Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, Tuhan seru sekalian alam, yang mana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua , maka kita dapat hadir beramai-ramai di majlis yang mulia lagi penuh berkebajikan pada petang ini.
Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat, kaum kerabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan terima kasih kepada Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam kerana menjemput beta hadir ke majlis yang bersejarah ini.
Beta juga mengucapkan tahniah kepada Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam, di atas genap 25 tahun penubuhannya, yang mana di dalam tempoh suku abad tersebut, majlis ini telah berjaya berkembang maju sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan yang memainkan peranannya bukan sahaja di negara ini, malahan juga di peringkat serantau dan antarabangsa.
Beta percaya bahawa tema sambutan Jubli Perak Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam ini, iaitu ‘Memperkasa Wanita Dalam Pembangunan Negara’, adalah sangat bertepatan dengan kedudukan wanita hari ini, yang terdedah kepada kesan globalisasi dan tuntutan semasa yang sangat mencabar.
Kaum wanita hari ini, bukan sahaja sanggup bersaing, malahan juga mampu menyumbang di dalam semua aspek pembangunan negara di bidang-bidang profesional, keusahawanan dan sebagainya.
Beta percaya, majlis ini berkemampuan untuk meneruskan peranannya, dalam meningkatkan lagi keupayaan golongan wanita di negara kita dalam menghadapi cabaran-cabaran berkaitan dengan membangunkan negara.
Di samping itu, dengan adanya pelbagai isu semasa yang melibatkan kaum wanita, majlis ini juga perlu menggemblengkan tenaga dan fikiran ahli-ahlinya untuk mencari jalan bagi menangani isu-isu sedemikian.
Justeru itu, alhamdulillah, beta gembira difahamkan bahawa Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam sedang merancang untuk menubuhkan Unit Kaunseling bagi membantu pihak-pihak yang berkenaan, dalam menangani kes-kes penderaan dan seumpamanya.
Kaum wanita hendaklah juga prihatin terhadap soal keseimbangan di antara kepentingan rumah tangga dengan apa jua kegiatan seharian, iaitu dengan memberikan tumpuan yang sewajarnya kepada keluarga dan rumah tangga mereka.
Perkara ini amat penting terutama sekali dalam mengasuh dan mendidik anak-anak kita, yang merupakan asset negara yang sangat berharga dan bakal pemimpin negara di masa hadapan.
Sehubungan dengan itu, beta berharap supaya majlis ini akan dapat terus mengendalikan program-program bagi meningkatkan kesedaran dan minat ahli-ahlinya terhadap kegiatan-kegiatan sukarelawan yang berkaitan dengan menangani isu-isu sosial seperti keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
Buat mengakhirinya, beta berdoa semoga semua usaha dan kegiatan yang dikendalikan demi kepentingan dan kemajuan dari ahli-ahli majlis ini serta badan kebajikan wanita yang bergabung dengannya, dan juga kaum wanita di negara ini, akan mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu Wataala jua.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment