Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Tahun Baru Masihi
2012
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa
Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina
Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Baru sahaja lebih sebulan kita melangkah ke dalam Tahun Baru
Hijrah 1433, dan kini, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala, kita memasuki pula
Tahun Baru Masihi 2012.
Sewajarnyalah kita wajib bersyukur di atas rahmat Allah
kepada kita berupa umur panjang dan keamanan negara.
Keamanan itu tidak ternilai harganya. Ia bukan saja patut
disyukuri malahan juga mesti dipelihara. Memelihara keamanan adalah
tanggungjawab semua. Pembangunan tidak ada ertinya tanpa keamanan. Kerana
keamananlah satu-satu pembangunan itu dapat berjalan dengan lancar tanpa
gangguan. Sebaliknya jika tidak ada keamanan, semua pembangunan boleh
tergendala dan gagal.
Kita melangkah ke tahun baru dengan azam, untuk memperbaiki
kelemahan-kelemahan jika ada, disamping bersedia menghadapi cabaran-cabaran
mendatang yang pasti wujud.
Sama ada cabaran itu bersifat dalaman atau global,
kedua-duanya perlu dihadapi dengan penuh kebijaksanaan dan lapang dada.
Contoh satu cabaran besar, apabila beberapa bulan yang lalu,
dunia telah dikejutkan oleh satu berita tentang hutang yang amat tinggi bagi
sebilangan negara-negara maju. Impaknya, turut menjadikan ekonomi dan kewangan
global semakin meruncing.
Kadar hutang yang tinggi dan diluar kemampuan, bukan saja
menjejaskan pertumbuhan sesebuah negara, malahan juga mampu menggugat ekonomi
global. Banyak negara, termasuk negara-negara di rantau ini, turut mengalami
kesannya.
Ini, jika berlarutan, boleh saja turut menjejaskan ekonomi
kita sendiri yang lebih bergantung kepada industri minyak dan gas.
Kerana itu, Beta dengan tidak jemu-jemunya mengingatkan,
supaya kita melipatgandakan lagi usaha kearah mempelbagaikan ekonomi negara.
Pada tahun 2012 ini, insya Allah, kita akan mengukuhkan lagi
usaha-usaha kearah itu, melalui Rancangan Kemajuan Negara ke-10 (RKN ke-10)
yang akan bermula pada 1 April 2012.
Salah satu fokusnya nanti ialah untuk mewujudkan suasana
perniagaan yang lebih kondusif supaya sektor swasta akan dapat berkembang
dengan lebih cepat dan mudah.
Oleh itu, Beta berharap, kita akan lebih komited untuk
melaksanakan inisiatif-inisiatif dan projek-projek di bawah RKN ini,
terutamanya dalam pemberian perkhidmatan kepada orang ramai.
Ini adalah tanggungjawab kita semua untuk memikulnya dengan
penuh kesungguhan. Dengan adanya pencapaian kita di dalam bidang-bidang yang
penting, maka sudah barang tentu, negara dan rakyat akan dapat mengekalkan
kehidupan yang makmur dengan izin Allah.
Disamping itu, jangan pula lupa, turut menjadi kunci
kestablilan dan kemakmuran ialah amalan "berjimat cermat". Sikap
berhemat dalam berbelanja, sama ada di peringkat kerajaan, rumah tangga mahupun
individu adalah tonggak survival ekonomi negara. Kerana itu, berbelanja besar
di luar kemampuan adalah satu tragedi pahit.
Oleh itu, tidak ada pilihan lain dari mengawal dan
mengelakkan apa jua jenis pembaziran, termasuk ke atas kemudahan-kemudahan yang
diberikan subsidi, seperti tenaga.
Penguatkuasaan tariff eletrik yang baru akan bermula esok. Ia
perlu mendapat sokongan daripada kita semua sebagai langkah mengawal
pembaziran.
Penjimatan tenaga, akan secara langsung mengurangkan kadar
penggunaan minyak dan gas tempatan, yang juga akan membolehkannya lebih banyak
untuk ekspot dan industri hiliran bagi meningkatkan lagi pendapatan negara dan
juga peluang pekerjaan.
Dalam aspek sosial, Kerajaan Beta juga akan terus memberikan
perhatian kepada program-program pembangunan, seperti perumahan, kesihatan dan
keselamatan makanan.
Di bidang kesihatan, Beta sangatlah mengambil berat tentang
peningkatkan penyakit-penyakit tidak berjangkit, seperti kencing manis, darah
tinggi, buah pinggang, kanser dan sakit jantung.
AKhir-akhir ini, Beta sangat bimbang terhadap dapatan-dapatan
kajian yang menunjukkan terdapat peningkatan obesiti di negara ini. Ini adalah
petanda adanya amalan kehidupan yang tidak seimbang.
Marilah sama-sama kita membina azam untuk lebih berdisiplin
dalam menjaga kesihatan, khasnya dalam perkara memilih makanan sihat, menghindari
rokok dan rajin beriadhah.
Sebagai sebahagian dari proses pendidikan dan pembinaan
disiplin diri, Kerajaan Beta telah meluluskan Program Khidmat Bakti Negara
untuk para belia.
Program ini
dilaksanakan secara berperingkat, bermula dari skala kecil, bagi mempastikan
kemajuannya adalah teratur.
Di arena antarabangsa, Beta gembira negara kita akan menjadi
tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun 2013. Dengan demikian, pada
tahun 2012 ini, kita kenalah mempastikan persiapan awal untuk menjayakan
mesyuarat yang penting itu.
Akhir sekali, Beta sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat pegawai dan kakitangan
Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan dan juga kepada mereka yang
berkhidmat di sektor swasta di atas segala usaha melaksanakan tanggungjawab
masing-masing.
Di kesempatan ini juga, Beta dan keluarga Beta tidak lupa
mengucapkan Selamat Tahun Baru Masihi 2012 kepada seluruh rakyat dan penduduk,
semoga kita dan negara akan terus mendapat rahmat dan pemeliharaan Allah
subhanahu Wata'ala. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu'alaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment