Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam di Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara
Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Ireland Utara
terdiri daripada penuntut-penuntut, pegawai-pegawai kerajaan yang
bertugas, berkursus dan dalam percutian bersama keluarga di London,
United Kingdom pada hari Ahad, 1 Mei 2011.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat bersama-sama dengan rakyta dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di sini, terutama para penuntut dan pegawai kerajaan yang sedang bertugas atau berkursus dan juga mereka yang di dalam percutian bersama keluarga.
Beta berharap perhimpunan ini akan dapat memberi manfaat kepada sekalian yang hadir.
Adalah sedia dimaklumi, ramai yang hadir di sini terdiri daripada golongan penuntut. Mereka itu, di mata rakyat dan kerajaan, adalah selaku aset dan juga ejen masa depan.
Kerana itu, pada setiap tahun, kerajaan tidak teragak-agak untuk menganugerahkan biasiswa kepda mereka yang cemerlang bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.
Negara memang memerlukan mereka demi kelangsungannya. Kerana pada mereka itu terdapat upaya dan potensi menentukan, sama ada negara akan bergerak maju ataupun sebaliknya.
Sebab itulah, para penuntut perlu sedar, bahawa diri mereka bukanlah milik mutlak mereka sendiri, tetapi juga turut dikongsi oleh masyarakat dan negara.
Tidak kira sama ada mereka belajar sendiri, atau apatah lagi yang terikat dengan biasiswa kerajaan, mereka tidaklah boleh mengelak tanggungjawab terhadap kerajaan apabila mereka telah lulus nanti.
Tetapi malangnya, sudah ada kedengaran orang yang memilih tempat lain dari negaranya sendiri untuk berkhidmat.
Dengan apa pun alasan, perkara ini adalah tidak elok. Kerana ia bertentangan dengan etika taat setia, atau juga boleh disebut sebagai tidak patriotik.
Jika kita padat dengan kesetiaan dan memiliki semangat patriotik, sudah barang tentu perkara ini tidak mungkin berlaku. Kepentingan negara tentu sahaja akan diutamakan melebihi daripada kepentingan diri sendiri.
Jadi sukalah beta mengingatkan, suapaya para penuntut benar-benar bersikap bulat kepada Brunei. Janganlah sumbing atau cacat. Biar kita tetap bulat supaya lebih berkat.
Negara Brunei Darussalam amat memerlukan orang-orang cerdik pandai dari kalangan warganya sendiri. Kerana itu kerajaan beta sanggup berbelanja besar untuk menghantar penuntut-penuntut dan pegawai-pegawai bagi mendapatkan kelayakan-kelayakan tertentu di dalam bidang-bidang yang diperlukan.
Tetapi sayangnya, terdapat mereka yang enggan pulang untuk berkhidmat di tanah air sendiri.
Beta berharap, attitude kurang bagus ini janganlah ianya berterusan, tetapi perlu segera berakhir, digantikan oleh attidude Brunei tulen.
Attitude Brunei tulen ialah sukan mematuhi janji dan pandai membalas budi.
Inilah dua bentuk attitude yang menjadikan Brunei sebuah negara yang sangat-sangat disenangai lagi dihormati.
Oleh itu, bagi semua penuntut dan pegawai, patutlah menjadikannya sebagai pakaian dan pegangan mereka di semua keadaan dan masa.
Ingatlah, penuntut dan pendidikan adalah pelaburan sepanjang hayat. Masyarakat dan negara mahu melihat hasilnya.
Jika hasil yang diharapkan itu tidak memuaskan, bermakna pelaburan kita telah gagal menepati sasarannya.
Oleh itu perlu disedari oleh para penuntut, bahawa mereka tidak pernah luput daripada cabaran, cabaran paling sengit, termasuklah cabaran gaya hidup baru yang terpaksa dilalui oleh mereka.
Gaya hidup baru ini, meliputi cara belajar, cara bergaul, cara berfikir dan seumpamanya. Jika semua cara-cara ini gagal dikuasai oleh mereka, bererti negara juga gagal dalam pelaburannya.
Maka sehubungan itu, amatlah wajar ditekankan, supaya para penuntut kita benar-benar menjadi golongan pemikir, bukan sahaja untuk kebaikan diri mereka sendiri, malahan juga bagi kebajikan seluruh masyarakat dan negara.
Di samping fokus kepada kebajikan duniawi, para penuntut juga jangan sekali-kali mengabaikan hubungan mereka dengan Allah Ta’ala.
Inilah dia garis pemisah di antara kita dengan orang lain. Kita tidak hanya menggunakan akal, tetapi juga terikat kepada syari’at dan akidah.
Pandai-pandailah menyesuaikan diri. Jangan diabaikan warisan kita: Melayu Islam Beraja, insya-Allah, kapal kita akan selamat walaupun laut bergelora.
Akhirnya, beta turut berdoa semoga rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di sini akan menikmati kesejahteraan.
Demikian juga, tidak dilupakan para penuntut, semoga mereka semuanya berada dalam sihat, terang hati dan beroleh petunjuk sehingga dengannya akan mendapat kejayaan-kejayaan yang cemerlang di dalam pengajian masing-masing.
Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment