Wednesday, 29 May 2013

Tahun Baru Masihi 2008

Titah Kebawah Dull Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Masihi 2008.

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI 2008

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuridddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat memasuki tahun baru Masihi 2008 dalam suasana yang memberangsangkan.

Sambil itu juga kita melambaikan tangan kepada tahun 2007 yang telah kita lalui dengan penuh selesa.

Pada lazimnya, tahun demi tahun itu mempunyai ruang-ruangnya yang tersendiri.  Kitalah yang mengisinya dengan aktiviti yang berpatutan dengan keperluan semasa.

Kita tidak akan bersikap menerima apa saja, tetapi mahu - jika boleh – akan hanya menerima apa-apa yang terbaik sahaja.

Maksud beta, tahun-tahun yang kita berada di dalamnya, biarlah merupakan tahun-tahun yang menghidangkan kebajikan,yang penuh dengan keberuntungan.  Kita usahakan ini dengan sekuat tenaga.

Demikianlah, tahun 2008 Masihi, kita hasratkan supaya benar-benar menjadi ‘Tahun Bahagia’ : Tahun keamanan dan kemakmuran sebagaimana juga tahun-tahun yang sebelumnya.

Kita bina ‘Tahun Bahagia’ ini dengan hemah dan kerja keras, bukan dengan berpeluk tubuh.

Kita warnai ia dengan program-program yang bermanfaat, bukan yang sia-sia.

Inilah caranya, setiap kali kita memasuki tahun baru.  Kita bermastautin di dalamnya, bukan dengan duduk-duduk diam atau asyik berseronok-seronok, tetapi perlu terus ligat menggarap kemajuan serta bergerak ke hadapan, bukan berundur ke belakang.

Kita akan memakai konsep ‘kreatif’ : Menghasilkan apa-apa yang perlu dihasilkan, memperbaiki apa-apa yang perlu diperbaiki dan meningkatkan apa-apa jua yang perlu dipertingkatkan.

Melalui konsep inilah kita membangun dan bersaing.

Kita membangun, sebagimana juga orang lain membangun, dengan menggunakan sumber dan mekanisme yang kita ada.  Perkara ini adalah biasa, bukannya luar biasa.

Adapun yang menjadikan pembangunan itu istimewa atau luar biasa ialah bilamana kita berjaya meletakkannya di landasan yang betul, yang menjadikannya terselamat daripada dicemari oleh kerenah-kerenah negatif atau perlakuan-perlakuan curang manusia.

Rata-rata negara dan bangsa di dunia adalah giat membangun, namun penyakit-penyakit sosial dan kemiskinan masih saja mencengkam mereka, mengapa?

Ini tentu saja ada silap dan puncanya.  Pada hemat beta, salah satu daripada puncanya itu ialah rasuah.  Dengan rasuah, semua mekanisme akan jadi lemah dan pincang.  Dan manakala mekanisme lemah dan pincang, segala pembangunan juga jadi pincang.

Jika ini betul, adalah satu amaran kepada kita supaya jangan sekali-kali menjinaki rasuah.

Jangan anggap ‘rasuah kecil’ tidak mengapa, tetapi ingatlah akan risikonya.  Kecil atau besar, sedikit atau banyak, adalah sama-sama bernama penyakit, yang boleh menjejaskan negara.  Negara yang karam dengan rasuh adalah negara yang malang.

Oleh itu, dalam perutusan ini, beta ingin menekankan supaya kita menutup pintu rapat-rapat kepada rasuah.  Apabila kita bersih daripada rasuah, Allah pasti memberkati kita dan negara, kerana bukankah Allah telah mengisytiharkan perang terhadap rasuah itu, sehingga barang siapa yang memberi atau menerimanya, orang itu akan dicampak ke neraka?

Dalam hubungan ini, semua warga Perkhidmatan Awam turut memikul tanggungjawab bagi memastikan hasrat ini tercapai.

Mereka tidak boleh lari dari memimpin dan memberikan kefahaman kepad rakyat tentang tanggungjawab ini.  Dan sehubungan itu mereka juga mestilah menunjukkan contoh bahawa mereka adalah pengurus dan pentadbir yang betul-betul bersih.

Manakala mereka itu bersih, bermakna kerajaan juga adalah bersih.

Inilah yang diharapkan oleh semua kalangan untuk melindungi mereka daripada segala anasir yang tidak bertanggungjawab, khasnya anasir-anasir perasuah dan penerima rasuah.

Beta berharap, strategi-strategi yang kita rancang akan turut mengmbil kira perkara ini.  Kita tidak mahu, ianya cuma indah di atas kertas sahaja, sedang apabila mahu dilaksanakan, rupa-rupanya ‘jentera pelaksana’ itu sedang bermasalah atau sudah lama bermasalah.

Bagaimanapun beta yakin bahawa Negara Brunei Darussalam belumlah terjebak.  Nemaun dengan langkah berhati-hati tidak siapa yang dapat mencela.

Di samping kita memperkemas dan memuhasabah diri, hubungan dengan pertubuhan-pertubuhan dunia juga mustahaklah dimantapkan.

Ini penting untuk mengekalkan hubungan kerjasama di pelbagai bidang, termasuk untuk membantu mencari peluang-peluang perdagangan dan mempromosi produk-produk Brunei ke luar negara, khususnya di rantau BIMP-EAGA.

Akhirnya beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha-usaha ikhlas mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Beta dan keluarga beta, tidak lupa juga merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2008 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wasalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment