Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam selaku Canselor Universiti Islam Sultan Sharif
Ali (UNISSA) di Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-2 UNISSA pada hari Sabtu, 3
November 2012 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi
Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,
Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, waba’du.
Alhamdulillah Beta
bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala. Kerana dengan limpah
kurnia-Nya jua, kita dapat berhimpun di Majlis Haflut Takharruj Kali
Ke-2, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Beta melihat
UNISSA turut mengalami beberapa perubahan dan perkembangan, sejajar
dengan usianya menjangkau lima tahun. Pada majlis Haflut Takharruj Kali
Ke-2 ini, kita berpeluang pula sama-sama meraikan para graduan yang
berjaya menamatkan pengajian mereka masing-masing. Pada kesempatan ini,
beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan
mereka itu.
Pada setiap masa, kita alhamdulillah turut
mengeluarkan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran,
namun dalam masa yang sama, beta juga melihat, masih terdapat lagi
ruang besar yang perlu diisi, khasnya oleh sumber tenaga manusia aliran
agama.
Di sinilah cabaran turut dihadapi oleh UNISSA. UNISSA
perlu berusaha keras untuk memenuhi hasrat yang beta titahkan sendiri,
supaya UNISSA bukan saja mengeluarkan lulusannya, tetapi juga berupaya
menghasilkan para graduan bertahap ulama.
Beta adalah mengambil
berat kedudukan UNISSA, selaku sifatnya Pusat Pengajian Tinggi Islam
tulen. Ia mampu untuk menjadi syiar, kerana memang, namanya sendiri saja
pun adalah syiar, perlu dijaga dan digilap sentiasa sebagai syiar.
Selaku
syiar, ia tidak boleh rendah dari yang lain-lain, tidak wajar ia berada
di bawah sedang yang lain di atas. Hanya namanya saja pun,
meletakkannya tidak boleh di bawah.
Ini bukanlah sentimen, tetapi
sejujurnya sebagai hak kerana namanya. Nama (Islam) itu adalah tiada
duanya, menjadi kewajipan kita menghormatinya, sama seperti menghormati,
siapa yang
ampunya agama itu sendiri, iaitu Allah Subhanahu Wata’ala.
Maka
tingkatkanlah prestasi, pencapaian dan malah prasarana pusat ini.
Janganlah ia kurang. Kalaupun tidak lebih daripada yang lain-lain,
tetapi setanding atau sebanding adalah mustahak.
Malah termasuk
juga saiz tapak kawasan, UNISSA janganlah ia kurang dari pusat-pusat
pengajian yang lain, sama ada yang sudah wujud, mahupun yang akan datang
jika berbangkit. Adalah kurang bijak jika kita merancang hanya setakat
cukup-cukup, tetapi merancanglah bagi keperluan masa depan yang panjang.
Selaku
syiar, UNISSA tidak boleh malap, seperti jua Islam sendiri tidak boleh
malap. Ini adalah amanah untuk kita sama-sama memelihara dan
menghormatinya sehingga bila-bila.
Kepada para graduan UNISSA,
beta ingin mengingatkan, supaya sentiasalah memelihara imej baik pusat
ini, di samping terus menambahkan lagi kemahiran dan kualiti yang
diperlukan. Peranan para pelajar bukanlah setakat ketika di dalam kampus
sahaja, tetapi jua di luar kampus dengan mengongsikan ilmu-ilmu agama
kepada masyarakat.
Pada tahum ini, beta telah memperkenankan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah untuk dilaksanakan di negara ini.
Sehubungan
ini, beta amatlah gembira mengetahui, bahawa UNISSA telahpun memulakan
kursus Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perundangan Syari’ah
(LL.B dan BSL) iaitu Program double degree.
Dengan ini,
UNISSA tidak syak lagi dapat kita harapkan untuk turut memainkan peranan
proaktif dalam usaha ke arah melaksanakan Perintah Kanun Hukuman
Jenayah Syari’ah tersebut, khasnya dalam menyediakan tenaga manusia yang
diperlukan. UNISSA pada misalnya boleh bekerjasama dengan pihak
berkenaan dalam memberikan pendedahan kepada pengamal undang-undang dan
juga orang ramai akan maksud perintah ini.
Beta percaya, dalam pendekatan ini, ahli akademik adalah memang layak untuk menjadi tunjangnya.
Akhirnya
beta ingin mengambil peluang merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan
penghargaan kepada seluruh Ahli Majlis UNISSA, pentadbiran UNISSA di
bawah pimpinan rektornya dan seluruh warga UNISSA serta ibu bapa atau
penjaga graduan yang turut sama-sama hadir bagi meraikan kejayaan
anak-anak mereka.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment