Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana mengizinkan kita dapat berkumpul di Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ketujuh Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.
Beta terlebih dahulu, ingin mengucapkan tahniah kepada Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim di atas perlantikannya sebagai Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negara yang baru.
Beta berharap semoga Yang Dipertua akan dapat menjalankan tugas dan kewajipan dengan sebaik-baiknya, demi mempertingkatkan lagi martabat Majlis Mesyuarat Negara, sebagai sebuah institusi yang sama-sama berperanan untuk kepentingan negara.
Di kesempatan ini juga, beta ingin merakamkan penghargaan beta kepada Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Haji Mohd. Yassin di atas khidmat bakti, tenaga dan buah fikiran yang telah disumbangkannya selama menjadi Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negara.
Beta gembira mengikuti perkembangan persidangan yang telah berjaya memainkan peranannya untuk membincang dan membahas isu-isu utama pembangunan semasa.
Namun kita belum dapat berpuas hati, kerana setiap hari kita terus berhadapan dengan pelbagai perubahan dan cabaran untuk menguji kecekapan dan kewaspadaan kita. Sebagai contoh, baru saja ekonomi dan kewangan dunia sedikit pulih daripada cengkaman krisis yang dramatik, tiba-tiba giliran inflasi pula mula membebankan kehidupan sejagat, sehingga menggugat keharmonian dan kestabilan beberapa negara di dunia.
Alhamdulillah, kita di negara ini masih terpelihara dari tekanan inflasi tersebut, berkat adanya dasar dan usaha kerajaan untuk terus membantu rakyat dan penduduk melalui subsidi-subsidi dalam beberapa keperluan asasi. Kita hanyalah dikehendaki bersyukur dan mengelakkan sebarang pembaziran serta penyalahgunaan ke atas subsidi-subsidi yang dihulurkan itu.
Ingat, sebarang penyalahgunaan, seperti penyeludupan keluar barang-barang subsidi itu, hukumnya adalah haram dan satu jenayah. Maka oleh itu, semua agensi penguat kuasa bagi pencegahan adalah berkewajipan menanganinya.
Lain lagi isu bayaran yang tertunggak bagi kemudahan dan utiliti-utiliti yang disubsidi itu. Jumlahnya bukanlah sedikit, tetapi sehingga beratus juta ringgit.
Di samping membawa kerugian kepada kerajaan, ia juga turut melibatkan soal tabiat yang tidak baik, yang perlu diubah dan dikikis.
Beberapa bulan kebelakangan, fenomena bencana alam berlaku di beberapa bahagian dunia. Ada yang sampai mengakibatkan kerosakan-kerosakan besar, kesusahan dan juga nyawa terkorban.
Di negara kita juga turut mengalami banjir di beberapa tempat bahagian yang rendah, terutama kawasan-kawasan pendalaman. Namun alhamdulillah, kejadian-kejadian tersebut telah dapat ditangani dengan usaha dan semangat padu di kalangan agensi kerajaan dan orang ramai.
Sungguhpun begitu, beta tetap berharap, akan adanya rancangan dan tindakan oleh agensi-agensi berkenaan bagi mengurangkan kemungkinan banjir yang berulang-ulang.
Menyebut lagi tentang ekonomi dan kewangan. Walaupun pendapatan banyak, namun ia bukanlah jaminan bagi kestabilan dan kekukuhan kewangan, andainya ia tidak diurus dengan cekap dan berhemah.
Ini, dapat diambil iktibar daripada krisis hutang yang dialami oleh beberapa negara di dunia, yang berpunca daripada pelbagai sebab, antaranya perbelanjaan besar di luar kemampuan, pembaziran, rasuah dan lain-lain.
Untuk kelangsungan ekonomi dan kewangan, kita juga perlu meningkatkan produktiviti, yang bersinonim dengan peningkatan kapasiti. Oleh itu, kerajaan beta tetap mengutamakan peningkatan kapasiti (capacity building), demi menyedari, akan hebatnya saingan dari arus deras globalisasi. Ia juga penting untuk mengisi sebarang kehendak dan peluang pekerjaan dan perniagaan.
Maka untuk itu, kerajaan beta, secara berterusan telah menyediakan peruntukan yang bersesuaian kepada kementerian dan jabatan, bukan sahaja untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masing-masing, malahan juga dapat diambil peluang oleh belia-belia yang sedang mencari pekerjaan di sektor awam dan swasta.
Sehubungan itu beta juga gembira melihat latihan-latihan bersepadu yang diberikan kepada anak-anak muda untuk meningkatkan kemahiran perniagaan mereka. Penekanan kepada pendidikan teknikal dan vokasional yang dikuatkan oleh Kementerian Pendidikan adalah bertepatan pada masanya.
Kerajaan juga sedang menjana iklim perniagaan yang lebih kondusif. Pada misalnya, baru-baru ini beta telah memperkenankan penubuhan Jawatankuasa Pandu ‘Ease of Doing Business’ bagi tujuan untuk memudah cara business di negara ini, dan juga untuk meningkatkan kedudukan negara dalam indeks pencapaian ‘Ease of Doing Business’.
Beta berharap, semua lapisan rakyat dan penduduk, khasnya pihak swasta dan para belia, akan dapat sama-sama bergiat lebih progresif untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi negara ini. Kita janganlah terlepas peluang atau tertinggal di belakang disebabkan oleh sikap banyak menunggu atau asyik menonton sahaja.
Akhirnya beta menyeru kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat supaya dapat meneruskan serta melipatgandakan usaha masing-masing dalam memeduli permasalahan rakyat dan penduduk negara ini, sama ada mereka yang bermastautin di kawasan bandar mahupun di kawasan-kawasan pendalaman. Apa jua permasalahan itu kita tangani dengan baik dan sempurna dengan jalan berunding dan hati yang terbuka dalam dewan yang mulia ini.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment