Tuesday, 28 May 2013

Perasmian Majlis Ilmu Sempena Hari Keputeraan KDYMM Yang Ke-65 Tahun

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Perasmian Majlis Ilmu Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-65 Tahun pada 24hb Sya’ban, 1432 / 26hb Julai, 2011

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Beta amat menghargai Majlis Ilmu, kerana hidangan acaranya diyakini membawa berkat, berupa ilmu pengetahuan. Pada tahun ini sempena Hari Keputeraan Beta yang ke-65 tahun, Majlis Ilmu mengungkap tema : Pendidikan Membentuk Syaksiah Bangsa.

Beta menjangka, tema ini dipilih, ialah untuk mengingatkan kita semua, betapa mustahaknya sesuatu bangsa itu memiliki ilmu pengetahuan dalam pembangunannya. Orang berilmu ialah orang yang tidak habis-habis menuntut, mendengar, melihat dan membaca, bagi memperolehi ilmu. Oramg seperti ini disebut oleh al-Qur’an sebagai orang yang diangkat darjatnya disisi Allah dan manusia.

Di manakah kita dalam perkara ilmu ini? Maksud Beta, dimana kita dalam perkara membaca, mendengar dan mutala’ah bahan-bahan ilmu?

Mengikut satu kajian, ada diantara negara membangun, mempunyai  kadar penduduknya yang membaca, hanya satu baris dalam setahun, atau paling bnyak setengah mua surat setahun.

Diantara negara maju pula, kadar penduduknya yang membaca, ada yang satu muka surat dalam setahun. Dan kita pula, walaupun belum ada kajian, mungkin saja dibawah kategori satu baris setahun, atau tidak lebih dari satu beris setahun. Jika ini betul, maka pembudayaan membaca adalah satu perkara besar yang patut diutamakan di dalam program pembangunan negara kita.

Jadi kalau begitu, adalah menjadi tanggungjawab negara untuk menjadikan penduduk negara ini betul-betul berilmu, dalam erti kata, menerima dan memperolehi ilmu itu melalui pendidikan dan pembacaan. Projek dan program kearah ini mestilah disediakan.

Pada hemat Beta, perkara penduduk berilmu ini boleh saja dilaksanakan. Kita boleh melakukannya segenap pelusuk tanahair, dengan mengadakan kegiatan-kegiatan belajar ilmu. Secara formal, sudah tentu ia menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan. Dan secara tidak formal pula, ia boleh dirangka dan dilaksankan oleh pelbagai agensi dan kelas dewasa, dengan diberikan nafas dan pradigma baru. Sementara para intelek dan cendekiawan, akan menyemarakkan kegiatan motivasi, ceramah di balai-balai, di surau-surau, di masjid-masjid, di tempat bekerja dan sebagainya.

Dengan erti kata lain, kita membudayakan majlis ilmu di rumah, di balai, di masjid, di tempat dan sebagainya, sehingga apabila bertukar generasi, maka generasi Brunei pada ketika itu ialah bangsa yang rajin membaca, dan budayanya pula ialah budaya ilmu.

Cita-cita ini sebenarnya ada di dalam gagasan Negara Zikir yang beta ‘azamkan. Negara Zikir menghendaki ilmu supaya diajar, ceramah disampaikan, pameran ditunjukkan, buku ditulis, perpustakaan disediakan untuk menggarap ilmu sebagai asas kehidupan bernegara. Bukankah ilmu itu diutamakan oleh Islam? Lihat saja ayat pertama yang mula-mula diturunkan oleh Allah, bukankah ayat ilmu?

Belajar sepanjang hayat bukanlag perkara asing bagi Islam. Ia telah menjadi doktrin dan malah roh di dalam misi nabi-nabi. Kerana itu, tidak perlu berkiblat ke mana-mana, ke timur atau ke barat, untuk kononnya memperolehi methodologi, konsep atau filosofi yang terbaik, kerana dalam Islam sudah ada semua itu. Tinggal saja lagi, kita kena berusaha. Kalau kita tidak tahu, tanyalah orang yang tahu, kalau tidak ada yang tahu, buat kajiannya. Ia mesti ada, kerana Islam sudah menyediakan semua itu.

Semua agensi dan orang-orang berilmu serta para intelek, perlu turut terpanggil untuk mangatur langkah ke kampong-kampong, baik di balainya, di suraunya, di masjidnya, di dewannya, di umah Penghulu dan sebagainya, untuk menyampaikan ilmu, memberi motivasi kepada penduduk supaya berilmu. Kita tidak wajar membiarkan penduduk tanpa didatangi ilmu, hanya kerana masjidnya tidak berupaya atau balainya tidak mempunyai kemudahan dan lain-lain alasan.

Maka dengan ini, Beta sukalah menyarankan supaya, para intelek khususnya, turun menyumbangkan tenaga, dan guru-guru pula membuat extra mile bagi menyampaikan ilmu-ilmu bermanfa’at kepada penduduk, dengan misi : menuju masyarakat berilmu.

Mudah-mudahan Majlis Ilmu 2011, dengan temanya, Pendidikan Membentuk Syaksiah Bangsa pada tahun ini akan mencapai matlamatnya.    

Dengan lafaz : Bismillahir Rahmanir Rahim, Allahuma Shalli ‘Alaa Sayyidina Muhammadin Wa’ala Aalihee Washahbihee Ajma’een, Beta rasmikan Majlis Ilmu 2011.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.

No comments:

Post a Comment