Titah
Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Tahun 1433
Hijrah / 2012 Masihi
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa
Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina
Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Umat Islam di Negara ini patut bersyukur kerana berpeluang untuk
meraikan lagi Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1433 Hijrah
/ 2012 Masihi.
Pada setiap tahun, kita menyambutnya dengan cara kita sendiri
dengan mengadakan majlis berdikir di masjid-masjid di seluruh Negara selama dua
belas malam berturut-turut dengan acara kemuncaknya berupa perhimpunan dan
perarakan. Acara-acara ini tidak syak lagi berciri “Kebruneian Tulin” yang
perlu diteruskan oleh generasi demi generasi. Sungguhpun begitu,
diketika-ketika tertentu, ia mungkin saja memerlukan ubahsuai. Namun perayaan
atau sambutan tetap dikekalkan.
Kepentingan sambutan atau perayaan ini ialah bagi menanamkan
rasa kasih sayang kita kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Baginda
wajib disanjung dan dikasihi, sebagaimana Allah dan Malaikat-Nya telah
berselawat keatas Baginda, dan sekaligus telah memerintahkan juga orang-orang
beriman supaya berselawat sama. Tidakkah ini dalil yang nyata, bahawa kita
adalah wajib mencintai Baginda, selaras dengan perintah Allah tersebut?
Orang selalu bercakap mengenai “role model”. Apabila menyebut
perkara itu, pasti akan dituding satu-satu individu yang dianggap patut menjadi
role model itu.
Bagi kita umat Islam, role model itu telah pun disebut dan
ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sendiri.
Siapakah dia role model itu disni?
Mari kita perhatikan ungkapan Al-Qur’an, Surah Al-Ahzab, ayat
21 mafhumnya:
‘Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu, pada diri Rasulullah
itu “contoh ikutan yang baik”, bagi orang yang sentiasa mengharap (balasan baik
berupa redha) Allah dan hari akhirat, serta dia pula menyembut dan mengingati
Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Ini dia role model kita. Bukan kita yang memilihnya tetapi
Allah sendiri. Allahlah yang menunjuknya untuk kita. Tidak hebat macam manakah
ini, jika Allah sendiri yang ampunya pilihan ini?
Pilihan Allah ini bukan bersifat semasa : untuk sepuluh atau
dua puluh tahun sahaja. Tetapi bersifat abadi untuk selama-lama.
Adapun role model pilihan manusia terhad masanya. Paling lama
misalnya seratus tahun, dan selepas itu datang pula role model lain untuk
menggantikannya. Tetapi ini role model pilihan Allah, tidak dipadam oleh zaman
dan tidak dilapis oleh sebarang tokoh lain. Sudah pasti, tidak ada wujud lagi
role model lain untuk menggantikan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Maka berdasar kan ini, marilah kita memasang niat dan azam
untuk terus komited dengan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dengan
berpegang kuat dan beramal dengan semua ajaran yang dibawa oleh Baginda,
memakai dan meniru akhlak Baginda di dalam segala segi kehidupan : dalam
beribadat, berumahtangga, bergaul dan sebagainya.
Jika kita melakukan ini, tidak syak lagi, kita pasti akan
mendapat “pangkat takwa” disisi Allah, dan takwa itu pula akan menjadi punca
atau sebab, terbukanya pintu berkat di langit dan di bumi.
Kita patut menjadikan “pangkat takwa” itu matlamat semua,
supaya sama-sama kita beroleh menfa’at. Adapun menfa’at “pangkat takwa” itu
bukan sahaja terbatas kepada penyandangnya, malahan juga meliputi kepada negara
atau tanahair, sebagaimana mafhum dari Ayat 96, Surah Al-A’raf, antara lain:
“Dan sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan
bertakwa, nescaya Kami (Allah) akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan)
yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi…”
Berkat disini, boleh saja dalam bentuk kemakmuran, keamanan
dan keselamatan yang akan dinikmati oleh manusia dan negara.
Demikian isyarat daripada Allah tentang takwa, semoga kita
sama-sama sensitive untuk mengambil pengajaran daripadanya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu'alaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment