Tuesday, 28 May 2013

Sambutan Hari Pandu Puteri Brunei Darussalam Tahun 2011

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam sempena Sambutan Hari Pandu Puteri Brunei Darussalam Tahun  2011 pada hari Ahad, 16 Oktober 2011 bertempat di Cesar Hall, Orchid Garden Hotel, Kampung Anggerek Desa

Bismillahir Rahmanair Rahim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di majlis yang penuh berkebajikan ini.

Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, serta kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala serta mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam kerana telah dapat bergiat aktif selama 60 tahun dalam menjayakan kegiatan-kegiatan yang dijalankan hingga sekarang.

Beta percaya dengan terdirinya pokok kepimpinan yang kukuh dan mantap, maka segala bimbingan, ajaran dan latihan yang diturunkan oleh persatuan ini kepada ahli-ahlinya di semua peringkat umur, telah berjaya untuk memperkasakan diri mereka ke arah menjadi warganegara yang berguna lagi bertanggungjawab.

Kepada ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri, khususnya mereka yang masih di peringkat belia dan remaja, mereka ini hendaklah sentiasa memelihara lunas-lunas dan etika persatuan, berusaha dengan gigih untuk meningkatkan keupayaan diri, sama ada selaku ahli persatuan, mahupun sebagai seorang belia remaja yang seharusnya bersedia untuk menjadi pemimpin di masa akan datang.

Justeru itu, beta penuh yakin bahawa golongan Pandu Puteri di negara ini akan terus berjaya mengekalkan tahap kecemerlangan mereka dalam menjalankan projek-projek persatuan.

Dengan berkat keikhlasan, keluhuran hati dan jiwa, serta tekad dan usaha yang gigih, insya-Allah segala kegiatan kebajikan yang telah dilaksanakan sejak mulanya persatuan ini 60 tahun yang lalu, akan berbaloi dan mencapai hasrat yang dapat membawa kejayaan persatuan bagi 60 tahun yang akan datang.

Mudah-mudahan kegiatan dan projek-projek yang berkebajikan persatuan ini akan mendapat ganjaran pahala dan taufiq serta hidayah daripada Allah Subhanahu Wataala.

Pada akhirnya, beta mengucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment