Tuesday, 28 May 2013

Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-50 Tahun

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-50 Tahun pada Hari Selasa 27hb Jamadilakhir 1432 / 31hb Mei 2011

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,  Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala diatas limpah rahmat-Nya mengurniakan kita keamanan dan kesejahteraan.

Setiap negara berkewajipan untuk menjaga keamanan, kerana ia adalah segala-galanya.

Di antara asas keamanan dan keselamatan itu, turut di pegang oleh pihak-pihak yang berkenaan dengannya, terutama oleh Angkatan Bersenjata kita. Perlu diketahui, bahawa Pasukan Askar Melayu Diraja Brunei telahpun ditubuhkan pada 31 haribulan Mei 1961.

Lima puluh tahun penubuhannya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah melalui pelbagai pengalaman dan perkembangan. Ia tidak syak lagi, merupakan tonggak keamanan yang sebenar-benarnya.

Oleh itu, pada kesempatan ini, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga tentera, sama ada mereka masih berkhidmat ataupun tidak, diatas segala sumbangan mereka kepada negara.

Segala khidmat dan sumbangan ini perlulah berterusan, bukan sahaja untuk kelangsungan  keamanan itu sendiri, malahan juga untuk pembangunan ekonomi. Kerana pembangunan dan ekonomi yang mantap tidak mungkin tercapai, kecuali dengan adanya keamanan.

Lihat sahajalah setengah negara  di dunia, yang tidak dapat membangun, atau lambat membangun, kerana menghadapi gangguan-gangguan keamanan. Mereka lebih fokus keapda menangani suasana daripada usaha-usaha ekonomi dan pembangunan.

Begitulah besarnya sumbangan keamanan itu.

Oleh itu, pastikan pertahanan kita sentiasa siapsiaga, dan pastikan juga, keupayaan sentias “relevan” dengan cabaran-cabarab semasa.

Semua persediaan mesti diatur dan dirancang untuk kepentingan negara. Kepentingan ini mencakup soal-soal perhubungan antarabangsa, keselamatan sejagat, perdagangan, alam-sekitar dan seumpamanya.

Ia juga menyangkut proses kerjasama serantau mahupun antarabangsa.

Maka untuk itu, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei,  perlulah membina kerjasama dua-hala dan pelbagai hala dengan negara-negara lain dalam konsep Diplomasi Pertahanan.

Kerjasama serantau dalam rangka ASEAN, dan antara ASEAN dengan rakan dialog, adalah penting bagi Brunei untuk aktif, terutama apabila Negara menjadi pengerusi kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan ADMM-Plus pada tahun 2013.

Begitu juga, selaras dengan keupayaan kita, penglibatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam misi-misi pengaman luar negara, seperti penyertaan Negara dalam misi IMT di Filipina dan UNIFIL di Lubnan, telah banyak memberi pendedahan terhadap keselamatan antarabangsa serta cabarannya.

Dalam bidang pertahanan, kita alhamdulillah telah agak banyak juga membuat perkembangan. Misalnya melalui usaha-usaha terkini, kita juga mampu memaksimakan kesan tindak balas dari keupayaan tentera yang ada dengan kaedah operasi bersepadu atau jointery dan joint planning operation.  Matlamat ini dicapai, dengan memanfaatkan rangkain C41 dan tertubuhnya Markas Angkatan Bersama.

Begitu juga melalui peranan dan khidmat yang diberikan oleh unit-unit khusus, seperti Rejimen Pasukan Khas dan Unit CBRE atau Chemical, Biological, Radiological and Explosive yang mempunyai keupayaan dalam misi-misi tertentu.
Aspek capacity building juga turut memainkan peranannya dalam mempercekapkan lagi proses membuat keputusan dan
meningkatkan kualiti ketenteraan.

Beta juga telah memperkenankan penubuhan beberapa institusi selaku pelengkap matlamat. Ia termasuk Jabatanarah Perkembangan Keupayaan Tentera, Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Sains dan Teknologi, dan Akademi Pertahanan.

Namun, berikutan dengan perkembangan ini, kita juga adalah diperlukan untuk mengisi kekurangan-kekurangan tenaga yang ada.

Untuk mendapatkan sumber tenaga manusia, pengambilan agresif adalah diperlukan, disamping, turut juga penting ialah kesediaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi menawarkan  struktur kerjaya yang menarik serta jaminan masa depan yang baik.

Maka ke arah itu, Beta dengan sukacita memperkenankan pembaharuan ke atas Syarat-Syarat Perkhidmatan dan Struktur Perkembangan Kerjaya bagi semua peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Dan Beta juga sukacita memperkenankan perubahan ke atas pakej remunerasi bagi lain-lain peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Pembaharuan dan perubahan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos, 2011.

Beta berharap, perubahan-perubahan ini akan meningkatkan lagi mutu daan kualiti kecemerlangan profession ketenteraan serta juga akan dapat memberikan nilai tambah kepada anggota-anggota.

Sebagai Angkatan Bersenjata yang kecil, kita perlu mengimbangi sebarang kekurangan, dengan penguasaan teknologi dan kekuatan berganda, atau ‘force multiplier’. Matlamat ini hanyalah boleh dicapai dengan menghargai peranan kepimpinan dan kemahiran tenaga kerja.

Selain kepimpinan berwibawa dan profesional, operasi abad kini juga memerlukan inovasi, kreativiti dan kebijaksanaan bagi semua peringkat ‘soldiers’, siapa yang memikul tugas-tugas yang amat mencabar ini.

Sebagai pelengkap, langkah-langkah ‘regimentation’, penguatkuasaan undang-undang tentera dan didikan kerohanian juga adalah perlu.

Beta sangat berhasrat untuk melihat Tentera Darat Diraja Brunei, Tentera  Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei dan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berkembang serta mampu, untuk mengisi jurang keupayaan yang ada ketika ini.

Khusus dari sudut rohani, Beta difahamkan, penerapan keagamaan yang bersistematik telah dapat dilaksanakan dengan baiknya. Ini, amatlah menggembirakan sekali.

Beta juga berharap, setiap lapisan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan dapat menangkis segala anasir yang tidak diingini untuk kebaikan mereka sendiri dan juga negara. Ingatlah, nikmat keamanan, atau apa juga nikmat, bukanlah kita yang menciptanya sendiri, melainkan daripada Allah jua. Kalau agama-Nya kita pelihara dalam diri kita, dalam masa bertugas atau di luar tugas, maka insya Allah, nikmat itu akan berpanjangan.


Mengambil sukut majlis ini, Beta dengan amat sukacita, mengurniakan Pingat Jubli Emas kepada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang sedang berkhidmat. Ini adalah satu pengiktirafan di atas kecemerlangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei selama 50 tahun.

Akhirnya, Beta dengan penuh bangga mengucapkan syabas kepada mereka yang mengambil bahagian dalam perbarisan raksaksa pada pagi ini. Mereka sungguh kelihatan segak dan gagah dengan pakaian kombat yang baru, yang menterjemahkan satu pembaharuan dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikim Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment