Wednesday, 29 May 2013

Hari Raya ‘Idilfitri Tahun 1428 Hijrah / 2007 Masihi

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya ‘Idilfitri Tahun 1428 Hijrah / 2007 Masihi

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA HARI RAYA ‘IDILFITRI TAHUN 1428 HIJRAH / 2007 MASIHI

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Awal Syawal menjelang lagi. Seluruh umat Islam menyambutnya dengan penuh bersyukur serta gembira. Kita bersyukur, kerana dapat menunaikan kewajipan berpuasa selama sebulan penuh, sementara bergembira pula, kerana kita telah Berjaya menundukkan hawa nafsu dibulan yang Mubarak ini.

Bukanlah senang untuk menjadi orang yang pandai bersyukur, sekalipun perkataan ‘syukur’ itu mudah diucapkan. Sebab itulah, syukur amat tinggi nilainya disisi Allah. Ia menjadi punca bagi ‘Nikmat Allah’ bertambah, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ibrahim, ayat 7, tafsirnya:

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku (Allah) akan tambah lagi (nikmatKu) kepada kamu, dan sebaliknya jika kamu kufur (ingkar tidak bersyukur), maka sesungguhnya ‘azab-Ku adalah amat pedih.”

Bersyukur, adalah wajib dilakukan oleh semua peringkat dan golongan, tanpa mengira kaya ataupun miskin. Bersyukur adalah tangga kepada kebahagiaan.

Orang kaya yang bersyukur adalah orang yang berbahagia. Tanda dan cara bersyukur itu ialah dengan menggunakan hartanya dijalan-jalan kebajikan, antara lain yang paling dituntut ialah dengan mengeluarkan zakat.

Adapun orang yang berzakat itu, telah sedia dijamin oleh Allah akan ditambah lagi serta dipelihara harta-hartanya. Dalam makna, harta yang dizakat itu bukanlah kurang tetapi bertambah.

Apakah ini bukan untung dan bahagia namanya?

Sudahlah itu, kebahagiaan yang lebih besar dan abadi juga adalah sedang menunggunya di akhirat kelak.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sementara bagi orang bukan kaya pula, cara bersyukurnya ialah dengan memiliki sikap ‘berpada’ terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya. Dengan cara ini, orang tersebut akan menjadi orang yang paling bersyukur, dan sekaligus, paling berbahagia.

Jadi ternyata yang penting itu disini ialah, sikap kita. Sikaplah yang menentukan kebahagiaan atau kesengsaraan sesorang itu.

Baru-baru ini terdapat kenyataan daripada pihak berkenaan mengenai dengan kutipan wang zakat. Menurut kenyataan tersebut, kutipan zakat harta sahaja sehingga tempoh 31 Ogos, 2007 adalah menunjukkan penurunan yang ketara.

Mengapakah ia turun? Adakah ini merujuk kepada penurunan ekonomi, ataupun ianya ada kaitan dengan perubahan sikap kita dalam penunaian zakat?

Jika betul ia ada kaitan dengan perubahan sikap, mengapakah ia berubah itu?

Pada hemat Beta, ini tentu sahaja ada factor yang menyebabkannya berubah, sama ada ia faktor dalaman daripada dalam diri masyarakat sendiri, ataupun factor lain. Adapun factor dalaman itu, mungkin sahaja ia bersebab dari keyakinan masyrakat terhadap mekanisme zakat belum lagi mantap, yang menjadikannya satu daripada punca hasil kutipan zakat tidak tetap, atau turun naik dengan ketara.

Sebagai misalan, statistik telah memaparkan, pada tahun 2006, Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat hanya mengutip $8.8 juta sahaja, berbanding dengan tahun 2005 telah mengutip $18.9 juta, suatu penurunan yang amat ketara dan besar.

Jika betul ini berpunca daripada faktor dalaman yang bernama ‘keyakinan’, maka kita amat bimbang ia akan berlarut-larut jika tidak dipeduli. Oleh itu, patutlah bagi pihak berkenaan, bukan hanya setakat mengemukakan fakta dan data, tetapi lebih penting lagi, menanganinya dengan kajian-kajian terperinci, mengapakah kemerosotan atau penurunan itu berlaku?

Ini, akan memberikan kita maklumat yang berguna, dan seterusnya membuka jalan kearah mengesankan lagi cara pengendalian zakat, serta sekaligus mengatasi masalah.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Dikesempatan yang bersukut baik ini, Beta dan keluarga Beta tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idilfitri kepada semua rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana saja mereka berada.

Beta juga dengan rendah hati sukacita merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada semua yang berkenaan yang terlibat dengan Majlis-Majlis Kesyukuran dan Do’a Selamat bersempena dengan 40 tahun Beta menaiki takhta. Beta berdo’a semoga ingatan dan jerih payah mereka yang sangat bernilai itu akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran manis daripadaNya. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

No comments:

Post a Comment