Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een,
Waba'du.
Beta bersyukur, kerana kita umat Islam dapat lagi menyambut dan memperingati sejarah keputeraan Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Rasul utusan Allah dan selaku rahmat bagi alam seluruhnya.
Telah menjadi ristaan, bahawa Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam diutus ke tengah-tengah masyarakat jahiliah yang rosak segala-galanya : rosak akhlak dan rosak nilai-nilai hidup.
Pada ketika itu tidak ada keluhuran undang-undang dan tatasusila. Semuanya berhakim dengan hati dan hawa nafsu. Namun setelah Baginda diutus, cahaya kebenaran mula memancar, menyinari masyarakat dan bumi yang gelap-gelita.
Apakah faktor yang membawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berjaya membentuk masyarakat dan negara yang sempurna? Jawabnya : kerana Baginda terlebih dahulu, mengambil kira pembinaan insan, sebelum lagi soal-soal kenegaraan.
Baginda telah menanam iman, menggilap jiwa dengan tauhid dan menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji, sebelum lagi yang lain-lain itu.
Inilah satu keteladanan yang sayugia jangan diabaikan. Kerana di sana, pada hemat beta, ada rahasia besar, mengapa Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam mengutamakan lebih dahulu pembangunan insan dari yang lain-lain.
Di antara rahasianya yang dapat dikesan ialah, kerana insan itu adalah jentera. Dia juga penggerak dan dia juga tonggak untuk melakukan sebarang pembangunan. Kalau jentera, penggerak dan tonggak berfungsi dengan elok, bukankah apa-apa jua yang dibangun nanti, akan mengikut elok juga?
Oleh itu, bagi umat Islam di mana saja, yang ingin berjaya seperti kejayaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam membangun, termasuk membentuk negara sejahtera, mereka itu diperlukan mengikut formula Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini.
Dan ini, selaras dengan perintah Allah sendiri kepada kita, seperti firman-Nya dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21, tafsirnya:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (reda) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta dia itu pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Ayat ini sangat terang memberi isyarat, supaya kita mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, apa jua yang ada dan datang dari Baginda, kita contohi, barulah ada makna kita menjadikan Baginda itu pemimpin dan penghulu kita dan baru juga ada harapan untuk kita menjawat berkat dan rahmat di dalam kehidupan.
Dalam makna, ayat ini juga, menghendaki kita supaya berpegang kuat kepada ajaran yang dibawa oleh Baginda, sebagaimana Baginda sendiri juga berbuat yang sedemikian itu. Dengan pegangan yang kuat ini, kita akan menjadi umat yang sempurna, yang taat kepada Allah yang berakhlak mulia lagi bermaruah.
Jadi amat sesuai tema sambutan kita pada tahun ini mengungkap : 'Membina Sahsiah Dengan Ajaran Rasulullah'.
Ia lebih relevan lagi dengan fenomena hari ini, di mana dunia sedang meratap kerana dilanda oleh pelbagai gejala buruk, terutama gejala sosial yang menular, yang mengheret semula dunia memasuki era gelap-gelita yang bernama jahiliah.
Beta percaya, hanya dengan menguatkan pegangan agama serta menghayati sunnah-sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sahaja, penyakit menular ini akan dapat dibanteras.
Beta berharap, sahsiah mulia acuan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan tumbuh dengan suburnya di negara ini, menjadi tunjang kepada kemajuan dan pembangunan sepanjang zaman.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment