Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri
Tahun 1433 Hijrah/ 2012 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal
Bolkiah , pada hari Selasa, 9 Syawal 1433/28 Ogos 2012 bertempat di
Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi
Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen,
Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, kita
bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat meraikan hari
besar dan hari kemenangan umat Islam, Aidilfitri yang mulia.
Aidilfitri adalah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala kepada hamba-Nya yang
berjaya melaksanakan ibadah puasa Ramadan sebulan genap.
Dalam
suasana keraian Aidilfitri, biarlah sambutan Hari Raya ini menjadi satu
ibadah yang disukai oleh Allah bagi mendapatkan ganjaran pahala-Nya.
Islam
adalah satu-satunya ugama paling sempurna untuk mengatur seluruh
kehidupan alam semesta. Segala aturannya itu, ialah untuk kebaikan
belaka, serta juga untuk menghapuskan kejahatan. Dalam bidang ekonomi,
Islam juga berfungsi ,membawa manusia mencapai kemajuan yang
sebenar-benarnya.
Beta difahamkan, Sambutan Aidilfitri anjuran
Yayasan pada tahun ini menampilkan para profesional dan pegawai-pegawai
serta kakitangan tempatan yang berkhidmat di Government Linked Companies
(GLC) dan sebahagian sektor swasta yang mewakili beberapa kategori
perusahaan dan perkhidmatan di negara ini. Beta sangatlah
mengalu-alukan penyertaan mereka itu.
Kewujudan sektor swasta dan
Government Linked Companies (GLC) adalah memainkan peranan sangat
penting untuk membantu memajukan ekonomi negara.
Di dalam
Rancangan Kemajuan Negara Kesepuluh 2012-2017, di mana menerusi Strategi
Ekonomi, kita adalah sentiasa berusaha untuk membangunkan ekonomi
berdaya saing yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti bagi
rakyat dan penduduk di sektor awam mahupun swasta.
Maka ke arah
ini, GLC dan sektor swasta adalah diharapkan untuk dapat sama-sama
meneliti strategi-strategi RKN, khasnya Strategi Ekonomi dan Strategi
Pembangunan Keusahawanan dan Perniagaan Tempatan bagi perkembangan dan
kemajuan bidang-bidang berkenaan.
Beta percaya, dengan
bermodalkan pengalaman, GLC dan sektor swasta, boleh mengorak langkah
bagi meneroka peluang-peluang yang lebih baik, termasuk peluang di luar
negara.
Dalam hubungan ini, kerajaan beta melalui beberapa agensi
berkaitan sedang dan telah menyediakan pelbagai strategi, perkhidmatan
dan kemudahan bagi membantu dan mengembangmajukan lagi sektor swasta,
meliputi pendidikan dan profesionalisma pekerja-pekerja.
Beta
turut bergembira mengetahui akan meningkatnya penglibatan sektor swasta
dan GLC dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial atau ‘corporate
social responsibility – CSR’, khusus dalam mengambil tahu hal-ehwal
kesejahteraan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan, yang lebih
ketara lagi ianya dilaksanakan dalam bulan Ramadan yang baru berlalu.
Beta
berharap usaha berkebajikan seperti ini akan dapat diteruskan dengan
rangkaian kerjasama dan ‘strategic partnership’ dengan pihak Yayasan dan
agensi-agensi kerajaan serta NGOs. Ianya tentu mampu mendatangkan
manfaat timbal balik kedua belah pihak. Mereka yang dibantu akan
mendapat keringanan, sementara bagi yang membantu pula akan mendapat
kepuasan dan ganjaran yang tidak mampu digambarkan.
Sempena
Aidilfitri ini, peluang dapatlah diambil untuk mengukuhkan lagi
institusi kekeluargaan serta menjalin silaturahim sesama kita.
Inilah
cara kita orang-orang Brunei, kemeriahan tidak hanya diraikan di antara
keluarga, sanak saudara dan rakan taulan, tetapi juga turut
disemarakkan dalam kehidupan berorganisasi dan bermasyarakat. Ini akan
menyuburkan lagi sikap hormat-menghormati, bantu-menbantu dan bertolak
ansur, telus, amanah serta jujur dalam semua aspek kehidupan.
Amalan
baik seperti ini, apabila ia terus dilakukan, akan menjadi budaya.
Budaya hidup yang baik pula adalah mencerminkan kekuatan sesebuah
masyarakat yang dibina dengan ugama. Oleh itu, marilah kita sama-sama
memelihara ugama di dalam apa jua urusan dan pekerjaan kita. Beta
yakin, di sinilah tunjang kekuatan dan kemakmuran kita selama ini.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
No comments:
Post a Comment