Wednesday, 29 May 2013

Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara Tahun 1428H/2007M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara Tahun 1428H/2007M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL
BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA
BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN
PERINGKAT NEGARA TAHUN 1428H/2007M

PADA
HARI JUMA’AT (MALAM SABTU)
17HB. RAMADHAN, 1428
28HB. SEPTEMBER, 2007

BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua kita dapat menikmati kemanisan Bulan Ramadhan yang mulia ini dan sekaligus dapat sekali lagi berkumpul untuk memperingati Peristiwa Nuzul Al-Qur’an.

Sumber ilmu penting bagi umat Islam ialah Al-Qur’an. Kecemerlangan tidak dapat dipisahkan daripada Al-Qur’an. Ia adalah petunjuk kearah itu.

Allah Subhanahu Wata’ala menyifatkan Al-Qur’an sebagai petunjuk yang “Aqwam”. Kalimat Aqwam itu bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat. Maka mereka yang menjadikan Al-Qur’an sebagai rujukan, pasti akan beroleh kecemerlangan, kejayaan dan keselamatan.

Jalan kearah kecemerlangan, kejayaan dan keselamatan itu memerlukan peta yang lengkap. Al- Qur’an adalah peta yang dimaksudkan itu. Tidak terdapat sebarang bengkang bengkok didalamnya. Ia adalah cahaya yang menerangi semua jalan.

Orang-orang Arab dizaman jahiliah adalah golongan yang tidak bertamadun. Namun selepas mereka memeluk Islam, cara hidup mereka berubah sehingga dapat membina sebuah tamadun yang gilang gemilang. Perubahan ini tidak syak lagi dirangsang oleh Al-Qur’an. Oleh itu, pada hari ini apabila kita menginginkan kecemerlangan, maka Al-Qur’an adalah landasannya yang tepat.

Al-Qur’an berperanan membetulkan akidah kita dengan memberikan peringatan supaya  menyembah Allah, supaya ikhlas dan bulat hanya kepada Allah semata-mata, khasnya dalam ibadat dan juga dalam semua kegiatan kehidupan yang lain-lain. Inilah syarat kejayaan dan kecemerlangan yang sebenar-benarnya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Haj, ayat 77, tafsirnya: “Wahai mereka yang beriman, ruku’ dan sujudlah serta beribadatlah kamu kepada Tuhan kamu dan buatlah kebaikan semoga kamu beroleh kejayaan”.

Umat Islam tidak akan mencapai kecemerlangan sekiranya mereka meninggalkan ibadat kepada Allah. Kerana kecemerlangan itu adalah bulat-bulat daripada Allah. Bagaimanakah Allah akan mengurniakannya kepada kita, jika kita tidak mahu menyembahNya.

Penyembahan terhadap Allah itu sama ertinya dengan melakukan keta’atan dalam semua perkara kehidupan. Disamping sembahyang, semua hukum-hakam Allah Ta’ala juga perlulah ditegakkan didalam diri kita, keluarga dan malah Negara.

Matlamat ibadah ialah mencari kerdhaan Allah. Apabila Allah redha, insya Allah semua pintu kebajikan akan terbuka.

Ini harapan kita dalam memburu kecemerlangan. Bukan saja kecemerlangan di dunia malahan juga, lebih utama, kecemerlangan di akhirat.

Yang penting, perspektif kecemerlangan itu janganlah disempitkan sebagai hanya kemajuan duniawi semata-mata, sama seperti orang mendefinisikan tentang kejayaan. Tetapi bagi orang Islam, kecemerlangan dan kejayaan yang sejati itu adalah kecemerlangan dan kejayaan di akhirat juga.

Ini dapat dilihat dari pendekatan Al-Qur’an sendiri dalam ungkapan-ungkapannya tentang kecemerlangan dan kejayaan itu sering menyebutnya sebagai “fauzan ‘azeeman” atau “Al-Fauzul
‘Azeem” yang bermakna “Kejayaan Besar”. Apakah dia yang dimaksudkan dengan “Kejayaan Besar” itu? Tidak lain ialah, memperolehi syurga Allah Ta’ala.

Jadi mudah-mudahan bersempena dengan menyambut Nuzul Al-Qur’an pada tahun ini, kita akan dapat memahami dengan lebih jauh lagi erti kecemerlangan dan kejayaan yang sebenar-benarnya, serta sekaligus akan berusaha untuk mencapainya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

No comments:

Post a Comment