Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri
Tahun 1431 Hijrah / 2010 Masihi Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal
Bolkiah bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 7
Syawal 1431 / 16 September 2010
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat meraikan Aidilfitri Al-Mubarak 1431/2010. Lebih-lebih lagi kita meraikannya dalam suasana yang aman lagi selesa. Kita merasa bertuah dikurniakan nikmat ini.
Bagaimanapun, kita turut bersimpati dengan nasib sebilangan warga dunia yang ditimpa musibah-musibah berat, yang tentunya membawa kesengsaraan kepada mereka. Di antara mereka itu – dalam jumlah yang besar – ialah umat Islam.
Dalam perspektif Islam, musibah juga dikaitkan dengan kelakuan dan perbuatan manusia sendiri, seperti disebut oleh Al-Quran Surah Ar-Ruum, ayat 41, tafsirnya: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab perlakuan tangan-tangan manusia…”
Perlakuan-perlakuan itu meliputi perbuatan maksiat secara peribadi dan perbuatan melanggar perintah, atau undang-undang, atau hukum-hakam Allah Taala.
Maka sehubungan ini, beta turut gembira dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, menampilkan pegawai-pegawai dan kakitangan daripada agensi-agensi penguatkuasaan awam, yang memegang peranan memantau dan mengawal semua undang-undang dan peraturan di negara ini.
Mereka tidak syak lagi, adalah tunggak kerukunan dan benteng kesejahteraan yang sebenar-benarnya.
Peraturan dan undang-undang adalah ‘jiwa’ kepada masyarakat. Tanpa peraturan dan undang-undang,masyarakat akan lemah dan tidak dihormati. Oleh itu jentera penguatkuasaan mestilah kuat, tidak boleh lemah. Kerana jika ia lemah, negara dan masyarakat akan terjejas teruk.
Ada peraturan dan undang-undang sahaja belumlah cukup. Ibarat qalam atau pensil, tanpa tangan yang menjalankannya, qalam dan pensil itu tidak berguna apa-apa. Maka demikian itulah dengan peraturan dan undang-undang, mesti ada tangan dan kuasa melaksanakannya, barulah ia berguna. Jika tangan atau kuasa itu lemah, maka akan jadilah ibarat qalam tanpa dakwat, atau pensil yang patah, tidak akan membawa makna apa-apa.
Pada masa ini atau akhir-akhir ini, perbuatan melangkahi peraturan atau undang-undang adalah lumrah. Kerana itu, pihak penguatkuasa tidaklah boleh cuai atau berlonggar-longgar dengan peraturan atau undang-undang yang ada. Mereka perlu lebih tegas dan berani, asal saja jangan bertindak di luar batas kuasa yang sah.
Ambillah perhatian di semua aspek yang mungkin berlaku, seperti penggunaan logo-logo palsu, penyelewengan, penyeludupan, pelanggaran akta berkaitan tanah dan lain-lain oleh pihak-pihak tertentu. Tangani semuanya dengan peraturan atau undang-undang secara berhemah dan profesional. Jangan biarkan ada yang terlepas, kerana mereka adalah kudis berjangkit yang perlu dirawat.
Di akhir-akhir ini, jenayah rompak dan mengikat mangsa juga berlaku. Tangani pelaku yang terlibat dengan undang-undang tanpa tolak ansur. Pastikan mereka berhadapan dengan undang-undang dan mahkamah. Mereka jangan sekali-kali diberi peluang untuk mengulangi lagi perbuatan keji itu bagi kedua kalinya. Jika mereka itu berasal dari luar Brunei, maka pastikan supaya mereka faham, bahawa di Brunei tidak ada tempat bagi orang-orang yang seperti itu.
Pihak penguatkuasa keselamatan, tidak ada peluang lagi untuk memperlahankan langkah, tetapi perlu lebih ligat dan cepat untuk menumpas dan mencegah jenayah yang terkutuk itu.
Beta berharap, orang ramai juga kenalah lebih berhati-hati serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang padu kepada pihak-pihak penguatkuasa, tanpa perlu didesak-desak atau diminta.
Ingatlah, tanggungjawab kepada negara dan undang-undang adalah tanggungjawab bersama.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment