qira’at dan rasam Al-Qur’an juga mesti dijadikan rujukan, supaya terjamin kesempurnaannya, dalam makna sebarang kesilapan yang boleh mengundang kepada kritikan-kritikan ilmiah hendaklah dijauhi.
Akhirnya, beta tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua yang berkenaan, khasnya ahli-ahli Jawantankuasa Tertinggi Mushaf Al-Qur’an Universiti Islam Sultan Sharif Ali yang telah mengambil inisiatif menjayakan ‘usaha besar’ ini.
Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Rasulillah, Wa’alaa Aalihee Washabihee Wamanwalaah, beta rasmikan Mahrajan Haflut Takharruj dan seterusnya melancarkan Istiadat Penulisan Mushaf UNISSA.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment