Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji
Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam Di Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim
Permesyuaratan Ketiga Majlis Mesyuarat Negara Pada Hari Selasa, 16 Safar 1428 /
6 Mac 2007.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat berkumpul di Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketiga Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.
Dalam persidangan kali ini Ahli-ahli akan berpeluang untuk membincangkan peruntukan belanjawan tahun 2007 - 2008.
Peruntukan ini tidak syak lagi, adalah nadi bagi menggerakkan jentera pembangunan negara. Objektifnya yang utama ialah supaya kebajikan rakyat sentiasa terpelihara. Dengan peruntukan itu, kita bukan saja mampu merancang, tetapi juga berupaya untuk membawa negara ini kepada perkembangan yang selayaknya.
Beta berharap, semua agensi kerajaan yang diamanahkan dengan Peruntukan Kewangan akan dapat mengawalnya dengan penuh akauntabiliti serta menggunakannya menurut perancangan. Semua sistem perlaksanaan, pemantauan dan penilaian hendaklah sentiasa dikemaskinikan, supaya semua yang berkepentingan dengannya akan dapat menikmati perkhidmatan yang efisien
lagi berkesan.
Pengurusan kewangan yang bijaksana dan bertanggungjawab akan membolehkan kita bergerak dengan lebih cepat dalam mengatasi apa jua rupa cabaran. Di satu aspek, kita biasa diberitahu betapa pentingnya berbelanja dengan cara berhemat atau
‘prudent’.
Tetapi di aspek yang lain kita juga perlu melihat keutamaan, sambil tidak mengorbankan kelicinan pentadbiran yang akan menjejaskan pembangunan jangka pendek mahupun jangka panjang.
Setiap cadangan dan rancangan perlulah ditimbang, bahawa ia bukan saja berdasarkan keperluan ‘value for money’ tetapi lebih utama ialah kemanfaatannya, yang dapat membawa negara mencipta tamadun dan nama.
Kerana negara yang ketandusan tamadun dan nama tidak akan mampu untuk berdiri cemerlang. Demikian juga tidak salah untuk kita mengambil kira, bahawa setiap perancangan belanjawan itu hendaklah mempunyai nilai dapat mendatangkan pulangan pelaburan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Bila bercakap mengenai pelaburan, janganlah ia disempitkan kepada aspek benda semata-mata. Tetapi di manakah kita dengan aspek ilmu dan pendidikan umpamanya?
Kerana itu ‘perancangan besar’ yang berkualiti ialah, bila mana kita dapat menjelmakan pelaburan bersepadu di antara benda dan tamadun.
Pelaburan ketamadunan juga adalah amat berpotensi untuk menambahkan penghasilan negara. Jadi rancangan-rancangan kerajaan bukan saja untuk perkembangan ekonomi yang berkesan, malahan juga untuk memperkukuh dan memperkaya lagi nilai-nilai hidup dan tamadun bangsa. Beta yakin tugas ini bukanlah luar biasa untuk dilaksanakan, jika semua pihak mempunyai kefahaman dan visi yang sama.
Setakat ini alhamdulillah, dengan izin dan petunjuk Allah jua, telah banyak kejayaan yang dapat kita nikmati.
Sehubungan itu, beta juga gembira mendapati perkembangan yang baik, sejak Majlis Mesyuarat Negara diwujudkan semula.
Beta berharap, Ahli-ahli Yang Berhormat akan dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan bijaksana, dedikasi serta ikhlas.
Dinamakan bijaksana itu ialah dapat melihat segala permasalahan dengan ‘mata hati’, bukan semata-mata apa yang terpapar sahaja tetapi juga tahu meletakkan harga kata-kata bagi meraih manfaat daripadanya.
Sasaran utama kita tidak lain ialah untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang benar-benar berdaulat aman makmur lagi selamat.
Akhirnya beta berdoa semoga Ahli-ahli akan dapat berbincang dengan penuh hemah bagi memartabatkan Majlis Mesyuarat ini selaku sebuah institusi yang betul-betul dihormati. Jadikanlah ia forum atau wadah yang membina bagi kelangsungan konsep Melayu Islam Beraja yang luhur itu.
Beta yakin dengan bimbingan bijaksana Yang Amat Mulia Yang Dipertua Dewan persidangan ini berjalan dengan lancar, bebas dan menepati sasarannya.
Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment