Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam di Perasmian Majlis Ilmu 2012 Sempena Hari
Keputeraan Baginda Ke-66 pada hari Selasa, 23 Syawal 1433H / 11
September 2012M bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan
Antarabangsa, Berakas.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi
Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen,
Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke
hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana Majlis Ilmu 2012 terus dijadikan
salah satu acara utama perayaan sempena Hari Keputeraan beta pada tahun
ini, dengan tema kali ini berbunyi: ‘Nikmat Kesihatan Asas Kesejahteraan Negara’.
Ugama
Islam telah meletakkan kesihatan dan kesejahteraan itu di tempatnya
yang tinggi selepas keimanan. Ini selaras dengan sabda Nabi Sallallahu
‘Alaihi Wasallam riwayat Ibnu Majah yang bermaksud: “Mintalah kepada
Allah kesihatan dan kesejahteraan, kerana sesungguhnya tidak ada
perkara yang lebih baik daripada kesihatan selepas iman.”
Demikian nilai kesihatan itu. Ia adalah asas untuk penghidupan yang sempurna.
Nikmat sihat membolehkan seseorang dapat memenuhi hajatnya dengan baik, seperti mencari ilmu dan beramal ibadat dengan selesa.
Kesihatan
yang optima tidak syak lagi akan membolehkan seseorang individu itu
menunaikan kewajipan dunia dan akhiratnya dengan sempurna.
Pada
hemat beta, tema Majlis Ilmu pada tahun ini sangatlah menarik dan bahkan
penting, kerana ianya boleh mengingatkan kita kepada peri mustahaknya
perkara kesihatan.
Warga yang sihat akan dapat memainkan peranan lebih cergas, lebih produktif dan efektif untuk masyarakat dan negara.
Alhamdulillah,
kita di negara ini sudah pun mempunyai dasar perkhidmatan penjagaan
kesihatan secara komprehensif dan menyeluruh, yang berkonsepkan
‘universal health coverage’. Kita kini telah berjaya menepati
sasaran-sasaran kesihatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan
Sedunia, termasuk juga Matlamat Pembangunan Milenium atau Millennium Development Goals (MDG) yang berkaitan dengan kesihatan.
Namun,
kita tidaklah seharusnya merasa complacent, apatah lagi lalai atau
kurang waspada. Ini kerana, sepertimana negara-negara lain di dunia,
kita juga tidak terkecuali berhadapan dengan pelbagai cabaran kesihatan
dan penyakit, yang bukan saja menggugat masyarakat dan negara, malahan
juga boleh menjejaskan pembangunan sosioekonomi negara.
Antara
cabaran-cabaran tersebut termasuklah peningkatan jumlah penghidap
penyakit-penyakit kronik tidak berjangkit, seperti penyakit kanser,
jantung, kencing manis dan darah tinggi, yang tidak mengenal usia atau
status sosial. Penyakit-penyakit seperti ini, beta difahamkan, adalah
menjadi penyebab utama kematian di negara ini.
Dalam menangani
cabaran-cabaran sedemikian, beta berharap semua stakeholders yang
berkenaan, khususnya Kementerian Kesihatan akan terus melipatgandakan
usahanya dengan membuat pendekatan-pendekatan lebih holistik mengikut
amalan terbaik, seperti mengguna pakai kaedah yang lebih ‘kos efektif’
serta prinsip ‘pencegahan lebih baik daripada rawatan’.
Salah
satu kaedah kawalan dan pencegahan itu ialah melalui pengamalan cara
hidup sihat, termasuk mengekalkan persekitaran yang bersih lagi
selamat. Amalan-amalan baik seperti ini amatlah dituntut oleh ugama
Islam.
Demikian juga, Islam menekankan supaya kita tidak berlebih-lebihan dalam pemakanan.
Dipendekkan
kalam, kerajaan beta adalah berharap untuk melihat rakyat dan penduduk
di negara ini mempunyai tahap kesihatan yang optima.
Namun ini,
hanyalah mungkin dicapai, jika setiap individu dan masyarakat sama-sama
menyedari dan mengambil berat perkara-perkara kesihatan itu, bukannya
semata-mata menyerahkan kepada pihak kerajaan.
Di pihak kerajaan
pula, beta telah pun memperkenankan bagi perlantikan konsultan untuk
tujuan menyediakan Pelan Induk Sistem dan Infrastruktur Kesihatan Negara
Brunei Darussalam, sebagai langkah meneruskan usaha memantapkan
perancangan, meningkatkan kualiti dan memajukan lagi sistem penjagaan
kesihatan negara dengan lebih terarah, selaras dengan Wawasan Brunei
2035. Langkah ini juga dihasratkan untuk melihat negara ini terus
makmur dan sejahtera, dengan rakyat dan penduduk dapat diberikan
penjagaan kesihatan berkualiti dan komprehensif secara saksama.
Akhirnya
beta berharap, Majlis Ilmu ini, dengan program-program yang disusun,
akan dapat mencapai matlamatnya menyebarkan ilmu yang bermanfaat
khususnya tentang penjagaan kesihatan.
Dengan ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’,
selawat dan salam ke atas Penghulu sekalian Nabi dan Rasul, Sayyidina
Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka beta rasmikan Majlis Ilmu
2012 ini.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment