Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
Sempena Hari Raya Aidiladha
1431 Hijrah / 2010 Masihi
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.
Kita bersyukur, kerana dapat lagi menyambut Aidiladha yang mulia, hari yang penuh berkat lagi sarat dengan pengajaran ini.
Di mana saja umat Islam berada akan mengalami getaran takbir mengagungkan Ilahi. Takbir pada hari ini, biasanya amat berpengaruh kepada hati, kerana ia diucapkan dengan beramai-ramai dalam suasana yang penuh harmoni.
Tempatnya pula di masjid, iaitu Rumah Allah yang suci, suatu faktor yang turut menambah lagi keakraban kita kepada-Nya dan kepada Islam.
Inilah yang sepatutnya berlaku kepada kita, iaitu sentiasa hampir kepada Allah dan kepada agama-Nya, Islam.
Tetapi dunia sekarang, tidak menyediakan lebih banyak ruang untuk manusia dapat bertaqarrub kepada Allah dan Islam, malah adalah sebaliknya. Gejala-gejala kehidupan yang melekakan sahaja sudah cukup untuk memalingkan kita dari mendekati Allah, dan kerana itu pula, tidaklah hairan, jika dunia sering menangis dilanda bencana.
Mengapa bencana datang?
Ramai orang melihatnya dari sudut lahir semata-mata, tanpa mempedulikan sebarang hikmah di sebalik kejadian. Apabila terjadi satu-satu bencana atau tragedi, orang akan menganggap, bahawa ini adalah kemujuran biasa sahaja, tidak lebih dari itu.
Apakah ini betul?
Tentunya tidak! Kerana setiap kejadian itu adalah berlaku dengan kehendak Allah, bukan terjadi dengan sendirinya.
Menurut pendekatan Al-Qur’an, terjadinya kerosakan atau bencana di muka bumi ialah kerana dosa-dosa manusia.
Jadi, jika seseorang itu mendekati Allah, sudah barang tentu dia dapat memahami kedudukan ini.
Inilah pentingnya mendekatkan diri kepada Allah itu. Orang yang dekat dengan Allah imannya subur, keinsafannya tinggi dan akhlaknya luhur. Kalau ramailah orang-orang macam ini, insya-Allah, negara aman dan dunia pasti akan sentosa.
Itulah makanya, Allah sendiri telah melatih kita, bagaimana hendak mendekatkan diri kepada-Nya. Di antara latihan itu ialah melalui ibadat korban.
Dengan melakukan ibadat ini, bererti satu langkah ke hadapan mendekati Allah. Binatang yang kita sembelih, adalah untuk Allah, yakni semata-mata kerana Allah, kerana menjunjung titiah perintah-Nya, kerana mengharapkan reda-Nya.
Itulah dia ibadat korban.
Orang yang jauh dari Allah, tentu sahaja tidak komited dengan ibadat ini, kerana ia bersifat pengorbanan, dan setiap pengorbanan itu berat untuk dilakukan, kerana melakukannya ialah dengan tenaga, masa dan harta benda.
Tetapi jika hati dekat dengan Allah dan dengan Islam, maka semua yang berat akan menjadi ringan.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.
Marilah kita sama-sama berazam untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dan kepada Islam, serta berdoa semoga negara kita sentiasa diberkati dengan pemeliharaan-Nya, beroleh keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang berpanjangan.
Akhirnya, beta dan keluarga beta, dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam, di mana sahaja mereaka berada. Tidak lupa juga kepada mereka yang sedang berada di Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah, semoga Allah mengurniakan kepada mereka haji yang mabrur dan selamat kembali ke tanah air.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment