Tuesday, 28 May 2013

Titah Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1432 Hijriah / 2011 Masihi

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1432 Hijriah / 2011 Masihi.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahuakbar,
Allahuakbar,
Allahuakbar,
Walillahilhamd.

1 Syawal datang lagi. Kita menyambutnya dengan penuh syukur. Cara melahirkan kesyukuran itu, dimulai dengan takbir dan tahmid, tanda kita memuji dan membesarkan Allah.

Mengapa kita menyambut dengan takbir dan tahmid? kerana Hari Raya adalah nikmat besar daripada Allah, berupa hari kemenangan yang ditunggu- tunggu, hari suci dan agung.

Sekali pada setahun kita menyambut kemenangan ini. Ia bukan kemenangan biasa, seperti orang menang dalam pertandingan- pertandingan atau menang dalam peperangan- peperangan. Tetapi kemenangan ini adalah lebih besar lagi daripada lain-lain kemenangan.

Kemenangan Hari Raya adalah kemenangan dari medan paling mencabar, iaitu setelah berjaya menewaskan musuh paling licik dan gagah, berbanding dengan lain-lain musuh.

Musuh yang paling licik dan gagah itu ialah 'musuh hawa nafsu'. Kita berhadapan dengannya pada setiap detik dan ketika, khususnya di sepanjang bulan Ramadan yang Mubarak.

Dalam bulan Ramadan syaitan dirantai oleh Allah, tetapi hawa nafsu tidak.

Jadi musuh tunggal kita pada bulan ini ialah hawa nafsu.

Hawa nafsu itu kita bawa ia ke sana dan ke mari. Kita berjuang dengannya di mana saja : Ketika kita duduk atau berdiri, ketika berjalanjalan dan bekerja, semuanya ia mengikuti kita. Pada lazimnya ia bukan saja mengikut, bahkan juga mendorong dan menolak kita kepada mungkar yang ditegah oleh Allah.

Demikian, peranan dan aktiviti hawa nafsu itu. Di bulan Ramadan, nafsu ini mungkin saja lebih aktif untuk membawa kita umat Islam terpesong daripada landasan yang hak: Dari ketaatan kepada Allah. Ini dapat dikesan apabila seseorang tidak bergembira dengan kedatangan bulan Ramadan, rimas dengan ibadat puasa, merasa azab dengan dengannya, lalu dengan mudah saja dia meninggalkan ibadat tersebut.

Begitu juga, tidak ada kemahuan untuk berbuat baik, seperti membanyakkan sedekah, rajin membaca Al-Qur'an, tabah bertarawih dan lain-lain. Jika semua ini berlaku, maka awas! Itu tandanya kita sedang dikalahkan oleh hawa nafsu lawwamah.

Apatah lagi jika dalam bulan Ramadan juga, dosa-dosa besar turut dilakukan, maka itu tandanya hawa nafsu telah benar-benar memangsakan kita dan menjadikan kita hambanya.

Oleh itu, marilah kita bersyukur, kiranya pada hari ini, kita bukan termasuk golongan yang tewas oleh hawa nafsu, tetapi orang-orang yang menang : Menang kerana Allah dan menang kerana menjunjung titah perintah-Nya.

Allahuakbar,
Allahuakbar,
Allahuakbar,
Walillahilhamd.

Marilah kita berazam untuk terus menang. Bukan saja menang di bulan Ramadan, malahan juga, kita bekalkan kemenangan itu untuk seluruh bulan, khasnya di bulan Syawal yang mulia ini.

Dalam bulan Syawal juga masih perlu diteruskan perjuangan membendung hawa nafsu. Di bulan ini, hawa nafsu boleh saja lebih kuat untuk memesongkan kita, seperti memesongkan supaya kita berlaku boros atau berbelanja besar tanpa memikirkan risikonya.

Lebih malang lagi, kalau ada pula yang sampai melupakan akhiratnya, kerana terlalu asyik bersuka ria, sehingga terlupa kewajipan terhadap Allah seperti kewajipan fardu lima waktu.

Jika berlaku ini, tidak ada maknanya lagi Hari Raya. Kerana Syawal juga masih bernama 'bulan ibadat', tidak ada sebab untuk ianya dicemari dengan maksiat.

Bukankah di dalam bulan ini juga masih dituntut kita berpuasa? Cuma bezanya, puasa Ramadan hukumnya fardu, dilakukan sebulan genap, sementara puasa Syawal pula hanyalah sunat, cuma enam hari sahaja. Namun kedua-duanya adalah sama-sama ibadat.

Jadi untuk menjadi orang yang benar-benar menghargai nikmat Allah berupa Hari Raya itu, maka marilah kita isi ia dengan ketaatan jua, sebagaimana kita mengisi Ramadan dengan aktiviti-aktiviti peribadatan.

Kita isi ia dengan takbir dan tahmid, dengan Sembahyang Sunat Hari Raya, dengan bermaaf-maafan, dengan mengeratkan lagi silaturahim, dan paling asasi, dengan konsisten menunaikan kewajipan-kewajipan fardu terhadap Allah.

Turut menjadi salah satu hari ketaatan itu, ialah memelihara makan-minum, supaya jangan melampau- lampau dan jangan makan yang tidak halal atau yang syubhah, untuk menyelamatkan ibadat kita dan juga menyelamatkan diri daripada api neraka.

Hari Raya bukanlah tiket untuk bermudah-mudah di dalam perkara makanminum.

Dengan mengambil ingatan terhadap perkara- perkara ini semua, insya-Allah, Hari Raya akan menjadi wadah bagi kita untuk memperolehi ganjaran pahala.

Akhirnya, beta dan keluarga beta, dengan segala tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Al-Mubarak kepada sekalian rakyat jelata dan penduduk, semoga kita semua sama-sama berada dalam riang gembira serta selamat di bawah inayah dan pemeliharaan Allah Yang Maha Perkasa.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment