Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam di Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat
Negara Tahun 1433 Hijrah/2012 Masihi pada hari Ahad (malam Isnin), 17
Ramadan 1433 bersamaan 5 Ogos 2012 bertempat di Dewan Plenary, Pusat
Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi
Rabbil ‘Alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,
Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Marilah kita
sama-sama bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana
mempertemukan kita lagi dengan bulan Ramadan yang mubarak, bulan
diturunkan Kitab Suci Al-Qur’an. Sayugia hendaknya kita tidak lupa
mengisi bulan ini dengan ibadat, khasnya dengan amalan membaca
Al-Qur’an.
Kekuatan Islam terletak pada Al-Qur'an. Kekuatan
Al-Qur'an pula terletak pada keasliannya yang tidak dicemari oleh
tangan- tangan manusia. Adalah menjadi tanggungjawab setiap kita untuk
mempertahankan, memelihara dan menjaga keaslian tersebut. Antara cara
kita mempertahankan, memelihara dan menjaga keaslian itu, ialah melalui
aktiviti penghafalan ayat-ayat Al-Qur'an itu.
Beta sangat
gembira, aktiviti penghafalan Al-Qur’an adalah sedang berkembang dengan
baiknya di negara ini. Beta berharap dengan adanya Pertandingan
Menghafal Al-Qur'an seperti yang berjalan pada masa ini dan juga dengan
adanya Institut Tahfiz Al-Qur’an, maka kita insya-Allah ada harapan
untuk dapat melahirkan lebih ramai lagi penghafal-penghafal Al-Qur'an
yang berilmu dan berkualiti.
Al-Qur'an adalah sumber ilmu
pengetahuan. Di dalam Al-Qur'an, manusia digalakkan untuk menyelidik
fenomena alam, seperti pertukaran malam dengan siang, kekayaan bumi,
air, udara, api, rahsia kelahiran dan kematian dan lain-lain. Di dalam
Al-Qur’an juga terkandung dasar-dasar ilmu pengetahuan dan teknologi,
ilmu kedoktoran, ilmu astronomi, ilmu matematik dan lain-lain selain
terdapat ayat-ayat mengenai sejarah, perubatan, pemakanan, kesihatan dan
bahkan mengenai kesusasteraan yang kesemuanya itu boleh menjana
pertumbuhan tamadun dan pemikiran. Ini bersesuaian sekali dengan tema
sambutan pada kali ini ‘Al-Qur'an Sumber Inspirasi’.
Dengan
menjadikan Al-Qur'an sebagai panduan hidup, umat Islam akan mampu
mencapai kejayaan sebagaimana pada zaman keemasannya dahulu. Tetapi
sekarang, umat Islam tertinggal di belakang kerana mereka tidak atau
kurang mengambil inspirasi dari Al-Qur'an. Al-Qur'an cuma dibaca, tidak
dijadikan panduan. Sepatutnya di samping kita membaca, isinya juga
hendaklah dijadikan dasar dan asas panduan.
Oleh itu tidak boleh
tidak, adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk kembali kepada petunjuk
Al-Qur’an bagi meraih kegemilangan. Dalam makna lain, kita perlu bangun
selaku generasi pembaca, di samping sekali gus menjadi pengamal ajaran
Al-Qur'an itu.
Untuk melahirkan generasi Al-Qur’an, beta telah
pun memperkenankan beberapa skim penggalak berupa elaun bulanan kepada
sesiapa yang diperakui lulus hafalan oleh Lembaga Tasmi’e, mengikut
kategori. Beta juga memperkenankan Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca
Al-Qur'an bagi qari dan qariah yang dihantar mewakili negara ke
Pertandingan-pertandingan Membaca Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa
khususnya Majlis Tilawah Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa di Kuala
Lumpur. Bagi siapa yang berjaya memenangi tempat pertama, kedua atau
ketiga dalam Majlis Tilawah ini akan diberikan hadiah galakan berupa
wang tunai.
Sebagai galakan seterusnya, beta juga telah
memperkenankan pemberian elaun sebanyak dua ribu ringgit sebulan bagi
sepanjang hayat, kepada qari dan qariah penyandang johan dalam Majlis
Tilawah Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia.
Elaun ini juga adalah sebagai tanda pengiktirafan kerajaan kepada
penyandang dan penghargaan atas sumbangan mereka mengangkat nama baik
negara. Ia juga diharapkan dapat menyuntik semangat supaya lebih ramai
lagi rakyat beta yang akan turut mempelajari dan meminati seni membaca
Al-Qur'an itu sehingga kita benar-benar menjadi generasi Al-Qur'an.
Ke
arah menjayakan gagasan ini, semua keluarga di negara ini perlulah
memberikan perhatian yang serius terhadap pengajian Al-Qur'an bagi
anak-anak. Tidak ada siapa yang patut berkecuali daripada tanggungjawab
ini. Sesungguhnya tidak syak lagi keluarga yang hebat lagi bahagia itu
ialah 'Keluarga Al-Qur'an'.
Menyentuh berkenaan dengan keluarga
ini, negara kita telah pun mengadakan Sambutan Hari Keluarganya yang
pertama. Tujuan sambutan adalah untuk mengukuhkan lagi institusi
keluarga itu. Tetapi perlu diingat, pengukuhan tidaklah akan berhasil,
cuma dengan program-program hiburan atau majlis-majlisan semata-mata.
Setiap
keluarga mestilah bijak menggunakan masa, termasuk merebut peluang dari
hari-hari kelepasan atau cuti-cuti awam umpamanya, untuk mengajar atau
membawa anak-anak ke kelas-kelas tambahan Al-Qur'an atau lain-lain yang
bersifat ilmu.
Kita tidak wajar membiarkan atau menggunakan masa
terbuang begitu saja. Kerana masa itu adalah emas, semua orang
memerlukannya untuk digunakan pada tempat-tempat yang selayaknya. Cuti
awam juga adalah masa yang amat berharga, semua orang sangat berhajat
kepadanya, tetapi adakah semua orang juga tahu memanfa’atkannya?
Kerana
ia sangat dihajati dan diperlukan itulah maka mulai dari tahun 1433
Hijrah ini, cuti awam bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri telah beta
perkenankan untuk dilanjutkan dari dua hari seperti yang berjalan selama
ini kepada tiga hari.
Beta berharap, dengan tambahan cuti
tersebut, umat Islam di negara ini pada khususnya, akan lebih banyak
peluang untuk bersama-sama dengan keluarga masing-masing bagi menikmati
kehidupan berkeluarga yang sebenar-benarnya. Sambil itu juga akan
menambahkan lagi peluang untuk setiap keluarga dapat melakukan pelbagai
aktiviti secara bersama-sama.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment