Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam Mengenai Rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat
Menteri-Menteri Kabinet dan Pelantikan-Pelantikan Baru
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.
Awal kalam, kita wajib bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas kemurahan-Nya mengurniakan kita pelbagai nikmat dan kelebihan.
Keadaan negara yang aman lagi makmur adalah segala-galanya. Tidak ada yang lebih dihajati daripada ini, kerana ia merupakan pintu kepada semua kebajikan.
Manakala negara, apabila berada dalam keadaan aman dan makmur, semua pembangunan akan berjalan lancar. Ditambah lagi dengan jentera kerajaan yang baik, akan membolehkan harapan semakin tinggi untuk melihat kejayaan.
Namun ini bukanlah datang bergolek begitu saja, tetapi perlu didahului dengan usaha dan kerja keras.
Tanpa usaha dan kerja keras, kita tidak akan kemana-mana.
Siapakah yang lebih wajar untuk mendepani usaha dan kerja keras itu? Jawabnya ialah barisan para pemimpin. Merekalah ikon rakyat untuk dicontohi, dan selaku contoh, mereka juga perlu memiliki personaliti dan syakhsiah yang hebat.
Kehebatan disini turut merangkumi sikap bersih, berkebolehan dan berwawasan, termasuk juga sanggup berbasah dan berkering, sehingga diri sendiri tidak lagi penting, berbanding pengorbanan untuk ugama, raja, bangsa dan negara.
Jika kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang seumpama itu, maka kitalah orang yang paling beruntung, kerana rakyat dan penduduk boleh berkongsi kehebatan dengan mereka.
Inilah yang Beta harapkan, dan ini juga tema perombakan keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan beberapa lantikan baru, seperti berikut:
1. Beta sendiri selaku Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan juga Menteri Kewangan.
2. Paduka Anakda Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
3. Paduka Adinda Duli Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
4. Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong sebagai Menteri Pendidikan.
5. Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd Yusof sebagai Menteri Kesihatan.
6. Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman sebagai Menteri Pembangunan.
7. Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar sebagai Menteri Perhubungan.
8. Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar sebagai Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama.
9. Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim sebagai Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri.
10. Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua).
11. Pehin Datu Singamanteri Kolonel (Bersara) Dato Seri Paduka Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar sebagai Menteri Tenaga (Minister of Energy) di Jabatan Perdana Menteri.
12. Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama.
13. Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
14. Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
15. Dato Paduka Awang Haji Abd Wahab bin Juned sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
16. Dato Paduka Awang Haji Mustappha bin Haji Sirat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
17. Awang Haji Bahrin bin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
18. Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
19. Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong sebagai Timbalan Menteri Pembangunan.
20. Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
21. Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; dan
22. Datin Hajah Adina binti Othman sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Perlantikan ini bermula dari hari ini, hari Sabtu, 15 haribulan Jamadilakhir tahun 1431 bersamaan dengan 29 haribulan Mei tahun 2010 bagi tempoh selama 5 tahun.
Beta dengan ini juga sukacita memaklumkan bahawasanya jawatan Mufti Kerajaan dan Peguam Negara mulai hari ini adalah sebagai jawatan bertaraf Menteri.
Lantikan-lantikan ini adalah amanah, dan amanah itu pula sangatlah berat. Jika kita berjaya menjalankannya, maka kitalah orang yang berbahagia, sebaliknya kalau kita gagal, maka penyesalan jua akan menunggu kita.
Lantikan juga bererti tugas, kewajipan dan kuasa. Ia mesti digunakan sejujurnya dengan penuh taat lagi setia.
Janganlah ada yang ingin mencipta haluan sendiri-sendiri untuk kepentingan yang terhad, tetapi bantulah raja untuk mencapai wawasan negara dengan keadilan.
Kita buktikan bahawa keadilan tidak mati di Brunei, tetapi ia hidup dan malah subur dari apa yang dijaja di mana-mana.
Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang tidak lagi dilantik, di atas khidmat dan jasa mereka yang disumbangkan selama ini, semoga Allah jua yang akan membalas mereka dengan kebajikan dan kebahagiaan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
No comments:
Post a Comment