Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Konvokesyen Ke-24 Universiti
Brunei Darussalam Tahun 1433 Hijrah / 2012 Masihi pada hari Sabtu, 27
Syawal 1433 bersamaan 15 September 2012 di Dewan Canselor, Universiti
Brunei Darussalam
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah
Rabbil 'alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Bersyukur kita ke
hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin-Nya jua dapatlah
kita bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Universiti Brunei
Darussalam Ke-24 pada pagi ini.
Beta dengan tulus ikhlas terlebih
dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang
berjaya menamatkan pengajian mereka di universiti ini. Jadikanlah
kejayaan ini sebagai titik permulaan untuk terus maju dan meningkat
lebih tinggi lagi. Para graduan perlulah dinamik, inovatif dan kreatif,
bukannya statik.
Mereka adalah bakal pemimpin, dan selaku
pemimpin, mereka tidak boleh bersikap lesu atau lemah. Segolong kertas
(ijazah) yang diperolehi, bukanlah lesen untuk berdiam diri. Ia cuma
satu tanda pengiktirafan, yang kita telah menamatkan pengajian.
Di
hadapan ada banyak lagi cabaran sedang menunggu. Semua itu perlu
ditempoh dengan jiwa cekal. Ketika masa menuntu dahulu, dunia awda
hanyalah sebuah kampus yang kecil, tetapi apabila keluar, dunia itu
menjadi lebih besar tiada sempadannya.
UBD, sangatlah mustahak
menanamkan motivasi ini kepada penuntut-penuntutnya. Tiupkan kepada
mereka roh cintakan ilmu serta semangat juang yang tinggi untuk
menghadapi kehidupan lebih mencabar diluar kampus.
Ini penting kerana ramai orang, apabila keluar meninggalkan kampus, akan sindrom 'murung', tidak tahu apa yang akan dibuat.
Walaupun
dalam masa setahun kebelakangan sahaja, UBD telah pun berjaya memfail
banyak paten yang berpotensi untuk dikomesialkan, namun ini belumlah
jadi ukuran tentang kehebatan penuntut secara batang tubuh. Kerana
itulah beta tidak jemu-jemu mengingatkan, supaya UBD dan
penuntut-penuntutnya sama-sama meneroka program-program yang berguna
sebagai sebahagian dari kegiatan akademik mereka.
Pada tahun
sudah, beta ada menyebut tentang 'kajian', sambil memberi contoh
beberapa jenis herba, yang perlu dicari butir saintifiknya selaku
makanan dan termasuk juga khasiatnya. Sepatutnya pada tahun ini akan
dapat didengar ceritanya, sekurang-kurang tentang sejauh manakah langkah
sudah diambil mengenainya?
Benar, UBD berkembang dalam
penyelidikan dan inovasi, tetapi mana oleh-olehnya di bumi yang nyata
dari penyelidikan itu? Selain herba, adalah lagi banyak, yang juga perlu
dikaji. Mana kajian tentang 'kemiskinan' umpamanya? Mana statistik
rasmi mengenainya? Sudahkah ia pernah dibuat?
Lain lagi kajian,
yang mungkin saja dianggap remeh tetapi sebenarnya bukan remeh, seperti
kajian tentang isu sosial yang semakin kritikal? Mana kajian tentang
jenayah? Mengapa ia semakin berkembang? Kajian tentang pelanggaran
undang-undang, seperti Akta Kastam dan Eksais, Akta Imigresen, Akta
Penyalahgunaan Dadah, Akta Buruh, Akta Penyeludupan Minyak dan Beras dan
lain-lain lagi, yang semua itu kelihatannya, seperti sudah tidak dapat
dibendung lagi?
Bukankah semua itu penting untuk dikaji? kalau
tidak ada kajian, bagaimanakah kita boleh tahu puncanya? Jika tidak tahu
puncanya, bagaimanakan mungkin untuk kita membenterasnya?
Begitulah kepetingan kajian. Negara tidak syak lagi, adalah memerlukan 'pangkalan data' untuk menangani semua ini.
Pada
hemat beta, perkara ini boleh menjadi lebih mudah untuk dilakukan,
selaras dengan perkembangan teknologi pesat dan cepat yang telah
menguasai pengajaran dan pembelajaran serta juga bidang penyelidikan
sendiri.
Dengan terbukanya era digital ini, beta melihat, ianya
juga boleh membuka peluang lebih luas kepada rakyat dan penduduk untuk
mengaut ilmu diperingkat yang lebih tinggi, sejajar dengan hasrat negara
ingin membina masyarakat yang berpengetahuan (knowledge society).
Dan sehubungan ini, beta juga yakin, UBD mampu untuk meneroka
pendekatan yang munasabah, seperti menawarkan program pengajian melalui
pembelajaran secara online dengan mengunakan teknologi terkini itu.
Dari
segi perkembangan sumber tenaga manusia pula, beta adalah mengambil
maklum bahawa UBD telah mengungkayahkan Skim Perkhidmatan Tenaga
Akademik yang baru, sebagai pemangkin bagi para akademik memberikan
sumbangan yang terbaik, seperti menghasilkan pengajaran dan penyelidikan
yang berkualiti. Dengan skim baru ini, mudah-mudahan juga ia dapat
menarik minat para akademik luar untuk sama-sama berkhidmat dan
menyumbang kepada perkembangan UBD. Adalah sangat elok, jika skim ini
dapat dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.
Selain untuk
pembangunan negara, UBD juga beta lihat telah melibatkan diri dalam
pembangunan serantau, dengan menyumbang kepada inisiatif ASEAN Community
2015, melalui pengendalian program-program serta latihan kepada
guru-guru bahas Inggeris daripada negara-negara ASEAN, dengan kerjasama
oleh East-West Centre dari Amerika Syarikat.
Dalam hubungan ini,
satu sahaja pesanan beta, bahawa inisiatif ini janganlah dijadikan wadah
untuk mengubah atau mengaburi aspirasi negara mendaulatkan Bahasa
Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa rasmi. Berpendirianlah seperti
pendirian bangsa-bangsa besar dan maju dengan bahasa mereka, bukannya
berpendirian orang-orang yang tidak berwawasan.
Akhirnya, beta
sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang berjaya, dan
mengambil kesempatan juga untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada
semua warga Universiti Brunei Darussalam, yang merangkumi Ahli-Ahli
Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai
Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan Universiti atas segala
sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah jua yang diharapkan
untuk mengurniakan ganjaran-Nya kepada mereka berupa rahmat dan pahala.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment