Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Nuzul
Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1429H/2008M Pada Hari Rabu (Malam
Khamis) 17 Ramadan 1429 / 17 September 2008
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1429H/2008M
PADA
HARI RABU (MALAM KHAMIS)
17 RAMADAN 1429
17 SEPTEMBER 2008
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1429H/2008M
PADA
HARI RABU (MALAM KHAMIS)
17 RAMADAN 1429
17 SEPTEMBER 2008
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadeen, Wa’ala ‘Aalihie Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur dapat bersama-sama di majlis yang berkat ini.
Tarikh dan peristiwa Nuzul Al-Qur’an kita sambut pada setiap tahun. Kita memperingatinya sebagai tanda mensyukuri rahmat Allah Subhanahu Wata’ala yang menurunkan Al-Qur’an kepada Rasul-Nya, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Al-Qur’an adalah warisan yang terpelihara, yang dijamin sendiri oleh Allah akan keselamatannya. Kerana itu, sungguhpun ia sudah berusia lebih dari seribu tahun semenjak diturunkan, namun keasliannya tetap kekal tidak pernah tergugat. Maha benarlah firman Allah di dalam Surah Al-Hijr ayat 9, tafsirnya:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah juga yang memelihara dan menjaganya.”
Mengapakah Al-Qur’an dipelihara? Tentu saja untuk memberi peluang kepada kita umat manusia untuk terus mendapatkan manfaat daripadanya. Bukankah Al-Qur’an itu cahaya yang menerangi semua jalan dan bentuk kehidupan? Tanpa Al-Qur’an kita tidak akan memperolehi cahaya tersebut.
Jadi nyatalah Al-Qur’an itu suatu rahmat dan nikmat untuk kita. Ia menjadi bukti betapa kasihnya Allah terhadap para hamba, dengan membekalkan pedoman yang luhur ini.
Beta amat gembira dan selesa dengan suasana di sepanjang bulan ini, yang meriah dengan Majlis-majlis Tedarus Al-Qur’an yang dikendalikan oleh agensi-agensi kerajaan khasnya. Ia adalah satu trend terpuji yang mencerminkan kepimpinan sihat.
Kita dengan Al-Qur’an bukan lagi merupakan satu pilihan, tetapi adalah keutamaan dan kemestian. Kerana apa yang dibaca dari Al-Qur’an itu, akan melahirkan ketenangan, sedang ketenangan menjadi punca kebahagiaan. Yang diamalkan pula menjadi kebajikan, sedang yang disuruh dan ditegahnya menjadi rahmat dan peringatan.
Itulah Al-Qur’an. Ia petunjuk sepanjang masa. Ia juga perisai yang menolak segala kejahatan syaitan dan hawa nafsu, di samping penglipur lara bagi jiwa yang runsing.
Oleh itu, jadikanlah ia teman. Gemarkanlah diri membacanya, dan malah sukakanlah hati mendengar bacaan-bacaan orang lain yang membaca. Semua ini menghasilkan ganjaran pahala.
Ingatlah, jika dada telah dipenuhi oleh Al-Qur’an, maka kita insya-Allah, tidak akan sesat atau disesatkan. Kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ada bersabda, ertinya:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang teguh kepadanya, iaitu Kitab Al-Qur’an dan As-Sunnah.”
Ini merupakan petunjuk jelas, bahawa ‘jalan kebenaran’ itu hanya ada pada Al-Qur’an dan As-Sunnah, di mana selain itu, tidak ada jaminan untuk memperolehinya. Yakni apa pun nama kitab yang terkarang, tidaklah mampu menandingi Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Al-Qur’an dan As-Sunnah adalah perlembagaan daripada Allah, sementara perlembagaan yang dicetuskan oleh minda manusia, mungkin sahaja tidak lebih dari setitik air di lautan.
Begitulah keagungan Al-Qur’an, sayugia kita jangan lalai dari mengambil manfaat daripadanya.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakuh.
***
No comments:
Post a Comment