Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun
1433 Hijrah / 2012 Masihi.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi
Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen,
Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin,
Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Allahuakbar,
Allahuakbar,
Allahuakbar,
Walillahilhamd.
Selepas
bersyukur kerana dapat menyempurnakan ibadat puasa sebulan genap, maka
kini, menyusul pula kita bersyukur kerana dapat menyambut Hari Raya
Adilfitri yang mulia.
Tanda kita bersyukur itu, ialah dengan
melafazkan takbir dan tahmid, sebaik-baik sahaja diumumkan permulaan
menyambut Hari Raya, dan pada keesokan paginya pula adalah lebih meriah
lagi lafaz-lafaz suci itu dikumandangkan di masjid-masjid dan
surau-surau di seluruh negara.
Beginilah keindahan Islam, ia
sentiasa dihias dengan syukur dan dengan mengagungkan Allah. Orang Islam
tidak boleh berhenti dari bersyukur dan tidak boleh lari dari
mengagungkan Allah.
Walau apa pun keadaan, senang ataupun susah,
kita adalah wajib bersyukur. Kerana senang dan susah itu masing-masing
dengan hikmahnya, yang ditentukan oleh Allah.
Setiap hikmah yang
datang daripada Allah, adalah baik belaka. Semua itu bernama kebajikan.
Hikmah senang, mungkin saja untuk menyukakan hati siapa yang diberi
kesenangan itu, sementara hikmah susah pula adalah bertujuan lebih
kepada memberikan pengajaran. Kedua-duanya membawa kepada kebajikan
belaka.
Bukan semua apa yang kita suka itu mesti baik dan yang
kita tidak suka pula tidak baik. Ini telah ditegaskan sendiri oleh Allah
Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah, ayat 26, tafsir-Nya:
"
... dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu. Dan
boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan
(ingatlah), hanya Allah jua yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu
tidak engetahuinya."
Baru-baru ini, sedang negara bergembira
menyambut Ramadan, tiba-tiba berlaku satu musibah yang tidak
disangka-sangka, iaitu kemalangan helikopter yang mengorbankan beberapa
orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Kejadian ini sungguh menyayat hati, lebih-lebih lagi bagi keluarga-keluarga mangsa yang terlibat.
Sudah
setentunya musibah seperti ini tidak kita ingini, tetapi ia berlaku
juga, kerana ketentuan Allah telah berlaku di sini tanpa dapat
dielak-elak lagi.
Jika merujuk kepada ayat di atas, kita hanyalah
mampu untuk memikirkan hikmahnya sahaja, sementara selebihnya itu,
hanya Allah jua yang mengetahuinya.
Di antara hikmah tersebut,
kalau kita dapat menerimanya dengan sabar, maka kitalah orang yang
berhak untuk menerima pahala daripada Allah.
Apakah dia pahala
itu? Pahala adalah perkara yang amat berharga, malah tidak dapat dinilai
harganya itu, kerana ia bukanlah komoditi yang diperniagakan, tetapi
semata-mata kurnia Allah untuk orang-orang yang dikehendaki-Nya. Ia akan
dijawat di Akhirat kelak, iaitu suatu hari di mana tidak ada lagi
apa-apa yang kita inginkan, kecuali ganjaran pahala semata-mata.
Syaratnya,
kita adalah dituntut supaya banyak-banyak bersabar dan reda
menerimanya, selaku ujian daripada Allah. Pahala dari kesabaran itu
insya-Allah, akan dijawat oleh orang-orang yang berkenaan sejajar dengan
tingkat kesabaran masing-masing.
Adapun kita yang tinggal,
sama-sama turut berkewajipan untuk mendoakan mereka yang telah pergi
itu, semoga roh-roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan
bersama-sama dengan orang-orang soleh.
Akhirnya beta dan keluarga
beta dengan segala tulus ikhlas sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya
Adilfitri Al-Mubarak kepada sekalian rakyat dan penduduk di mana juga
mereka berada, semoga kita semua dapat menyambut hari bahagia ini dalam
suasana selesa dan aman di bawah inayah Allah Yang Maha Pemurah lagi
Maha Pengasih.
Allahuakbar,
Allahuakbar,
Allahuakbar,
Walillahilhamd.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment