Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Tahun Baru Hijrah 1430 pada 1hb Muharram 1430 / 28hb Disember 2008
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN TAHUN BARU HIJRAH 1430
PADA
1 MUHARRAM 1430/28 DISEMBER 2008
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN TAHUN BARU HIJRAH 1430
PADA
1 MUHARRAM 1430/28 DISEMBER 2008
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Ala Umuriddunya Waddien, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajma’een. Waba’du.
Marilah kita sama-sama merafakkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana telah meminjamkan kita umur, sehingga dapatlah kita memasuki gerbang Tahun Baru Hijrah 1430 ini.
Awal kalam untuk mengalu-alukannya ialah dengan doa: Semoga pada tahun ini kehidupan kita penuh dengan keberkatan di dalam semua lapangan.
Semoga sekalian rakyat dan penduduk beroleh kebahagiaan, di bawah ‘inayah dan perlindungan Allah Ta’ala.
Negara pula tetap berkeadaan aman, makmur lagi selamat, tiada sebarang kemelut dan ketakutan di dalamnya.
Semoga Tahun 1430 Hijrah menjadi wadah untuk kita membangun: Pembangunan fizikal dan rohani yang diredai oleh Allah.
Kita membangun untuk kemakmuran, dan dalam masa yang sama juga, kita membina keyakinan diri untuk menjadi hamba yang taat dan rajin beribadat.
Kemakmuran dicapai dengan usaha, dengan menggunakan sumber alam kurnia Allah Ta’ala. Daripada sumber alam ini, kita memperolehi minyak dan gas, dan daripadanya juga kita mendapat makanan.
Beta berharap, pada tahum ini, Tahun Hijrah 1430, kita wajar bergerak lebih pantas untuk mencapai objektif negara, seperti di dalam bidang pertanian, kita perlu meningkat ke tahap peratus ‘sara diri’ yang lebih tinggi daripada yang ada masa ini, sejajar dengan pertumbuhan dan keperluan.
Kita juga akan terus bergerak untuk meningkatkan taraf hidup, sesuai dengan matlamat mencapai tahap kemiskinan sifar.
Dari sudut agama, manakala terdapat keadaan yang menggalakkan, maka kemiskinan di kalangan umat Islam tidaklah sukar untuk diatasi.
Pada hari ini kita bercakap mengenai hijrah, dan sekiranya umat Islam berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan, maka bermakna inilah hijrah yang paling bersejarah untuk mereka.
Orang Islam mestilah lurus dalam pegangannya, untuk mendapatkan natijah terbaik dalam kehidupan.
Jika pegangan tidak lurus, walaupun niat baik, kita tidak mungkin, umtuk menghasilkan sebarang natijah yang terbaik itu.
Begitulah yang beta harapkan, terutama daripada pemimpin-pemimpin di semua agensi kerajaan, kerana mereka adalah jurumudi bagi membawa kapal-kapal ke pangkalan yang tepat.
Sesuai dengan semangat hijrah, semua orang, terutama para pemimpin dan pembantu-pembantu mereka, perlulah lebih peka dengan perkembangan semasa, sama ada yang bersangkutan dengan tugas harian masing-masing mahupun yang lebih besar daripadanya.
Jika ada perkara yang perlu ditangani dengan segera, mengapakah tidak ditangani? Begitu juga, jika ada peluang untuk membuat perubahan, mengapakah tidak dibuat, padahal jika dibuat, ia boleh mendatangkan banyak kebaikan.
Inilah caranya kita melayani Tahun Baru. Ia bukan saja untuk menanam azam, tetapi yang lebih penting melaksanakan azam. Jika pada tahun lalu kita melihat kerosakan, pada tahun ini, Tahun Baru, kita mesti menyaksikan pembaikan.
Adalah tidak wajar melambat-lambatkan perubahan, walau perubahan itu sangat perlu untuk dilakukan.
Kerugian bukan saja dialami oleh siapa yang menahan-nahan perubahan, malahan juga oleh orang lain yang memang berhak untuk menerima perubahan itu.
Lebih-lebih lagi jika perubahan itu bersifat membetulkan kesilapan atau kesalahan, maka sudah barang tentu ia wajib pula dilakukan dengan sesegera mungkin.
Ini juga boleh dianggap sebagai peka terhadap perkembangan, iaitu tidak membiarkan kesilapan terus berlarutan.
Attitude seperti inilah yang diperlukan oleh masyarakat membangun, di mana kita adalah sebahagian daripadanya.
Di sinilah sepatutnya azam Tahun Baru bermula dan bertolak.
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati azam kita ini, dengan menjadikannya kenyataan. Amin.
Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta tidak lupa mengucapkan Selamat Menyambut dan Menjalani Tahun Baru Hijrah 1430. Semoga dalam menjalaninya itu, kita semua akan sentiasa mendapat hidayat dan bimbingan Allah bagi memperolehi keredaan-Nya.
Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment