Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar
'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam selaku Canselor Kolej Perguruan Ugama Seri
Begawan sempena Majlis Konvokesyen Kedua Kolej Universiti Perguruan
Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada hari Selasa, 7 Zulhijjah 1433H
bersamaan 23 Oktober 2012M di Dewan Plenary, Pusat Persidangan
Antarabangsa, Berakas.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi
Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,
Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke
hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadir bersama-sama di
Majlis Konvokesyen Kedua Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
(KUPU SB) ini. Beta terlebih dahulu merakamkan ucapan setinggi-tinggi
tahniah kepada semua para graduan yang menerima ijazah dan diploma
mereka pada hari ini.
Beta berharap, para graduan akan terus
meningkatkan ilmu pengetahuan mereka serta berusaha lebih gigih lagi
untuk menjadi pakar pengajar di bidang masing- masing dan dalam masa
yang sama juga, mempunyai komitmen tinggi untuk menjadi guru agama yang
berwibawa.
Ini secara tidak langsung, boleh meningkatkan kualiti sekolah-sekolah agama di negara ini.
Baru-baru
ini, beta telah bertitah mengenai dengan Perintah Pendidikan Ugama
Wajib 2012 yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2013. Perintah ini
mungkin saja tidak akan menepati sasarannya, jika kita tidak menyediakan
guru-guru agama yang berkepakaran tinggi untuk meyokong pelaksanaan
perintah tersebut. Kerana itu, KUPU SB perlulah melihat perkembangan ini
sebagai satu amanah dengan menyediakan guru-guru yang diperlukan itu.
Menyebut
tentang guru agama ini, tugas mereka itu bukanlah setakat menyelesaikan
rutin harian semata-mata, tetapi turut menjadi lebih penting, ialah
dapat menyuntik kesedaran murid-murid mereka, sehingga menjadi
benar-benar manusia yang bertakwa dan beramal soleh. Inilah kewajipan
utama KUPU SB itu.
Beta difahamkan KUPU SB telah menawarkan
programprogram akademiknya sebagaimana juga pusat-pusat pengajian tinggi
lain menawarkannya, seperti Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana,
Diploma Lepas Ijazah dan Diploma Tertinggi. Malah Beta juga difahamkan,
KUPU SB juga akan menawarkan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama pada
awal tahun depan.
Pada asasnya, beta juga turut melihat,
rancangan ini memanglah bagus. Tetapi sedikit peringatan, janganlah
rancangan saja yang bagus, bahkan natijahnya juga mestilah sama-sama
bagus. Maksud beta, jika ada kelulusan, mesti ada pula peningkatan dan
semakin tinggi kelulusan itu, sepatutnya, semakin tinggi juga tahap
kemampuan, barulah berbaloi kelulusan tersebut.
Beta turut
gembira, KUPU SB sejak penubuhannya hingga sekarang, sering dilihat
menganjurkan persidangan dan seminar peringkat kebangsaan, serantau dan
antarabangsa, di samping aktif menjalin hubungan persefahaman dengan
pusat-pusat pengajian tinggi luar negara, ini juga adalah baik, asalkan
saja tidak mengabaikan prinsip berhati-hati dari dimasuki oleh pengaruh-pengaruh yang tidak sebulu dengan kita.
Peringatan
ini bukan untuk KUPU SB sahaja, tetapi juga untuk semua pihak yang ada
kaitan dengan perkara-perkara akademik dan ilmu. Pada masa ini terdapat
semacam kecenderungan memanggil penceramah-penceramah daripada luar.
Ini juga pada asanya adalah baik, tetapi ia akan menjadi tidak wajar
apabila kita mengambil ringan tentang topik-topik ceramah dan siapa
penceramahnya?
Kita perlu melihat dulu, apakah relevannya kepada
Brunei satu-satu topik ceramah itu dan penerimaannya kelak oleh
orang-orang Brunei? Jika topik dan penerimaan itu mungkin merugikan
Brunei atau bertentangan dengan kepentingan Brunei, maka tidakkah di
sini kita lebih baik jangan melibatkan diri dengannya? Kerana banyak
lagi isu atau perkara boleh dijadikan pilihan yang sesuai.
Langkah ini diambil bukanlah untuk menyekat perkembangan akademik, tetapi ia dianggap munasabah dan sihat untuk menyangga perkara-perkara yang tidak diingini yang tidak diduga.
Turut
menjadi penting, malah utama kepada KUPU SB juga, ialah bidang kajian
dan penyelidikan ilmiah, kerana belumlah dianggap berjaya sesebuah pusat
pengajian tinggi itu kalau ia belum atau tidak menerokai bidang ini.
Untuk
KUPU SB, bidang pendidikan saja, khasnya pendidikan agama, adalah
terlalu banyak isu boleh dikaji. Misalnya mengapakan pendidikan agama
itu dianggap penting dan malah wajib untuk dipelajari? Dari segi apakah
ia penting itu? Dan kalau betul ia penting, mengapakah Brunei sampai
tercicir 50 tahun tidak mewajibkannya? Dan apa kesannya dari 50 tahun ia
tidak diwajibkan itu?
Ini semua perlu kepada kajian, supaya kita
tahu kelemahan, kekuatan, kekurangan dan kelebihan kita dan kemudian
merumusnya sebagai bahan ilmiah yang lengkap dengan saranan-saranan,
cara dan panduan, bagaimana ia hendak diperbaiki?
Ini baru satu contoh dari sekian banyak isu. Cuba-cubalah fikirkan dan teroka, dalam bentuk kajian ilmiah.
Untuk
akhirnya, beta tidak lupa mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada
semua pihak berkenaan di KUPU SB ini, khususnya kepada Pengerusi dan
Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, pegawai-pegawai utama, staf
akademik, pegawai pentadbir dan seluruh kakitangan Kolej Universiti, di
atas segala sumbangan dan khidmat mereka yang dicurahkah. Semoa Allah
jua yang akan membalas mereka dengan rahmat-Nya Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment