Titah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul
Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis
Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi
Tahun 2012 (malam ketiga) pada hari Khamis (malam Juma’at), 12 Rabiulakhir 1433
bersamaan 3 Mei 2012 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah Rabbil
‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu
‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee
Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana
berpeluang lagi untuk mendengarkan kalamullah oleh qari dan qariah pada malam
ini.
Al-Qur'an itu apabila dibaca dengan suara yang merdu ia
membawa pengaruh kepada jiwa. Bukan sahaja mendatangkan ketenangan dan
kekhusyukan malahan juga menimbulkan inspirasi yang sihat. Di samping itu,
Al-Qur'an juga boleh merawat dan mengubati segala penyakit.
Pada umumnya,
Al-Qur'an bukanlah untuk dibaca sahaja tetapi juga untuk diikuti segala
ajarannya.
Beta difahamkan, tema
Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan pada
tahun ini ialah 'Al-Qur'an Panduan Kesempurnaan Insan'.
Tema ini tepat, kerana Allah Subhanahu Wata'ala memang
menurunkan Al-Qur'an itu sebagai panduan. Barangsiapa yang mengikuti
petunjuknya maka orang itu akan beroleh kesejahteraan dan kebahagiaan.
Sebaliknya orang yang enggan akan kecewa dan binasa.
Jika umat Islam benar-benar berpegang dan mengamalkan
Al-Qur'an maka Allah akan mengangkat darjat mereka.
Kerana itu, tidak ada jalan lain untuk umat Islam merebut
semula zaman kegemilangan mereka, melainkan hanya dengan kembali kepada
Al-Qur'an sahaja dengan menjadikannya sebagai pedoman, panduan dan cara hidup
yang lengkap.
Dalam bidang pembangunan fizikal pula, Al-Qur'an tidaklah
menghalangi umat Islam dari melakukannya asalkan sahaja tidak melangkahi
batasan-batasan hukum.
Pembangunan fizikal dalam Islam, di samping untuk menjana
kemakmuran ia juga untuk memelihara kesejahteraan serta dengan konsisten
menghindari sebarang kerosakan dan kebinasaan di muka bumi selaras dengan
peringatan Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: “Telah nampak
kerosakan di darat dan laut disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia…”
Kerana itu, di samping pembangunan fizikal, di dalam
Al-Qur'an juga banyak membincangkan tentang pembangunan insan kerana
pembangunan insan itu adalah merupakan tunggak kepada pembangunan fizikal yang
sempurna, seperti telah dijelaskan oleh Allah, bahawa kemusnahan manusia itu
sendiri adalah berpunca dari maksiat dan penyelewengan yang mereka lakukan.
Sebaliknya jika mereka itu beriman dan bertaqwa, Allah pasti membalasnya dengan
kebajikan sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:
“Dan jika penduduk di suatu negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami
limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.”
Akhirnya, beta sukacita mengucapkan tahniah kepada para peserta
di kesemua peringkat pertandingan, khasnya mereka yang dapat bertahan sehingga
ke peringkat akhir kebangsaan ini. Ketentuan siapa di antara mereka yang akan
menjadi juara, maka sama-samalah kita menunggunya. Kepada qari dan qariah yang
berjaya menjadi juara dan seterusnya akan mewakili negara ke Musabaqah Tilawah
Al-Qur’an Peringkat Antarabangsa di
Kuala Lumpur nanti, beta berharap mereka itu akan semakin meningkat sehingga
sampai ke tahap yang dihajati.
Sekian. Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu’alaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment