Tuesday, 28 May 2013

Titah sempena sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-21

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-21 pada hari Sabtu 26 Syawal 1432, bersamaan 24 September 2011 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi WabarakatuhBismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat berkumpul pada pagi ini untuk meraikan sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Yang Ke-21.
Pada kesempatan ini, beta mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini. Sambutan Hari Guru diharapkan dapat menjadi inspirasi dan motivasi kepada para guru untuk lebih komited dengan tanggungjawab mereka sebagai guru. Guru tidak syak lagi adalah pencetus modal insan cemerlang.
Pilihan tema berbunyi: 'Guru Membentuk Syakhsiah Bangsa' adalah satu tema yang bertenaga. Ia menekankan harapan, tentang peranan guru selaku pembentuk. Pembentuk sama maksudnya dengan pencorak. Yang dicorak itu bukan kain tetapi syakhsiah atau keperibadian.
Semua orang bercakap mengenai syakhsiah, tetapi belum tentu semua orang tahu bagaimana membangun syakhsiah. Sedang membangun rumah pun memerlukan material dan kepakaran, betapa dengan membangun syakhsiah?
Tidak syak lagi, bahan dan kepakaran untuk membangun syakhsiah itu adalah terkumpul pada guru. Kerana itu guru,adalah keperluan sepanjang masa. Tanpa guru. tidak berbangkit pembangunan syakhsiah.
Dalam apapun keadaan, hanya guru yang dapat diharapkan untuk membawa perubahan. Dari keadaan buta huruf kepada celik huruf, dan begitu juga dari keadaan kosong dada kepada berisi dengan ilmu pengetahuan.
Inilah guru. Jadi sesuai dengan tema, para guru itu perlulah passionate terhadap profesion mereka. Merekalah tempat bergantung anak bangsa untuk menimba ilmu dan untuk menjadi generasi berwibawa. Tanpa guru, semua ini tidak ada ceritanya.
Kerana itu pula, guru-guru sendiri perlu dipertingkat. Caranya ialah dengan menyediakan peluang atau ruang kepada mereka untuk menambahkan lagi kualiti yang sedia ada. Peluang atau ruang itu ialah seperti latihan-latihan jangka pendek mahupun jangka panjang.
Sehubungan ini, beta ingin menyarankan supaya satu mekanisme dapat diaturkan, termasuk mengiktiraf pengalaman bekerja sebagai kriteria umum untuk menyambung pengajian keperingkat yang lebih tinggi.
Beta yakin, elemen pengalaman ini sangatlah wajar untuk dijadikan kriteria tambahan dalam mempertimbangkan permohonan guru.
Dengan adanya peluang seperti ini, diharapkan profesion guru akan lebih berkesan dan menyerlah, serta mendapat kepercayaan yang tinggi daripada masyarakat.
Menyebut mengenai peluang, beta difahamkan bahawa sebuah politeknik telah pun dirancang untuk beroperasi di kampus sementara mulai tahun 2012. Ini tentu saja akan membuka lagi peluang dan laluan kepada pelajar-pelajar untuk meneruskan pengajian mereka.
Negara Brunei Darussalam kini, alhamdulillah, menurut Development Index for Education for All telah menduduki tempat ke-34 dari 127 negara ahli yang dinilai. Beta percaya kedudukan ini boleh ditingkatkan lagi melalui pelbagai usaha, termasuk usaha mengatasi masalah anak-anak dari golongan keluarga kurang berkemampuan, dengan memberikan mereka itu peluang pendidikan yang sama. Bantuan-bantuan yang dihulurkan, seperti kemudahan pengangkutan, kewangan dan penyediaan asrama penuh, perlulah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Ini diharapkan dapat mengurangi masalah keciciran seperti yang pernah beta titahkan pada 15 Julai 2011 yang lalu.
Beta juga berharap penjanaan syakhsiah bangsa melalui pelbagai projek dan program pendidikan tidaklah boleh berhenti, termasuk penglibatan ibu bapa selaku guru pertama dan utama dalam kehidupan kanak-kanak dan penuntut. Penglibatan mereka ini perlu berterusan, untuk membantu anak-anak mencapai kecemerlangan mereka. Ini adalah perkara semula jadi, ia perlu ada dan disuburkan dari masa ke semasa.
Akhirnya, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah Hari Guru pada tahun ini. Beta berharap, ini semua akan menjadi motivasi pendorong kepada sekalian warga guru yang dikasihi lagi dihormati.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment