Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Hari Belia Kebangsaan pada Hari Sabtu, 30hb Rejab 1429 bersamaan 02hb Ogos
2008
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL
BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI BELIA KEBANGSAAN
HARI BELIA KEBANGSAAN
BERTEMPAT
DI STADIUM TERTUTUP
KOMPLEKS SUKAN NEGARA HASSANAL BOLKIAH
DI STADIUM TERTUTUP
KOMPLEKS SUKAN NEGARA HASSANAL BOLKIAH
PADA
HARI SABTU 30 REJAB 1429/2 OGOS 2008
HARI SABTU 30 REJAB 1429/2 OGOS 2008
Assalamu’alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen,
Wabihee Nasta’eenu ‘Aalaa Umuriddunyaa Waddeen. Wassalatu Wassalamu’Aalaa Asyrafil Mursaleen Sayyidina Muhammad Wa’alaa
‘Aalihee Wasahbihee Ajmaeen. Waba’du.
Beta bersyukur kerana sekali lagi
dapat bersama-sama menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan pada pagi
ini. Kepada para belia, beta mengucapkan
selamat menyambut Hari Belia Kebangssan 2008.
Beta juga merakamkan penghargaan terima kasih di atas sumbangan khidmat
bakti para belia kepada negara.
Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan
adalah wadah untuk menilai pencapaian matlamat pembangunan belia ke arah Belia
Brunei Cemerlang seperti yang termaktub dalam Dasar Belia Negara. ‘Belia Cemerlang’ ialah belia beriman,
berilmu, bertanggungjawab dan cekal.
Kita semua menyedari, untuk
mewujudkan belia cemerlang adalah memerlukan penglibatan semua pihak, termasuk
individu, keluarga dan masyarakat. Tambahan
pula, kesan kederasan arus globalisasi masa kini, telah menimbulkan pelbagai
cabaran serta hambatan dalam usaha mewujudkan belia cemerlang itu. Ini, termasuklah cabaran-cabaran dalam bidang
pendidikan dan pekerjaan.
Kerana itu, para belia tidak ada pilihan
lain kecuali sentiasa berusaha meningkatkan kebolehan dan kemahiran. Hanya dengan cara ini sahaja seseorang dapat
diharapkan untuk menjadi belia yang cemerlang.
Beta percaya belia pada hari ini,
dengan berbekalkan ilmu pengetahuan yang diperolehi daripada pelbagai institusi
pendidikan, sama ada di dalam mahupun di luar negara, akan berupaya membuat
pilihan terbaik lagi bijaksana dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut.
Sempena Sambutan Hari Belia ini,
beta mengharapkan agar para belia akan terus melipatgandakan usaha ke arah
meningkatkan lagi semangat ingin maju dan bertanggungjawab dalam semua bidang
kehidupan yang diceburi.
Sebagai tunas bangsa, penglibatan
para belia dalam proses pembangunan negara sangatlah bermakna. Beta amat berbangga kerana telah ramai para
belia yang telah memperolehi kelulusan tinggi, baik dalam bidang profesional
mahupun dalam bidang vokasional. Mereka
ini tentu saja mampu untuk menjana dan memperkasa pembangunan negara. Tunas bangsa seperti inilah yang kita perlukan
demi masa depan bangsa dan negara yang kita cintai ini.
Dalam kita meraikan Hari Belia
ini, kita janganlah meminggirkan golongan belia yang kurang bernasib baik. Mereka ini memerlukan perhatian dan bimbingan
daripada kita untuk menjadi insan yang dapat sama-sama menyumbangkan bakti
kepada pembangunan negara.
Beta berharap agensi-agensi yang
bertanggungjawab akan memberikan pemedulian khusus kepada golongan belia
berkenaan dengan menyediakan peluang dan harapan melalui program-program
bersepadu, seperti program-program peningkatan keyakinan jati diri dan
lain-lain. Melalui program-program
sedemikian, golongan belia yang kurang bernasib baik ini akan merasa dihargai
dan juga berpeluang untuk sama-sama menyumbangkan jasa bakti mereka.
Di samping giat mengikuti
perkembangan dan menambah ilmu, beta sukacita mengingatkan supaya para belia
kita jangan melupakan kemurnian adat resam dan identiti bangsa yang diwarisi
turun-temurun. Orang Brunei terkenal
dengan kemurnian budi pekerti dan berhemah tinggi. Nilai murni budaya ini perlu ditanamkan dalam
diri belia kita, kerana ia mencerminkan keluhuran dan ketinggian bangsa.
Beta juga ingin mengingatkan
supaya para belia sentiasa siap siaga untuk bersaing dan tabah menghadapi
risiko, kerana kejayaan itu tidak akan datang bergolek tetapi melalui kerja
keras dan usaha yang cekal.
Insya-Allah jika ramai para belia
mempunyai istiqamah dan tanggungjawab menghadapi sebarang cabaran dan saingan,
maka negara akan lebih mudah menuju jalan gemilangnya dengan izin Allah.
Sekian, Wabillahit Taufiq
Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment