Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Hari Ulang Tahun
Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-47 pada 25 Jamadilawal 1429 / 31
Mei 2008
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS HARI ULANG TAHUN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE-47
PADA
25 JAMADILAWAL 1429/31 MEI 2008
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabiheee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een. Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas nikmat-Nya memberikan kita kesempatan untuk sama-sama berhimpun di Majlis Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-47 tahun ini.
Beta merasa amat gembira melihat wajah-wajah yang ceria, khasnya para ahli keluarga anggota tentera, yang sama-sama hadir bagi meraikan hari ulang tahun ini. Inilah peluang terbaik bagi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk mengeratkan lagi hubungannya dengan para ahli keluarga itu, yang selama ini memberikan sokongan kuat kepada suami, isteri atau anak-anak yang menceburi perkhidmatan tentera.
Di samping kita meraikannya, sambutan ini juga merupakan kesempatan untuk kita merenung semula cabaran-cabaran yang pernah atau sedang dan akan dihadapi.
Melakukan ini, akan menjadikan kita tidak putus usaha untuk meningkatkan lagi taraf dan kualiti anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan kakitangan Kementerian Pertahanan. Kerana itu, beta amatlah menyambut baik langkah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk menubuhkan Akademi Tentera pada tahun ini. Begitu juga, beta mengambil maklum mengenai penubuhan Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta kerja-kerja peningkatan kepada Institut Latihan. Kemudahan-kemudahan ini tentu saja akan memperluas lagi perspektif dan visi para anggota.
Dengan ini beta berharap, aset-aset tersebut hendaknya digunakan sebagai wadah pembelajaran sepanjang hayat bagi mendapatkan pelbagai kemahiran.
Beta juga gembira menyaksikan pertumbuhan pesat pembangunan infrastruktur. Bukan saja Kementerian Pertahanan telah mula menduduki sebuah bangunan yang lebih baik, bahkan kemudahan prasarana bagi perjaurit kita yang bertugas di Pulau Baru-Baru juga telah berhasil disediakan. Pembukaan perkhemahan Batalion Ketiga ini tidak syak lagi merupakan petunjuk nyata bahawa tahap profesionalisme dan keupayaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah meningkat.
Ini juga menandakan betapa besarnya keprihatinan kita untuk menyediakan persekitaran yang lebih selesa bagi para anggota, di samping bertujuan untuk mewujudkan suasana yang lebih profesional, sesuai dengan sebuah angkatan pertahanan yang sedang berkembang.
Di samping langkah-langkah menimba ilmu, mengasah kepakaran, memperoleh peralatan dan membina infrastuktur, beta juga suka menekankan di sini akan pentingnya memiliki prestasi kepimpinan yang berkesan. Pemimpin-pemimpin perlu mempunyai wawasan untuk melakukan peningkatan, di samping turut memiliki kebolehan bagi mengatasi apa saja kelemahan.
Dalam institusi ketenteraan, ciri-ciri kepimpinan seperti ini adalah amat mustahak untuk membezakannya dari institusi-institusi yang lain.
Semua lapisan kepimpinan dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, perlu menjadi centre of gravity, di mana semua kebajikan atau kepentingan angkatan ini banyak bergantung. Para pemimpin mestilah menjadi teladan kepada yang dipimpin, baik di segi standard, disiplin, mahupun hubungan dengan Allah Ta’ala. Pemimpin yang berjaya ialah bila mana pemimpin itu berjaya membawa anggota pimpinannya memenuhi tanggungjawab-tanggungjawab asas yang dipikulkan kepada mereka.
Demikian serba sedikit dan secara umum mengenai pimpinan.
Untuk akhirnya, beta sukacita mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-47 kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang masih berkhidmat dan tidak lupa juga kepada yang sudah bersara serta keluarga masing-masing dan juga kepada kakitangan Kementerian Pertahanan yang selama ini turut sama menyumbangkan khidmat bakti mereka. Begitu juga ucapan yang sama kepada mereka yang tidak dapat bersama-sama dengan kita pada hari ini kerana menjalankan tugas, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Marilah kita berdo’a, semoga kita semua sentiasa diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah di dalam segenap tugas dan tanggungjawab kita untuk negara. Kita rafakkan juga doa semoga negara kita sentiasa di dalam aman sejahtera, beroleh kemakmuran dan kebahagiaan dengan izin Allah. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment