Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun
Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (1961 – 2011) pada hari Sabtu, 19
Syawal 1432H/17 September 2011M bertempat di Pusat Persidangan
Antarabangsa, Berakas.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Terlebih dahulu beta sukacita mengucapkan selamat menyambut Jubli Emas Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka. Ertinya, sudah lima dekad Dewan Bahasa dan Pustaka berdiri sebagai institusi yang memegang amanah membina dan mengembangkan Bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam.
Dalam tempoh tersebut, beta gembira negara telah dapat menghasilkan penulis-penulis tanah air yang menulis dalam Bahasa Melayu, yang setanding dengan penulis-penulis luar negara melalui pengiktirafan dan penerimaan anugerah penulisan serantau.
Pemartabatan Bahasa Melayu yang telah diperundangkan dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dan Pindaan 2004 sebagai bahasa rasmi negara membuktikan kerajaan beta adalah mengiktiraf peranan Bahasa Melayu itu. Ianya juga menandakan, tidak ada bahasa lain yang mengambil alih peranan Bahasa Melayu dalam memahami secara menyeluruh konsep, budaya dan minda bangsa Melayu.
Bahasa Melayu pernah mencatat sejarah keagungannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 Masihi lagi, apabila ia diangkat sebagai bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan di antara penduduk tempatan dengan bangsa asing, dan bahasa perdagangan di seluruh rantau Kepulauan Melayu. Dalam tahun-tahun 1603 – 1708, dua belas (12) buah kamus Melayu telah diterbitkan oleh bangsa asing. Ini menunjukkan betapa giatnya orang-orang Eropah dan bangsa-bangsa lain mempelajari Bahasa Melayu ketika itu.
Beta amat menghargai usaha-usaha yang dilaksanakan bagi memartabatkan Bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam melalui pelbagai program, serta kegiatan memperkasa budaya membaca yang melibatkan belia-belia dan masyarakat umum melalui perpustakaan-perpustakaan di negara ini.
Dalam waktu yang sama, kempen Bulan Bahasa dan Ikrar Bahasa Kebangsaan pada tahun 1962 juga adalah merupakan manifestasi sokongan rakyat serta penduduk ke arah memulia dan mendaulatkan Bahasa Melayu di negara ini.
Sekarang, dunia adalah lebih terbuka membawa cabaran-cabaran baru yang bernama cabaran globalisasi. Cabaran-cabaran ini tidak terkecuali turut menghambat proses pengembangan dan pemantapan Bahasa Melayu sendiri. Bahasa Melayu dalam bentuk bahasa cyber dalam pesanan ringkas sahaja, boleh membawa banyak kecacatan dari kesempurnaannya.
Itu belum lagi soal pengaruh dari sudut penggunaan, di mana orang kita kadang-kadang lebih selesa memilih bahasa asing dari bahasanya sendiri.
Kita sama sekali bukan menafikan kepentingan bahasa asing. Malah kita juga menggalakkannya supaya dipelajari dan didalami, terutama bahasa-bahasa asing yang utama. Cuma yang lebih penting di sini ialah pendaulatan Bahasa Melayu itu mestilah ia jangan dikendurkan, jangan sampai ’dikeduakan’, atau kita dengan senghaja melangkahinya dalam keadaan dan ketika yang tidak perlu.
Tidakkah kita sedang menyaksikan, berapa banyak bangsa-bangsa di dunia yang sangat kuat dan patuh menggunakan bahasa mereka, dan mereka itu adalah lebih maju daripada kita. Mereka membangun dan berkembang dengan bahasa mereka. Apakah kita tidak tersuntik untuk maju seperti juga mereka, melalui bahasa kita sendiri? Bukankah kita sudah mengenal pasti, bahawa bahasa kita Bahasa Melalyu adalah bahasa yang berstatus lingua fanca semenjak dari enam ratus tahun lagi?
Demikianlah, berdasarkan sejarah, tidak diragui lagi, Bahasa Melayu adalah ‘bahasa besar’, bahasa yang cukup syarat serta berpotensi untuk menjadi salah satu bahasa dunia. Mengapakah kita ketandusan usaha dan cita-cita ke arah itu?
Pada hemat beta, inilah ketikanya Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) memikir dan melakar gagasan, bagaimana untuk menaik taraf Bahasa Melayu menjadi bahasa dunia. Ini bukanlah angan-angan, tetapi keyakinan yang diasaskan kepada fakta dan disokong pula oleh pendapat para sarjana mengenainya.
Menyebut Bahasa Melayu sebagai ‘bahasa besar’ ini, ia juga mempunyai sistem atau kaedah tersendiri yang unik, khasnya dalam perkara tulisan dan ejaan. Dalam tulisan dan ejaan, ia ada dua bentuk yang berbeza: Jawi dan rumi, sesuatu yang barangkali tidak terdapat pada bahasa-bahasa lain.
Dalam hubungan ini, ingin beta membawa sidang hadirin untuk melihat perkara ejaan itu, kerana ejaan juga turut menentukan kesahihan sesuatu maksud. Khasnya ejaan rumi, jika kita mengeja sesuatu perkataan yang ada unsur keugamaan, maka sudah barang tentu ia perlu diselaraskan dengan bunyi sebutan yang betul.
Seperti perkataan yang ada terdapat huruf ‘ain, pada masa ini ‘ain itu dieja dengan ‘k’, seperti perkataan da’wah jadi dakwah, dan perkataan yang ada huruf dhad dieja dengan ‘d’seperti qadhi jadi kadi.
Pada hemat beta, perkara seperti ini juga perlulah dihalusi dan diperhatikan oleh ahli-ahli bahasa, dan malah dari ahli ugama juga patut diminta penglibatan mereka.
Akhirnya beta sukacita mengalu-alukan kehadiran para pembentang kertas kerja daripada dalam dan luar negeri, serta diucapkan juga selamat berkongres bagi mencapai tujuan pembudayaan Bahasa Melayu perkasa.
Beta juga dengan ini sukacita mengumumkan pengisytiharan bulan Julai sebagai Bulan Bahasa. Ia dilihat sebagai harapan, supaya rakyat memiliki sikap dan semangat positif untuk menjadi satu bangsa yang bermaruah, yang mendaulatkan bahasanya sendiri.
Maka sehubungan ini, beta menyarankan kepada kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan sektor swasta untuk melaksanakan tindakan-tindakan proaktif bagi melestarikan Bahasa Melayu dalam segmen perkhidmatan mereka.
Dengan lafaz: Bismillahir Rahmanir Rahim, Allahumma Shalli ‘Alaa Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aali Sayyidina Muhammad, beta rasmikan Sambutan Jubli Emas Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kongres Antarabangsa Bahasa dan Budaya.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment