Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-7
Tahun 2012 pada hari Sabtu, 20 Zulkaedah 1433 bersamaan 6 Oktober 2012
bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah,
Berakas.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi
rabbil’alameen, wabihee nasta’eenu ‘alaa umuriddunyaa waddeen,
wassalaatu wassalaamu ‘alaa asyrafil mursaleen, Sayyidina Muhammadin,
wa’alaa aalihee wasahbihee ajma’een, waba’du.
Beta bersyukur
kerana dapat pula menghadiri perhimpunan sambutan Hari Belia Kebangsaan
pada pagi ini. Kepada para belia, beta rnengucapkan Selamat Menyambut
Hari Belia Kebangsaan 2012.
Selaku warga dunia, Negara Brunei
Darussalam adalah tidak terkecuali dari berhadapan dengan
cabaran-cabaran yang dicetuskan oleh globalisasi. Ledakan teknologi
maklumat yang semakin pesat dan canggih menyediakan ruang amat mudah
untuk menyalurkan pelbagai agenda globalisasi itu, yang setengahnya
membawa implikasi positif ataupun sebaliknya, terhadap aneka aspek
kehidupan.
Di antara aspek paling mudah untuk dimasuki ialah
sosiobudaya sesebuah negara dan bangsa. Ia akan melibatkan, terutamanya
generasi belia dan malah ummah seluruhnya.
Inilah cabaran yang sangat perlu disedari. Kelalaian kita menghadapinya akan membawa padah dan bencana.
Para
belialah benteng yang paling diharapkan. Kerana itu amat perlu bagi
mereka untuk memiliki ‘daya tahan diri’ yang tinggi bagi menangkis
segala gejala buruk dan jahat yang dicetuskan oleh globalisasi.
Pada
masa ini, dunia kita sedang bergelora akibat tusukan tsunami yang
bernama 'Innocence of Muslims' sebuah filem menghina Nabi Muhammad
Sallallahu 'Alaihi Wasallam, yang juga bererti menghina Ugama Islam
sendiri.
Kita umat Islam adalah dituntut untuk menolaknya dan
malah berhak untuk menyekat saluran laman sesawang, di mana ia
berkaitan. Kerana sesungguhnya menghina Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam
itu adalah suatu perbuatan yang tidak bertamadun lagi tidak bermoral,
yang tidak dapat dimaafkan sama sekali.
Oleh itu pendirian kita
adalah tegas membantahnya dan malah tidak boleh bertolak ansur untuk
menerimanya sebagai kebebasan bersuara atau freedom of speech, kerana tiada siapa pun yang berhak untuk menghina sesuatu pihak, apatah lagi menghina seorang Nabi.
Pendirian
kita ini juga adalah selaras dengan pendirian kebanyakan pendirian
negara di dunia, khususnya negara-negara anggota OIC.
Beta suka
mengingatkan, bahawa perbuatan menghina Nabi atau menghina ugama dalam
apa pun bentuknya adalah tidak akan ada titik noktahnya selama mana ada
matahari dan bulan. Tinggal sahaja, kita amat perlu waspada dan
bijaksana menghadapinya. Kita umat Islam tidak usahlah hilang punca,
tetapi yang penting, suburkan ilmu ugama di dada dan mintalah kepada
Allah supaya Dia menetapkan iman, agar kita tidak terpedaya dengan
agenda-agenda jahat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungiawab.
Menyebut mengenai ilmu ugama, beta baru-baru ini telah mengisytiharkan Perintah atau Undang-Undang Pendidikan Ugama Wajib 2012
yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2013. Sehubungan ini, pihak yang
berkenaan, eloklah mengambil kira, mana-mana kanak-kanak yang memang
sudah sedia belajar ugama termasuk Al-Qur'an, di sekolah-sekolah seperti
Sekolah Al-falaah dan sekolah Arab atau yang sebanding dengannya supaya
ditimbangkan sama ada mereka itu boleh dikecualikan dari perintah ini,
dalam makna tidak perlu lagi dibebankan dengan pelajar di Sekolah Ugama,
seperti kanak-kanak lain yang bukan penuntut Sekolah Al-Falaah atau
Sekolah Arab atau yang sebanding dengannya. Ini adalah munasabah dan
praktikal, kerana pelajaran yang dipelajari di Sekolah Ugama itu, itulah
juga yang dipelajari di Sekolah Al-Falaah dan Sekolah Arab.
Beta
penuh yakin, langkah mewajibkan pendidikan ugama adalah langkah yang
sungguh-sungguh tepat. Di samping sebagai keperluan asas, ia juga amat
penting bagi survival masa depan kita. Cuba perhatikan sahaja kepada
senario orang-orang menghina Nabi dan ugama yang tidak pernah berhenti
itu, andainya kaum belia atau generasi kita lemah ugama atau miskin ilmu
ugama, bagaimanakah mereka akan dapat menghadapinya kalau dada kosong
atau ketandusan ilmu ugama?
Beta semakin terpanggil untuk
menyebut perkara ini, setelah melihat tema sambutan Hari Belia
Kebangsaan pada tahun ini berbunyi: ‘Generasi Belia Syumul’.
Erti syumul ialah sempurna atau unggul.
Dalam
makna di sini, kita adalah menginginkan belia-belia yang sempurna lagi
unggul. Sesungguhnya keinginan ini memanglah wajar dan luhur. Tetapi
bagaimanakah untuk kita mencapainya?
Jawabnya, bukanlah setakat
dengan kata-kata, atau setakat azarn dan semboyan untuk jadi syumul atau
sempurna itu. Ini semua belum memadai, tetapi lebih penting ialah
‘pengisian’ terhadap belia itu. Mereka perlu diisi dengan sesuatu,
sehingga membolehkan mereka benar-benar menjadi sempurna atau syumul.
Dengan
bahan apakah mereka itu mesti diisi? Jawabnya dengan ‘ilmu’. Kerana
tidak ada kuasa lebih hebat dari kuasa ilmu. Ilmulah yang menentukan
keupayaan dan status seseorang, sama ada di sisi Allah mahupun di sisi
manusia sendiri.
Dalam makna, usaha kita untuk melahirkan
Generasi Belia Syumul, mestilah selari dengan usaha mengisi belia-belia
tersebut dengan ilmu pengetahuan, khasnya ilmu ugama.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment