Tuesday, 28 May 2013

Titah Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1431 Hijriah / 2010 Masihi.

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1431 Hijriah / 2010 Masihi.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihie Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayidina Muhammad Wa'alaa Aalihie Wasahbihie Ajma'een, Waba'du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Kita, zaman dan keadaan terus saja berubah, tetapi agama tidak berubah. Jika seribu lebih tahun dahulu, umat Islam menyambut Aidilfitri, maka sekarang pun ia terus disambut.

Itulah agama. Ajarannya tidak mengalami sebarang perubahan. Jika seribu lebih tahun dahulu orang menyambutnya dengan takbir, maka sekarang pun kita menyambutnya dengan takbir juga dan malah, ungkapan takbir itu tidak berubah.

Kalau seribu lebih tahun dahulu diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah, maka sekarang pun hukum itu berjalan terus.

Inilah namanya ketentuan hukum syarak. Mari kita amalkan ia, dengan semangat ketaatan yang tidak pernah padam.

Hanya sekarang saja kita ada peluang untuk beramal, iaitu sementara hayat dikandung badan. Jika sudah datang ajal, maka peluang itu tidak akan ada lagi.

Janganlah mogok dari melakukan ketaatan kepada Allah Ta'ala.

Ada orang, menjadikan Hari Raya penuh dengan kegiatan-kegiatan anti taat, seperti tidak atau cuai untuk melakukan sembahyang, disebabkan oleh terlampau sibuk dengan aktiviti-aktiviti hiburan dan seumpamanya. Atau setengahnya itu, ada yang sampai berbelanja dengan berlebihan sehingga ke tahap boros atau membazir.

Ini semua bukanlah Hari Raya, tetapi hari mengundang dosa.

Ingatlah, kita baru saja keluar dari 'perjuangan besar' selama sebulan genap. Kita telah berjaya menundukkan musuh besar kita yang bernama hawa nafsu. Kita juga telah dijanjikan dengan pahala berlipat ganda dari perjuangan ini, tetapi kemudian, mengapakah kita harus mengakhirinya dengan menghadiahkan kemenangan percuma kepada musuh yang telah ditewaskan itu?

Ubaya-ubaya, para iblis syaitan sekarang sudah bebas semula setelah sebulan dibelenggu. Mereka itu dengan hati yang amat sakit menyaksikan kita mengaut pahala dengan berpuasa, membaca Al-Qur'an dan bertarawih. Lalu apabila mereka bebas, tidakkah kerja tradisi mereka akan bermula pula untuk memperdaya umat Islam supaya menderhakai Allah?

Penderhakaan itu boleh saja berlaku dengan mudahnya, khasnya apabila kita terlampau asyik atau leka dengan bersuka ria.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Mari kita sama-sama berdoa, semoga ibadat kita di sepanjang bulan Ramadan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala, serta juga lain-lain ibadat di luar Ramadan.

Hanya inilah saja harapan kita untuk bekalan ke akhirat.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Untuk dunia yang fana ini pula, kita juga sentiasa bergantung kepada rahmat Allah, semoga dengan kemurahan-Nya jua, kita dan negara, akan terus dilimpahi dengan nikmat dan inayah-Nya berupa keamanan, keselamatan dan kemakmuran.

Diharapkan juga, kita semua, akan berterusan kekal beroleh kekuatan dan petunjuk, supaya dapatlah kita mempertahan dan memelihara segala kurniaan yang ada.

Akhirnya, dengan hati yang tulus ikhlas, beta dan keluarga beta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Al-Mubarak kepada sekalian rakyat jelata dan penduduk, khasnya mereka yang beragama Islam, di mana juga mereka berada.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment