Tuesday, 28 May 2013

Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1430 Hijrah / 2009 Masihi

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1430 Hijrah / 2009 Masihi Pada 12 Rabiulawal 1430 / 9 Mac 2009



Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een.  Waba’du.

Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas nikmat yang dianugerahkan-Nya kepada kita semua.  Dengan nikmat-Nya itu dapatlah kita meraikan lagi Hari Keputeraan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Keagungan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah kerana Baginda itu menjadi Rasul pembawa rahmat kepada alam seluruhnya.

Hasil dari itu, umat Islam telah dapat membangun tamadun yang bertunjangkan aqidah, kasih sayang dan sikap saling hormat-menghormati sesama manusia.  Inilah punca kekuatan dan keteguhan yang Baginda asaskan.

Prinsip kasih sayang dan saling hormat-menghormati inilah, yang kita amalkan dalam meniti usia kedewasaan bernegara.  Kerana kita percaya kemajuan dan pembangunan negara adalah lebih mudah untuk diungkayahkan melalui amalan saling menyayangi dan saling menghormati itu.  Oleh itu janganlah sesiapa berfikir untuk bertindak yang sebaliknya.  Kita hidup harmoni dan aman damai adalah kerana kasih sayang.  Kita teguh dan bersatu padu adalah kerana amalan hormat-menghormati sesama sendiri.  Inilah punca rahmat Allah kepada kita.  Kita telah mengamalkan ‘hablun minannas’ iaitu menjaga hubungan dengan sesama manusia, di samping memelihara dengan kuatnya ‘hablun minallah’ iaitu hubungan dengan Allah, dalam makna sentiasa membuat ketaatan.

Inilah yang berlaku di zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan para sahabat, mereka itu dengan kuatnya berpegang kepada ‘tali Allah’, sehingga kekuatan menjelma dan kebajikan tersebar di kalangan ummah.

Mereka sama sekali tidak membelakangi Hukum Allah dan Rasul di dalam apa jua keadaan, yang menjadikan mereka terus dihormati lagi digeruni.

Inilah yang sebenar-benarnya rahsia kejayaan itu.  Manakala Allah tidak dibelakangi, Dia pun tidak akan membiarkan kita bersendirian.  Kalau kita berhajat kepada kemuliaan, Dia akan muliakan kita.  Kalau kita mengingini perlindungan-Nya, Dia akan lindungi kita.  Kalau kita berhasrat mengusahakan kemakmuran, Dia akan tunjuk jalan, bagaimana untuk memperolehi kemakmuran itu.

Dalam situasi dunia mengalami pelbagai penyakit moral dan cabaran semasa, maka pada hemat beta, suri teladan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan para sahabat mustahaklah dilihat.  Ibarat orang yang sakit, kita tidak wajar diam melainkan perlu mencari ubat.

Satu contoh penyakit itu ialah penyakit ‘kurang celik atau lemah agama’.  Apakah ubatnya penyakit ini kalau berpandukan suri teladan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam?

Ubatnya itu, menurut suri teladan Baginda ialah pembelajaran seumur hidup, berdasarkan maksud hadis:  “Menuntut ilmu itu wajib ke atas orang Islam lelaki dan perempuan.”  Ini dikuatkan lagi dengan ada ungkapan: Dari buaian sampai ke liang lahad.  Kalau konsep belajar apa jua ilmu, disuruh sampai ke liang lahad, maka bukankah ilmu agama itu terlebih afdal dan wajib lagi?

Inilah yang beta nampak, untuk kita dapat survive selaku bangsa dan negara yang aman jaya, maka tidak boleh tidak, pendidikan agama mestilah wajib ke atas tiap-tiap batang tubuh Muslim itu, dan insya-Allah dengan cara ini, semua akan mendapat berkat dan cahaya daripadanya.

Akhirnya beta berharap semoga usaha berkebajikan kita memperingati keputeraan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ini akan menumbuhkan keberkatan dan ketaqwaan kepada kita semua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment