Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Profesor Dr. Somantri, Rektor Universitas Indonesia;
Para Menteri;
Para pemimpin dan ahli Majlis Universitas Indonesia; dan
Para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Profesor dan Majlis Universitas Indonesia yang telah menganugerahkan Ijazah Kehormat ini kepada saya.
Universitas Indonesia mempunyai sejarah yang lama dan unik.
Ianya telah menghasilkan graduan-graduan berwawasan yang mempunyai kemahiran tinggi serta pimpinan yang dinamik.
Sepanjang 160 tahun sejarahnya, Universitas Indonesia telah berjaya menyumbangkan ramai graduan bagi pembangunan Republik Indonesia.
Indonesia, sebelum era penjajahan silih berganti, telah sedia dikenali sebagai memiliki pendidikan tradisionalnya yang unik, yang dianggap berhasil melahirkan putera-puteri Indonesia yang terbaik.
Ini, telah dirakam oleh zaman lampau kerajaan tua di Jawa, Sumatera, Kalimantan, Sulawesi dan lainnya, yang mengasaskan pendidikan itu dengan kuatnya, yang juga malah, turut diungguli oleh golongan bangsawan-negarawan, seperti ‘nama-nama besar’: Pangeran Diponegoro, Pangiran Mangkubumi dan lain-lain.
Ini membuktikan, Indonesia memang hebat: Hebat dalam sejarah dan hebat juga dalam era barunya.
Dan saya yang diberi penghormatan pada hari ini turut menjadi sebahagian daripada sejarah pendidikan Republik Indonesia.
Saya amatlah berbesar hati dengan penghormatan ini, dan berterima kasih di atas sambutan baik oleh seluruh warga universitas, dan teristimewa sekali para mahasiswanya.
Saya percaya, Profesor sangat berbangga mempunyai mahasiswa-mahasiswa yang bersemangat tinggi lagi berwawasan.
Kepada para mahasiswa yang seperti inilah, bangsa dan negara menggantungkan harapan.
Negara Brunei Darussalam, seperti juga Republik Indonesia, mempunyai ramai penduduk dari warga muda. Hampir separuh daripadanya adalah di bawah umur 35 tahun.
Dan seperti Republik Indonesia, Negara Brunei Darussalam juga telah melaksanakan beberapa inisiatif penting, agar potensi pemuda-pemudi kita terus meningkat, terutama sekali dalam bidang pendidikan.
Ini termasuk memberi peluang kepada semua pelajar Negara Brunei Darussalam yang berkeupayaan untuk mencapai pengajian mereka, sehingga ke tahap yang setinggi-tingginya, sama ada di dalam atau di luar negara.
Ini adalah selaras dengan Wawasan 2035 Negara Brunei Darussalam untuk ‘mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi’.
Pendidikan adalah investasi sepanjang hayat. Ia juga merupakan ‘kuasa ajaib’ di mana tanpanya, kemajuan tidak mungkin dicapai.
Saya dan Presiden Yudhoyono mempunyai pendirian yang sama dalam menangani pendidikan.
Semasa lawatan Presiden ke Negara Brueni Darussalam dua bulan yang lalu, kami bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama pendidikan di antara Brunei dan Indonesia.
Dengan penganugerahan ijazah ini, saya berharap ianya akan meningkatkan lagi hubungan di antara Universitas Indonesia dan Universiti Brunei Darussalam, dan juga akan jadi penghubung yang erat di antara rakyat kedua-dua buah negara.
Setakat ini kami telah memberikan biasiswa kepada 88 orang mahasiswa Indonesia di institusi-institusi tinggi di Negara Brunei Darussalam.
Biasiswa-biasisiwa ini adalah sebahagian daripada program persahabatan Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara ASEAN, termasuk Republik Indonesia.
Program ini diharapkan dapat membantu para mahasiswa untuk meluaskan pengetahuan mereka, serta juga meningkatkan lagi persefahaman di antara mereka, di samping untuk menanamkan sikap kepimpinan yang dinamik.
Ciri-ciri ini amat diperlukan dalam usaha kita meningkatkan perpaduan dan persefahaman di rantau ini.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia bersama rakan-rakan ASEAN yang lain telah bekerja untuk meningkatkan kerjasama serantau dalam bidang pendidikan, terutama sekali dalam membangun ASEAN Socio-Cultural Community.
Adalah diharapkan inisiatif-inisiatif seperti ASEAN University Network akan menggalakkan persahabatan di antara para pelajar di rantau ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Republik Indonesia mempunyai peranan penting dalam merealisasikan matlamat-matlamat ini.
Dan sebagai rakan karib, Negara Brunei Darussalam akan terus memberi sokongan kuat untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan serantau di antara kita.
Para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian, Ijazah Falsafah Kemanusiaan dan Peradaban yang saya terima hari ini, akan membawa erti yang mendalam bagi saya.
Sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas penganugerahan ini.
Penghormatan ini bukan sahaja kepada diri saya sendiri, malahan juga negara dan rakyat Brunei Darussalam.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment