Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul
Khairi Waddien, Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena
Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam Ke-28
pada 23hb Februari 2012
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir
Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil
'Alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu
'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee
Ajma'een, Waba'du.
Kita bersyukur
ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, kita dapat menyambut
Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara yang ke-28, di dalam suasana sejahtera. Sepanjang 28 tahun kita merdeka, Negara
alhamdulillah, telah berjaya mengekalkan keamanan dan kemakmurannya. Semogalah
ia akan berterusan untuk dinikmati oleh generasi demi
generasi.
Orientasi kita
dalam melakar pembangunan adalah bercorak global. Kerana kita tidak hanya melihat
kepada liku-liku kehidupan dalaman, bahkan perlu turut mengambil iktibar dari Peristiwa
dan kejadian di dunia tanpa sempadan. Namun
dalam segala hal, kita tetap perlu mengukuhkan jati diri kita selaku rakyat
Brunei yang ta’at berugama, yang berawar galat, berperawis dan ber’adat. Janganlah
cepat-cepat mengikut arus, tetapi perlu berhemah dan patriotik didalam mempertahan
dan mengamalkan warisan berharga, seperti akhlak yang baik, bahasa bangsa dan
sebagainya. Kerana semua eleman-eleman ini adalah “penanda” bagi kewujudan
kita.
Tidak lama lagi
kita akan memasuki tahun kewangan 2012/2013 dan memulakan Rancangan Kemajuan
Negara Ke-10. Kita menyedari, bahawa
prestasi perlaksanaan program-program kemajuan kita tidak terlepas dari
menghadapi pelbagai cabaran, khususnya cabaran kapasiti yang terhad. Namun ini bukanlah
alasan untuk kita menjadi lemah.
Perjalanan kita
menuju sasaran Wawasan 2035 memerlukan kita lebih tangkas dan tegas. Mana-mana
sasaran yang tercicir dan lambat adalah perlu dipercepatkan dan yang tersasar perlu
pula dikembalikan ke atas landasannya semula. Dalam apa jua tindak-tanduk kita,
perancangan yang payu adalah keperluan asasi, sementara pencapaian sasaran pula
perlu disukat secara objektif.
Sebagai jentera
pentadbiran kerajaan, Perkhidmatan Awam adalah memainkan peranan utama
untuk terus
menjana gagasan baru, meningkatkan kapasiti dan mempertemukan kaedah-kaedah bukan-konvensional
untuk menangani keperluan negara yang kian kompleks dan mencabar di abad ke-21
ini. Namun walau begitu, bukanlah
bermakna setiap yang baru itu tidak ada cacatnya , kadang-kadang ia hanya
unggul pada teori sahaja, bukan pada amalinya.
Produktiviti dan efisiensi memanglah kita utamakan, tetapi bukanlah
mesti dengan membebankan perkara-perkara yang sepatutnya tidak perlu dibuat.
Kaedah-kaedah
baru boleh sahaja dicuba, tetapi bukan mesti yang bersifat teruk lagi membebankan.
Pada Beta, kaedah-kaedah lebih mesra adalah lebih utama dan berpatutan. Seyugia juga diingat, warga Perkhidmatan Awam
ini terdiri dari pelbagai peringkat, pelbagai bidang dan pelbagai kelulusan.
Apakah ini tidak mewajarkan mereka dengan kaedah-kaedah yang berbeza?
Menyentuh
kepentingan lebih umum, diakhir-akhir ini, satu perkara yang sangat merisaukan orang
ramai ialah mengenai keselamatan di jalan raya. Perangkaan kematian akibat kemalangan
sangatlah membimbangkan. Lebih
membimbangkan lagi, sebahagian besar dari kemalangan itu melibatkan anak-anak muda,
dengan penyebabnya adalah berbentuk kecuaian, sikap tidak berhemah, memandu dengan
kelajuan melebehi had laju dan tidak mematuhi undang-undang.
Kalau ini benar
menjadi penyebabnya, apakah tidak perlu bagi kita untuk mencari cara-cara mencegahnya?
Pada hemat Beta, sangatlah perlu. Salah
satu cara “pencegahan” itu ialah melalui undang-undang. Undang-undang sudahpun
ada, baik yang berkaitan dengan tali keledar atau penggunaan telefon bimbit
semasa memandu. Tetapi adakah ia telah
dikuatkuasakan sepenuhnya? Jika belum, bererti kita belum lagi menjalankan
pencegahan itu.
Jadi apa yang
perlu disini, tidak lain ialah, semua pihak hendaklah tampil, terutama anggota polis,
mereka dikehendaki untuk mempertingkatkan lagi kewaspadaan dan keberadaan
mereka
didalam
pelaksanaan undang-undang berkaitan. Turut
menjadi aspek penting pencegahan ialah mempastikan keadaan jalan-jalan raya
utama, supaya benar-benar memenuhi keperluan piawaian keselamatan bertaraf
tinggi.
Kesemua langkah-langkah
pencegahan ini hanya akan mendatangkan hasil yang berkesan apabila ia
benar-benar dibudayakan, melalui promosi dan pengkuatkuasaan yang konsisten. Di samping kemajuan kita dalam negara,
hubungan diplomatik kita dengan negara-negara sahabat juga tetap akan dipupuk
dan dipelihara. Ianya adalah teras kemantapan politik, ekonomi dan keselamatan.
Ia akan menjadi amalan berterusan, berasaskan prinsip berbaik-baik dan hormat
menghormati kedaulatan masing-masing.
Akhir sekali,
Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas
serta ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan
Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-28 Hari Kebangsaan pada tahun ini. Beta juga dengan ikhlas merakamkan ucapan
yang sama kepada semua lapisan rakyat, penduduk dan pemimpin yang terlibat,
termasuk semua peringkat ahli Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan
serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, kerana sumbangan mereka terhadap
keamanan dan pembangunan negara. Sebagai
merista balik sukut baik lagi indah serta penuh berkat kita menanai kemerdekaan
Negara, maka Beta sudahi perutusan ini dengan lafaz keramat: “Allahu Akbar!
Allahu Akbar! Allahu Akbar!”
Sekian,
Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment