Wednesday, 29 May 2013

Majlis Pembukaan Rasmi Pameran Urusan Rumah Tangga 2007

TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK HAJAH SALEHA BINTI AL-MARHUM PENGIRAN PEMANCHA PENGIRAN ANAK HAJI MOHAMED ALAM DI MAJLIS PEMBUKAAN RASMI PAMERAN URUSAN RUMAH TANGGA SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM PADA HARI AHAD, 13 SYAABAN 1428 HIJRAH / 26 OGOS 2007 MASIHI BERTEMPAT DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS.

Bismillahir Rahmanir Rahim

Asalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdullillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita bersama-sama hadir di majlis yang berkebajikan ini. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum kerabat dan para sahabat baginda yang ta'at setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu beta sukacita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Pameran Urusan Rumah Tangga 2007, Persatuan PERTIWI, kerana mengundang beta untuk hadir dan seterusnya merasmikan Pameran Urusan Rumah Tangga sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-61.

Di tahun ini beta ingin menekankan lagi mengenai dengan tanggungjawab dalam hal ehwal menyempurnakan pengurusan rumah tangga dan keluarga.

Baru-baru ini kita mendengar atau membaca mengenai kejadian-kejadian anak-anak remaja yang lari dari rumah atau menghilangkan diri dari sisi keluarga mereka.

Apa yang membimbangkan adalah kejadian sedemikian nampaknya semakin banyak berlaku dan meningkat jumlahnya. Pada hemat beta ini, menunjukkan bahawa cabaran-cabaran dan pengaruh kehidupan moden telah membawa akibat-akibat yang buruk terhadap suasana dan nilai kekeluargaan masyarakat kita.

Sememangnya disedari bahawa dengan kesibukan kerja dan usaha-usaha mencari mata pencarian, kedua-dua ibu bapa mungkin mempunyai masa yang terbatas untuk keluarga mereka masing-masing.

Justeru itu ada sebilangan kaum keluarga yang mengalami kesulitan dalam memberi perhatian dan tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak mereka.

Dalam hal sedemikian kanak-kanak yang juga golongan remaja amat memerlukan kasih sayang, didikan, dorongan akidah serta sokongan moral dan emosi untuk membangun sahsiah yang sempurna.

Ini adalah tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak kita yang terdiri daripada generasi masa depan negara ini.

Ianya adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan dan tidak kurang pentingnya dalam semua peringkat pembangungan akhlak, rohani dan jasmani anak-anak kita sehingga mereka mencapai tahap umur dewasa.

Beta berharap tanggungjawab ini dapat kita semua laksanakan dengan sebaik-baiknya.

Pada akhirnya, beta juga ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada pemenang-pemenang dan kesemua peserta pameran yang dapat meluangkan masa mereka untuk mengambil bahagian dalam persembahan serta pertunjukkan yang akan beta saksikan sebentar lagi.

Maka dengan mendahulukan kalimah ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’, Beta dengan sukacitanya merasmikan Pameran Urusan Rumah Tangga Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-61.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment