Tuesday, 28 May 2013

Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1430 Hijrah

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan  Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1430 Hijrah pada hari Ahad Malam Isnin 17 Ramadan 1430/6 Septembber 2009 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN  YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN
PERINGKAT NEGARA TAHUN 1430 HIJRAH

PADA

HARI AHAD MALAM ISNIN
17 RAMADAN 1430/6 SEPTEMBBER 2009

BERTEMPAT

DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, sekali lagi kita berada dalam bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan.  Di bulan inilah Al-Qur’an mulai turun kepada Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Kita bersyukur kerana tergolong di dalam golongan orang-orang yang mengimani Al-Qur’an.  Kita mempercayainya dan mempercayai segala berita mahupun pengajarannya.  Kita terima apa-apa yang dihalal dan diharamkannya.  Yang halal membawa kebaikan, sementara yang haram, menjadi punca keburukan dan bencana.

Pendeknya, Al-Qur’an bagi kita, adalah segala-galanya.  Ialah teman, ialah sahabat, ialah guru, malah ia juga adalah santapan, pakaian dan perhiasan kita.

Orang berdamping dengan Al-Qur’an adalah orang yang reda dengan Allah.  Dia menerima tanpa ragu-ragu akan segala berita dan pengajaran yang dibawa oleh Al-Qur’an itu, selaku Kitabullah.

Lari daripada Al-Qur’an, bererti lari daripada Allah.  Sama juga lari daripada hukum-hakam-Nya.

Sejarah sudah merakamkan bukti, bahawa melanggar ketentuan dan hukum-hakam Allah, biasanya akan membawa padah.  Ini dapat dilihat dari kisah umat-umat dahulu kala yang disebutkan oleh Al-Qur’an.

Semuanya itu berstatus iktibar, dan juga sekali gus, merupakan amaran bagi umat-umat yang terkemudian, tidak terkecuali juga kita, umat di akhir zaman ini.

Manusia bukanlah tidak mahu belajar daripada semua itu, tetapi oleh kerana sifat-sifat buruk dan hawa nafsu menguasai mereka, maka mereka pun lupa kepada iktibar yang sangat penting ini.

Lalu, akibat dari tangan-tangan manusia sendiri memperlekehkan hukum-hakam Allah Taala, dengan terus-menerus melanggar ketentuan-ketentuan halal haram di dalam pemakanan, pergaulan dan seumpamanya, maka berlakulah kemurkaan Allah, dengan menimpakan azab-Nya, berupa pelbagai bentuk, seperti bencana-bencana alam, huru-hara, kekurangan makanan, wabak-wabak penyakit dan lain-lain.

Itulah makanya, kita di negara ini, akan terus konsisten dengan cara kita sendiri.  Kita bekerja dan membangun dengan petunjuk Allah dan Rasul.  Kita yakin, tidak ada pembangunan yang lebih baik dari pembangunan yang berteraskan hukum dan petunjuk Allah.  Pembangunan seperti ini tidak syak lagi mempunyai banyak kebaikan dan kelebihannya.

Kerana itu, ke arah tujuan ini, pendidikan ugama perlulah mantap dan menyerlah di dalam kehidupan.

Sepatutnya, ia bukan lagi satu pilihan, tetapi adalah kemestian.

Jika ini berlaku, maka barulah berasas, bahawa kita ini memang layak dan mampu untuk menjadi bangsa yang celik Al-Qur’an dan ugama tanpa perlu lagi merasa bimbang akan adanya pihak-pihak yang tercicir.

Beta, sangatlah mengimpikan perkara ini untuk negara kita, Brunei Darussalam.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment