TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
TAHUN 1429 HIJRAH
PADA
HARI KHAMIS
12 RABIULAWAL 1429 / 20 MAC 2008
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
TAHUN 1429 HIJRAH
PADA
HARI KHAMIS
12 RABIULAWAL 1429 / 20 MAC 2008
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Dengan penuh insaf, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat menyambut dan memperingati lagi Maulid Ar-Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini.
Kita telah mengisi bulan ini (Rabiulawal) dengan dikir dan selawat di semua masjid, surau dan balai ibadat, dan akan mengadakan juga perhimpunan dan perarakan seperti biasa. Semuanya itu adalah dengan niat untuk mensyi’arkan Islam selaku Agama Rasmi Negara dan anutan kita.
Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah ‘role model’ bagi umat Islam. Kita mencontohi
Baginda dalam segala aspek kehidupan rohani dan jasmani.
Baginda telah menunaikan tanggungjawab selaku khalifah Allah. Baginda telah memberi contoh bagaimana menjalani kehidupan biasa, bagaimana mencari rezeki, bagaimana bergaul dengan sahabat-sahabat dan kaum keluarga, dan lain-lain lagi. Semuanya itu adalah diminta kita untuk mencontohi Baginda.
Baginda adalah contoh kegigihan dan kerja kuat. Oleh itu kita umat Islam, jika mahu untuk jadi umat yang besar, maka kenalah kita mengikut jejak Baginda.
Usaha gigih dan kerja kuat diperlukan dalam membangun negara. Semua kita, tanpa ada kecualinya, mestilah tekun dan gigih, lebih-lebih lagi generasi muda selaku tunas bangsa, mereka itu perlu menjadi paksi kepada perubahan-perubahan besar yang bermanfaat.
Syarat untuk itu, mereka mestilah beriman, berakhlak dan berilmu.
Semua elemen-elemen ini akan menjadikan mereka teguh, berani dan berketrampilan. Dalam makna, tanpa iman, akhlak dan ilmu, tidak akan ada apa-apa yang boleh diharapkan.
Sejarah telah banyak mengajar bahawa usaha yang gigih yang dilengkapi dengan iltizam kuat serta semangat ingin maju, adalah merupakan penyebab utama kepada kemuliaan umat Islam di masa lampau. Ia berlaku kepada semua peringkat, khasnya golongan muda. Kepada golongan muda ini, sedang terletak harapan masa depan kita.
Al-Qur’an sendiri tidak ketinggalan merakamkan contoh pemuda-pemuda yang digantungkan harapan itu. Misalnya pemuda-pemuda Ashabul Khafi, walaupun jumlah mereka tidak ramai, namun kehadiran mereka dengan risalah tauhid, tidak dapat digugat-gugat. Mereka tidak mampu dipengaruhi oleh sebarang pengaruh negatif masyarakatnya. Mereka terus teguh walaupun terpaksa melawan arus.
Demikian itulah sifat pemuda pencorak zaman. Di samping memiliki ilmu dan akhlak, mereka juga mestilah jadi ibarat ikan di laut, walaupun seratus tahun dalam air masin, namun pengaruh garam tidak berkesan apa-apa untuk menjadikannya masin.
Inilah golongan muda atau tunas bangsa yang kita kehendaki. Bukan mereka yang lemah fizikal dan rohani, tetapi ialah mereka yang kuat. Bukan mereka yang kenyang dadah, tetapi yang kita mahu ialah mereka itu berseteru dengan dadah.
Maka dalam kesempatan ini, bersukut dengan kita memperingati Maulid Ar-Rasul, beta ingin mengingatkan kepada seluruh anggota masyarakat, khasnya generasi muda, supaya sentiasa memelihara mutu kehidupan kita dengan mengikut dan mematuhi segala ajaran yang telah dibawa oleh Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Inilah ertinya kita memperingati dan merayakan Hari Maulid Ar-Rasul itu, bukan setakat untuk berkumpul dan berdikir sahaja, tetapi lebih penting dari itu, kita buka balik lembaran kehidupan Baginda untuk dibaca dan diteliti, dan kemudian, terus dipakai sebagai pedoman.
Inilah gunanya perayaan itu kita adakan berulang-ulang pada setiap tahun.
Kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga komitmen kita terhadap peristiwa yang agung ini, akan menjanjikan kepada kita syafaat Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di akhirat kelak. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment