Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
‘Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam, di Majlis Kemuncak Sempena Sambutan Penubuhan
Universiti Brunei Darussalam Ke 25 Tahun pada Hari Sabtu, 17 Zulkaedah
1432 / 15 Oktober 2011 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei
Darussalam
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat bersama-sama menyertai Acara Kemuncak Sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Universiti Brunei Darussalam ke-25 tahun.
Sejak penubuhannya, Beta melihat sudah banyak perubahan dan perkembangan yang dilalui oleh UBD. Kewujudan UBD di negara ini merupakan satu milestone atau pencapaian yang amat dibanggakan. Dari sebuah kampus kecil yang hanya mempunyai program terhad serta jumlah pelajar yang cuma seramai 176 orang, maka kini ia telah menjadi sebuah kampus kekal dengan prasarananya yang pesat, dengan jumlah pelajarnya pula telah mencecah 4000 pelajar.
Dalam 25 tahun, kita juga telah menyaksikan peningkatan jumlah pelajar dari luar negara yang mengikuti pengajian di UBD, disamping pelajar UBD sendiri juga, yang keluar untuk mengikuti skim pertukaran pelajar dengan institusi-institusi terkemuka. Aktiviti penyelidikan juga turut meningkat dengan tertubuhnya beberapa pusat penyelidikan, seperti Pusat Kajian Luar Kuala Belalong, Pusat UBD-IBM, dan e-Government Innovation Centre. Selain dari itu, program-program UBD juga telah diubahsuai mengikut keperluan semasa dan negara.
Dalam perkara pengubahsuaian program ini, Beta ingin mengingatkan supaya UBD akan lebih memelihara dan mengekalkan identiti Brunei. Selain dari kualiti pembelajaran, para pelajar juga hendaklah dilengkapkan dengan kualiti rohani dan nilai-nilai keperibadian yang berteraskan "Melayu Islam Beraja". Tetapi ini, janganlah bermain dibibir sahaja tanpa mengotakannya. Dibibir itu memang lazimnya indah, tetapi belum tentu dalam bentuknya yang nyata.
Dalam usaha menghasilkan generasi berkualiti ini, pendidikan adalah teras utama. UBD melalui Institut Pendidikan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang telah dinaiktaraf menjadi sebuah 'Graduate School', adalah berperanan untuk melahirkan tenaga pengajar atau guru-guru yang berkualiti. Peranan ini mestilah ditunaikan dengan sebaik-baiknya, sebagai amanah, untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.
Beta juga gembira mengetahui, yang UBD sedang mengasaskan pembelajaran sepanjang hayat atau 'Life-Long Learning', dengan menawarkan pelbagai program pembelajaran sepanjang hayat, kepada masyarakat umum, melalui Continuing Education Centre di UBD. Ini bertujuan untuk memupuk budaya gemarkan ilmu di kalangan masyarakat kita.
Mengenai tenaga akademik di UBD, Beta mengambil maklum bahawa pada masa ini, jumlah tenaga akademik yang berjawatan tinggi seperti Pensyarah Kanan ke atas, kebanyakannya adalah daripada luar negeri. Ini, sedikit mengecewakan. Manakah anak-anak tempatan kita? Adakah mereka tidak mampu untuk menjawat jawatan-jawatan tersebut? Beta serahkan untuk pihak UBD menjawabnya.
Sekarang yang penting, kita mestilah menggalakkan anak-anak tempatan kita yang berpotensi untuk menjadi tenaga akademik berkaliber. Maka kearah ini, Beta telah memperkenankan 'The Chancellor Scholar'. Biasiswa berprestij dan kompetitif , kita bukakan kepada anak-anak tempatan untuk mengikuti pengajian di institusi-institusi yang terkemuka di luar negara dan kemudian mereka akan kembali ke negara ini untuk berkhidmat di UBD sebagai tenaga akademik.
Dalam 25 tahun dari penubuhannya, lebih kurang seramai lima belas ribu graduan telahpun dilahirkan oleh universiti ini. Beta rasa sudah tiba masanya untuk UBD mengesan dan menghubungi alumni-alumni ini. Beta difahamkan UBD pada masa ini sedang merancang untuk menubuhkan Office of Alumni Relations and Advancement dan membangun sebuah bangunan yang merupakan pusat untuk para alumni berinteraksi serta menjalin hubungan sesama mereka dan juga seluruh warga universiti. Beta turut mengharapkan kiranya para alumni akan dapat menyumbang balik apa-apa yang patut disumbangkan kepada universiti dan masyarakat amnya.
Buat mengakhirinya, Beta ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam, bekas ahli-ahli majlis, Naib Canselor, bekas kakitangan UBD, dan mana-mana pihak jua diatas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka sehingga UBD berada di tahap ini. Semoga Allah jua yang akan mengurniakan ganjaran-Nya kepada mereka.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment