Monday, 27 May 2013

Titah Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1434

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1434

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, yang telah meminjamkan kepada kita umur, sehingga dapat menyambut Tahun Baru Hijrah 1434.

Menyebut hijrah, ada beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Pertama, ia akan mengingatkan kita kepada hijrah Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallahu ‘Alaihi Wasallam yang penuh dengan cabaran itu. Kedua, Penetapan bagi kalendar umat Islam, dan Ketiga, peningkatan umur kita, iaitu suatu isyarat tentang perubahan yang pasti berlaku, yang sepatutnya mampu untuk mendatangkan keinsafan kepada kita semua.

Hijrah adalah paksi tamadun ummah. Ia berlaku sebagai gerakan dakwah, dan kemudian dakwah itu pula, melahirkan peradaban demi peradaban diserata dunia.

Para pendakwahlah yang merubah wajah dunia, dari wajah hodoh jahiliah kepada wajah cantek yang berseri-seri.

Inilah dia “berkat” hijrah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam itu.

Mengenai berkat ini, Beta turut tertarik dengan tema sambutan pada tahun ini yang berbunyi: “Umat Bertaqwa Negara Berkat”. Tema ini tidak syak lagi adalah satu pendekatan mengajak bertaqwa.

Memang bertaqwa itu wajib bagi setiap individu muslim. Allah berjanji kepada orang-orang yang bertaqwa akan memberi mereka jalan keluar daripada segala macam kesukaran dalam hidup ini. Bukan itu sahaja, malah juga akan melimpahi mereka dengan rezeki yang tidak terlintas dihati. Tambahan lagi jika taqwa itu dihias dengan tawakal, maka segala-galanya akan menjadi milik mereka, berupa pertolongan dan pemeliharan Allah (lihat Surah At-Talaq, ayat 2 hingga 3).

Salah satu dari ciri taqwa ialah memelihara iman. Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sentiasa menyuruh kita untuk membaharuhi atau menggilap iman, dengan mengucapkan banyak-banyak “Laa-ilaha illallaah”, dalam makna, iman itu boleh saja malap-ataupun luntur jika tidak dipelihara.

Galakan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ini sayugialah jangan diambil ringan, kerana hikmahnya turut merujuk kepada keadaan yang ada sekarang, dimana semakin banyak yang timbul atau muncul semakin ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang menyalahi ‘aqidah. Jika benar ajaran atau fahaman itu salah, atau ada unsur sesat didalamnya, maka pembawa atau penganutnya mustahaklah bertaubat serta sekali gus mematuhi saranan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk membaharui iman itu.

Turut membimbangkan kita, medan bagi penyaluran ajaran atau fahaman menyeleweng ini sangatlah luasnya. Ia tidak lagi terbatas setakat dari mulut kemulut atau dari satu individu kepada individu lain, tetapi sudah sangat canggih dan lengkap melalui buku-buku, majalah-majalah, surat-surat khabar dan internet, seperti sahaja, keadaan itu sudah tidak dapat dibendung lagi.

Oleh itu, Beta mengingatkan, supaya kita di Brunei tidak akan terbawa-bawa untuk mencedok sebarang pemikiran atau fahaman yang menyalahi itu.

Luruskanlah pendirian dan tetapkan iman kita, kepada hanya, ugama yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam semata-mata, yang namanya adalah “Islam”.

Kita orang Islam mestilah sebulat-bulatnya kepada Islam itu, kerana inilah yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Kita tidak boleh menambah-nambah ataupun mengurangi apa-apa yang telah diperintahkan itu.

Kerana itu adalah sangat aneh, dan malah tidak dapat diterima sama sekali, sebarang istilah, seperti “Islam Liberal”, “Pluralisme Ugama” dan lain-lain lagi seumpamanya.

Ini semua, tidak akan kena mengena dengan Brunei. Brunei adalah Bumi Islam tulin. Insya Allah, pegangan ini akan terus kekal turun temurun, sehingga keakhir zaman.

Bersikut dengan sa’at yang bersejarah menyambut Tahun Hijrah 1434 ini, marilah kita sama-sama membaharui azam, untuk terus berjasa dan berbakti kepada Islam, dengan menyumbang apa saja, demi kesuciannya.

Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas dari hati yang jernih, mengucapkan Selamat Menyambut dan Memasuki Tahun Baru Hijrah 1434. Semoga disepanjang tahun ini, kita dengan izin Allah, akan dapat lagi meneruskan kehidupan berugama dan bernegara yang diredhai-Nya dalam suasana aman, selamat lagi makmur. Amin

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment